Senarai 10 Muzium di Malaysia Yang Anda Boleh Lawati

Aerill Hassan
2
Assalamualaikum dan salam sejahtera


Rindu nak melancong dan melawat tempat-tempat menarik? Jangan risau, in shaa Allah masanya akan tiba untuk kita semua boleh merentas negeri dan melancong semula. Sementara itu, anda bolehlah melakukan senarai tempat yang anda nak lawati apabila kebenaran rentas negeri diberikan semula. 


Untuk membantu anda, mungkin anda boleh masukkan muzium-muzium ini dalam senarai anda. Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan sejarahnya. Banyak artifak dan pameran disediakan di muzium-muzium serata negara yang anda boleh lawati. Oleh itu, terimalah 10 Muzium Yang Anda Boleh Lawati di Malaysia!

SENARAI 10 MUZIUM DI MALAYSIA YANG ANDA BOLEH KUNJUNGI !

#1 MUZIUM NEGARA

Kredit Gambar : VisionKL

Muzium Negara merupakan peneraju aktiviti permuziuman di Malaysia dan pendukung terhadap pemuliharaan dan pengekalan warisan koleksi khazanah negara. Didirikan di atas tapak Muzium Selangor yang musnah pada Mac 1945 akibat Perang Dunia ke 2, idea pembinaannya telah dirancang pada 1957 selepas kemerdekaan negara ini dan diumumkan pembinaannya pada 1959. 

Reka bentuk bangunan Muzium Negara adalah bercirikan elemen astetik dan ukiran bangunan Istana Melayu tradisional. Reka bentuk yang tersergam indah ini dipilih sendiri oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Seni bina bangunan Muzium Negara disokong oleh 26 batang tiang konkrit yang telah diubahsuai bagi mengekalkan ciri-ciri istana Melayu tradisional. Konsep 26 batang tiang ini berdasarkan kepada gabungan 13 tiang yang terdapat pada bahagian timur dan 13 tiang lagi pada bahagian barat bangunan, yakni melambangkan Malaysia dibentuk daripada 13 buah negeri.

Akhirnya bangunan Muzium Negara berdiri megah dan dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-III pada 31 Ogos 1963, iaitu enam tahun selepas kemerdekaan negara ini. Terdapat empat buah galeri iaitu Galeri A : Sejarah Awal, Galeri B : Kerajaan-Kerajaan Melayu, Galeri C : Era Kolonial , Galeri D : Malaysia Kini. Selain itu, terdapat juga pameran di perkarangan muizum ini. 

Laman Sesawang : www.muziumnegara.gov.my
Lokasi : Muzium Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara, 50566, Kuala Lumpur.
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 5.00 Petang (Selasa - Ahad)

#2 MUZIUM ARKEOLOGI LEMBAH BUJANG


Muzium Arkeologi Lembah Bujang merupakan satu-satunya Muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudkan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara kurun ke 3 masehi hingga ke 12 masehi.

Muzium ini terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah kira 23 km dari Bandar Sungai Petani dibina untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi serta mempamerkan artifak-artifak protosejarah atau sejarah sebelum islam dari tapak tanah bersejarah di Lembah Bujang. Muzium Arkeologi Lembah Bujang telah dibuka dengan rasminya pada 23 Januari 1980 oleh Kebawah Duli Yang maha mulia Al-Sultan Almu’tasimu Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman.

Bahan-bahan Arkeologi yang dipamerkan di Muzium ini merupakan artifak-artifak arkeologi yang ditemui melalui kerja-kerja penyelidikan di ekskavasi arkeologi ditapak-tapak arkeologi di sekitar kawasan Lembah Bujang dengan keluasan 400km persegi. Artifak Arkeologi yang dipamerkan dalam Muzium ini merupakan bahan-bahan yang membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdangangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang yang meguasai jalan perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat terutama pedagang-pedagang China, India, Arab disamping pedagang-pedagang Melayu dari Kepulauan Melayu yang menguasai rempah ratus dan hasil hutan exotika untuk pasaran timur jauh sejak kurun ke 5.

Laman Sesawang : Lembah Bujang
Lokasi : Muzium Arkeologi Lembah Bujang, 08400 Pekan Merbok, Kedah
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 5 Petang (Isnin - Sabtu) 

#3 MUZIUM PERAK


Muzium ini merupakan muzium yang tertua di Semenanjung Malaysia. Ia terletak di bandar Taiping, kira-kira 85 km dari Ipoh, ibu negeri bagi negeri Perak. Ia juga berhampiran dengan Penjara Taiping dan lebih kurang 1.5 km dari pusat bandar.

