Kisah Seram : Makhluk Halus 'Singgah' di Rumah Pengantin

Aerill Hassan
1
Assalamualaikum dan salam sejahtera


Kembali lagi dalam episod "Kisah Seram Apa Minggu ini?". Nampak gayanya untuk tahun 2021 ini, episod kisah seram ini bukanlah mengikut minggu, tetapi mengikut bulan. Bulan Januari dan Februari masing-masing hanya 1 sahaja kisah seram dikongsikan. Apapun, kisah kali ini mengenai misteri makhluk halus yang datang singgah ke rumah orang. Adakah anda pernah mengalaminya? Sekiranya ya, boleh tinggalkan komen dan ceritakan. Sekiranya tidak, selamat membaca.

KISAH SERAM : MAKHLUK HALUS 'SINGGAH' DI RUMAH PENGANTIN

RESAH gelisah bayinya yang baru berusia tiga bulan amat ketara pada pengamatan Aina, sekali gus membuatkan dia juga tidak senang duduk. Entah apa yang mengganggu ketenangan si kecil itu, Aina sendiri tidak tahu. 

Puas dibuai tetapi Nurin masih belum mahu lena nyenyak. Rasa bersalah membelenggu Aina kerana tidak dapat membantu anggota keluarga lain melayan tetamu yang tidak putus-putus datang ke majlis perkahwinan adiknya, sedangkan dia anak sulung. Mujurlah mereka memahami keadaannya yang mempunyai anak kecil. 

Melihat kegelisahan Nurin yang kerap kali terjaga daripada tidur, adik beradik lain sebaliknya meminta Aina menemani bayi itu. Bosan menghayun buaian, Aina membawa Nurin keluar kerana beranggapan dia mungkin panas dan rimas berada dalam rumah, lantaran bising dengan suara orang ramai. Hati kecil Aina amat pasti itu puncanya tanpa menyedari sebenarnya ada sesuatu yang lain mengganggu tidur si kecil. 

Keresahan Nurin membawa sehingga ke petang dan sebaik malam menjelma, dia mula merengek kecil tetapi berlanjutan. Anak itu langsung tidak mahu tidur, malah didukung pun dia tetap merengek. Apabila malam semakin larut, tangis Nurin semakin kuat dan pada satu masa kedengaran amat nyaring. Ayah Aina pula mengambil alih mengendong Nurin dan apabila Aina menyatakan anak itu mungkin keletihan kerana tidak dapat tidur seharian, ayahnya segera menyanggah: “Budak ini menangis bukan kerana panas atau tidak dapat tidur. Ada sebab lain. 

Memegangnya saja ayah sudah dapat agak. “Ada sesuatu mengganggunya. Tetamu yang datang pelbagai ragam, tambahan pula kita sembelih lembu. Sisa darah itu memang menjadi kegemaran iblis,” kata ayahnya. Hampir jam 2 pagi, keadaan Nurin tidak berubah. Kasihan dengan keadaan anak saudara yang masih kecil, adik lelaki Aina yang baru bergelar pengantin baru segera mendukung Nurin lantas dibawa ke rumah abangnya yang terletak di belakang rumah mereka. 


Anehnya, sebaik melangkah ke laman rumah abangnya, Nurin terus diam dan kembali menangis kuat apabila dibawa masuk kembali ke rumah mereka. Adik lelaki Aina, yang dipanggil Pak Ngah oleh anak saudaranya, segera memegang Nurin dan membacakan ayat suci al-Quran di telinganya. Sebaik mendengar alunan ayat suci, Nurin terus menjerit nyaring dan pada masa sama suara tangisan mendayu sayup-sayup ditangkap oleh pendengaran Aina. 

Adik perempuan Aina turut memberitahu dia mendengar tangisan itu. Sejurus selepas itu, Nurin tiba-tiba diam dan keletihan jelas terbayang pada wajah kecilnya. Aina menarik nafas lega melihat anaknya sudah berhenti menangis dan terus tidur. Andaian gangguan berkenaan berhenti setakat itu nyata tersasar kerana sebaik Nurin berhenti menangis, emak Aina tiba-tiba rebah. Sebaik sedar, wanita berusia lewat 40-an itu sudah menjadi orang lain. 

Dia menangis mendayu-dayu minta jangan disakiti dan dikasihani. Dia juga minta dihantar balik ke rumah tuannya. Ditanya mengapa datang, emak Aina yang diresapi makhluk halus menjawab: “Saja datang. Nampak orang ramai sangat di rumah ini petang tadi. Datang untuk melihat mengapa ramai orang. “Saya hendak balik. Tolonglah hantar saya balik. Janganlah buat macam ini. Saya sakit.” Mendengar rayuannya, adik lelaki Aina terus berkata: “Pandai datang, pandai balik. Kami tidak pernah menjemput engkau. Pergi balik sebelum teruk engkau kami kerjakan.” 

Emak Aina, dengan gaya tempang berjalan menuju ke muka pintu dan rebah di situ. Keadaan kembali reda selepas itu. Melihat cara jalan tempang yang ditunjukkan emak Aina, mereka sekeluarga sudah dapat mengagak siapa sebenarnya yang membela makhluk isi neraka itu kerana itulah iblis sentiasa mengaibkan tuannya dengan menunjukkan secara jelas gaya penampilan mereka.

Tags

Post a Comment

1Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!