Kisah Seram : Penunggu Banglo Lama

Aerill Hassan
0


Assalamualaikum dan salam sejahtera



"Baru saja terasa mata hendak terlelap tiba-tiba kaki Auni seperti disentap sesuatu. Dijenguk pada hujung katil, tiada siapa. "

Kembali lagi dalam kisah seram minggu ini. Seperti biasa, kisah seram yang aku nak kongsi hari ini adalah mengenai penunggu banglo lama. Untuk mereka yang sukakan membaca sesuatu yang bersifat seram bolehlah teruskan membaca ya.



Tujuan Ain mengikut rakan baiknya bekerja di Taiping, Perak semata-mata mahu menimba pengalaman sambil mencari wang saku sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Idea itu memang tidak disenangi ayahnya, apatah lagi bekerja di pusat beli belah nun jauh dari Kuala Lumpur. Genap dua bulan, Ain (bukan nama sebenar) mengalah dengan permintaan ayah dan kembali ke Kuala Lumpur.


Memandangkan banyak lagi barang yang ditinggalkan di rumah sewanya di Taiping, kakaknya Auni bersetuju menemani mengambil barang-barangnya itu. Mereka menaiki bas jam 2 petang mengikut laluan lama dan tiba di Taiping pada jam 8 malam. Resam orang muda, apabila sudah berjumpa kawan lama, sudah tidak ingat perkara utama. Auni dan Ain dibawa rakan Ain bersiar-siar hingga lupa mendapatkan tiket balik ke Kuala Lumpur. Lebih malang lagi, semua tiket bas kehabisan dan yang ada hanya tiket bas untuk perjalanan esoknya pada jam 8 pagi.

Rancangan pulang ke Kuala Lumpur malam itu, tinggal impian. Hendak tak hendak, terpaksalah mereka menginap semalaman di Taiping. Kawan-kawan Ain mempelawa mereka bermalam di rumah sewa, tetapi Auni menolak kerana kurang selesa tidur di atas lantai. Ditambah pula, keadaan kesihatannya yang mudah diserang semput. Auni lebih rela menyewa bilik di sebuah rumah tumpangan di tengah bandar Taiping.


Namun idea itu kurang dipersetujui Ain dan rakan-rakannya. Entah mengapa, Auni sendiri kurang periksa. Suasana suram menyambut kehadiran mereka. Rumah tumpangan yang disangka Auni bangunan kedai, rupanya banglo lama dua tingkat yang dibina sejak zaman kolonial lagi. Selepas berurusan dengan kaunter mendaftar masuk, hanya tinggal satu saja bilik yang masih kosong di tingkat atas banglo berkenaan. Satu-satunya bilik yang ada pun, nun di tingkat atas. “Rezeki kami agaknya,” kata hati Auni.

Bukan saja sewanya hanya RM40 semalam tetapi ruangnya juga besar memuatkan dua katil bersaiz queen dan single. Peliknya, sebaik saja memberitahu Ain dan rakan-rakannya mengenai bilik sewaannya di tingkat atas, air muka mereka terus berubah. Masing-masing kelihatan cemas, pucat dan ketakutan. Sekali lagi seorang rakan Ain cuba memujuk Auni untuk melupakan saja hasrat menginap di sini tetapi Auni tetap berdegil. Auni mengajak Ain naik ke bilik, namun Ain tidak mahu, sebaliknya menyuruh Auni naik dulu dan berehat dengan memberi alasan mahu bersembang dengan rakan sebelum berpisah.

Tanpa mempedulikannya, Auni terus masuk ke bilik dan duduk seketika di meja tulis. Secara tiba-tiba, dia disentap rasa resah gelisah. Dia memandang kiri dan kanan, tetapi perasaannya tetap tidak tenteram. Anehnya, Auni masih tetap setia duduk di meja tulis itu. Sesekali terdengar bunyi tapak kaki seperti orang naik tangga menuju ke bilik tetapi Ain tidak muncul-muncul juga. Usahkan suara, bayang Ain pun tiada. “Ah, tidak ada apa-apa ni. Perasaan aku saja ni,” kata Auni, memujuk diri. Auni berasa mahu ke tandas yang terletak di hujung beranda.

Terpaksalah Auni menghayun langkah, keluar bilik untuk ke tandas. Sedang elok dia berjalan, tiba-tiba langkah kakinya terhenti melihat kelibat seorang wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuannya, berdiri di depan pintu tandas. Mujur dia sempat berhenti, kalau tidak mesti dia terlanggar wanita berkulit cerah itu dan agak pucat itu. Wanita yang mengenakan baju mengandung berwarna putih itu sempat pula melemparkan senyuman mesra kepada Auni.


Sebaik membalas senyumannya Auni terasa semacam. Bulu romanya meremang secara tiba-tiba. Tetapi sempat pula merungut secara diam-diam: “Hai sewa bilik hotel pun kena kongsi tandas dengan tetamu lain ke...” Selepas keluar, wanita itu tidak kelihatan. Sebaik Auni kembali ke bilik, Ain pun naik. Dia tidur di katil single, Auni pula di katil queen. Baru saja terasa mata hendak terlelap tiba-tiba kaki Auni seperti disentap sesuatu. Dijenguk pada hujung katil, tiada siapa. Auni diamkan saja dan ambil keputusan buat tak tahu.

Sedang mereka mencuba sekali lagi untuk melelapkan mata, dua beradik itu dikejutkan suara tangisan bayi yang tidak henti-henti sepanjang malam. Bukan saja bunyi bayi menangis, bermacam-macam bunyi lagi yang datang dari arah sebelah. Auni sempat mengintai ke luar, nampak cahaya terang benderang. “Agaknya ada orang dengan anak kecil. Eh...tetapi ini kan satu-satunya bilik di tingkat atas,” katanya yang hanya menambah gelisah di hati. Ain makin resah gelisah dan tidak boleh tidur. Akibat ketakutan, Ain tidur sekatil dengan Auni.


via GIPHY


Pagi itu, seawal jam 6 pagi mereka sudah terjaga. Auni bingkas mengajak Ain cepat-cepat keluar dari situ. Syukur mereka mendapat tiket bas pagi ke Kuala Lumpur. Dalam bas, Ain mula bercerita mengenai pelbagai gangguan dan bunyi yang didengarnya sepanjang malam. Ceritanya, dia diberitahu banglo itu memang terkenal dengan pelbagai kisah seram.

Katanya, dulu dipercayai seorang wanita sarat mengandung ditinggalkan suami buat seketika kerana tuntutan kerja. Ditakdirkan ketika ketiadaan suaminya dia sakit hendak bersalin dan akhirnya mati bersama bayinya di bilik itu. Sebaik saja Ain menyebut mengenai perempuan mengandung, Auni terus menjerit sehingga mengejutkan penumpang bas lain. Tubuhnya terus lemah longlai kerana dia sudah berdepan penunggu rumah tumpangan yang dimaksudkan itu - kelibat wanita hamil yang ditemui di depan pintu tandas.

Sekian


Sumber : Berita Harian Suzan Ahmad suzan@bharian.com.my | Google Image | Giphy.com


Tags

Post a Comment

0Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!