Assalamualaikum dan salam sejahtera
Solat Tarawih hanya dilakukan pada malam bulan Ramadhan sahaja. Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan (Qiyam Ramadhan) ialah solat Tahajjud atau ‘shalatullail’ (solat malam)yang dilakukan pada malam-malam bulan lainnya.
Tarawih ertinya beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’, Tujuan berhenti rehat sekejap adalah untuk memperolehi keikhlasan dan memberikan ketenangan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas disamping mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa.
Solat Sunat Tarawih ialah ibadat tambahan yang dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Ia satu cara untuk menunjukkan keikhlasan, kebaktian dan ketaatan kepada Allah SWT.
Jesteru itu Rasulullah SAW menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan, keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya tidak mampu melakukan 20 rakaat disebabkan tugas mahu pun kesihatan, memadai dengan lapan rakaat sahaja.
Sunnah Rasulullah SAW
Bilangan rakaat Solat Sunat Tarawih yang biasa dilakukan Rasulullah SAW adalah 11 rakaat; terdiri dari 8 rakaat solat Tarawih dan 3 rakaat Solat Sunat Witir. Jumlah ini dipilih oleh kebanyakan umat Islam Malaysia.
Solat sunat Ramadhan lapan rakaat oleh Rasulullah SAW, seperti yang dilihat oleh Aisyah r.a. di rumah, adalah yang minimum kerana Baginda SAW memanjangkan rakaatnya.
Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada Aisyah r.a tentang solat malam Rasulullah SAW di bulan Ramadhan. Aisyah menjawab: “Rasulullah SAW tidak pernah menambah rakaat solatnya di bulan Ramadan dan atau bulan lain melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h menyatakan di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, mengenai solat qiyam Ramadan (solat Tarawih); “Nabi SAW tidak pernah menetapkan jumlah rakaatnya. Namun, baginda sendiri tidak pernah mengerjakannya melebihi 11 atau 13 rakaat sama ada pada bulan Ramadan atau bulan lain. Baginda melakukan solat qiyam dengan memanjangkan rakaatnya.”
Aishah r.a. meriwayatkan lagi; Rasulullah SAW solat (Tarawih) empat rakaat pada waktu malam, setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. Saya berkata kepadanya: “Demi Allah wahai Rasulullah! Dosa-dosamu telah diampuni Allah, sama ada dosa yang terdahulu dan yang terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini?”
Baginda SAW menjawab: “Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur?”
Cara Agihan Solat Lapan Rakaat
- Biasanya Solat SunatTarawih dilakukan sebanyak lapan rakaat yang dipisahkan kepada 2 rakaat demi 2 rakaat (4 kali 2 rakaat) dengan setiap dua rakaat satu salam.
- Solat SunatTarawih ini juga boleh dikerjakan empat rakaat – empat rakaat (2 kali 4 rakaat), iaitu sebagaimana tatacara solat fardhu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyat.
- Boleh juga dikerjakan sebanyak empat rakaat sekaligus dengan hanya satu tahiyat dan sekali salam sahaja. Sekiranya ingin dilaksanakan dengan hanya satu tahiyat maka setiap rakaat hendaklah dibaca surah-surah atau ayat-ayat dari al-Qur’an.
# Setiap cara Solat Sunat Tarawih di atas, hendaklah di akhiri dengan tambahan 3 rakaat Solat Sunat Witir, boleh sama ada dilakukan dengan dua salam atau satu salam Witir sahaja.
Malah, ia juga boleh digabungkan dengan hanya satu rakaat Solat Sunat Witir.
Abdullah bin Umar r.a berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah cara melakukan solat malam? Baginda bersabda: “Dua rakaat dua rakaat. Apabila engkau bimbang (waktu solat Subuh akan masuk), laksanakan terus solat witir sebanyak satu rakaat.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1137.
Aisyah r.a berkata: “Biasanya Nabi s.a.w solat di malam hari sebanyak 13 rakaat termasuk witir dan dua rakaat solat sunat fajar (solat sunat sebelum fardu Subuh).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1140.
Sumber : Shafiqolbu
Sekian
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.