Kebanyakkan koleksi terawal muzium ini adalah bahan-bahan etnologi dan antropologi. Kemudian, koleksi geologi, botani dan entamobologi menjadi spesimen tambahannya. Sehingga hari ini, jumlah koleksi terkumpul adalah sebanyak 8,474 dan terdiri daripada 5,074 koleksi kebudayaan, 523 koleksi alam semulajadi dan 2,877 lain-lain koleksi yang termasuk bahan-bahan arkeologi.

Muzium Perak yang kaya dengan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasfikasikan sebagai koleksi nadir (rare) berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang jenis benturong dan pulasan, tengkorak dan berpuluh kerangka binatang serta tembikar jenis perasapan yang kini hampir pupus atau sukar ditemui. Kebanyakan kolekis atau artifak ini diperagakan dalam empat galeri utama muzium yang ditempatkan di dalam bangunan berusia hampir 120 tahun yang dibina tahun 1883 berkonsep senibina British kuno jenis Art Dico.

Laman Sesawang : Muzium Perak
Lokasi :  Jalan Taming Sari, Taiping, 34000 Perak Darul Ridzuan
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 5.00 Petang (Setiap Hari)

#4 MUZIUM DIRAJA


Muzium Diraja yang bertempat di Istana Negara Lama, Jalan Istana, Kuala Lumpur merupakan tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong I hingga XIII (1957-2011). Setelah itu, bangunan Istana Negara Lama dijadikan muzium yang dikenali sebagai Muzium Diraja dan mula dibuka kepada orang ramai pada bulan 1 Februari 2013 sehingga kini. 

Bangunan Muzium Diraja telah dibina sejak tahun 1928 oleh seorang jutawan cina yang dikenali sebagai Chan Wing sebagai rumah agam beliau. Rekaan bangunan dua tingkat ini adalah hasil kreativiti daripada sebuah firma seni bina yang terkenal di Singapura iaitu Swan & MacLaren. Seni bina bangunan ini menerapkan gaya Palladian bagi menunjukkan kemewahan dan kehebatan kediaman tersebut. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bangunan ini dijadikan kuarteras pegawai tentera Jepun, kemudiannya diambil alih oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir. 

Setelah itu pada tahun 1950, bangunan ini dijadikan sebagai istana sementara Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sehingga tempoh pajakan tamat pada bulan Februari 1957. Seterusnya, bangunan ini dibeli oleh Kerajaan Persekutuan dan dijadikan sebagai Istana Negara iaitu kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Sebagai Istana Negara, bangunan ini telah diubahsuai beberapa kali dan mengalami penambahan secara besar-besaran sekitar tahun 1980-an dengan pembinaan Balairong Seri untuk upacara rasmi.

Laman Sesawang : Muzium Diraja
Lokasi : Muzium Diraja, Jalan Istana, 50460 Kuala Lumpur
Waktu Operasi : 9.00 pagi - 5.00 Petang (Setiap Hari)

#5 MUZIUM POLIS DIRAJA MALAYSIA 


Muzium Polis DiRaja Malaysia merupakan sebuah muzium yang terletak di Kuala Lumpur, Malaysia. Ia terletak di Jalan Perdana, antara Masjid Negara dan Taman Tasik Perdana.

Muzium Polis DiRaja Malaysia telah diilhamkan oleh Penguasa Sekolah Pusat Latihan Polis, iaitu PGB Waller pada tahun 1950. Muzium Polis DiRaja Malaysia kemudiannya dirasmikan pembukaannya 9 Januari 1961 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3.

Muzium ini mempamerkan beribu-ribu barangan menarik berkait dengan jenayah dan menghalang jenayah. Terdapat himpunan menarik semua perkara berkenaan kerja polis, dari zaman kesultanan melayu sehingga hari ini, menggambarkan kejadian dan mempamerkan memorabilia.

Koleksi senjata mempamerkan senjata-senjata yang pernah digunakan oleh Polis Diraja Malaysia dan juga yang telah dirampas. Selain itu terdapat juga koleksi anugerah yang diperolehi oleh anggota polis turut dipamerkan. Pingat-pingat seperti Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, Pingat Gagah Berani, Service Medal dan King's Police Medal turut dipamerkan.

Perjuangan dan pengorbanan anggota polis dan kerjasama masyarakat tempatan turut diberikan perhatian dalam Era Darurat dan Tragedi Bukit Kepong.

Galeri Muzium Polis DiRaja Malaysia terbahagi kepada 3 galeri iaitu galeri A, B dan C. Terdapat juga pameran di sekitar bahagian luar muzium. Pameran Kereta Perisai (GMC), Ferret Scout Car, Sankey, Kapal terbang CESSNA, Meriam-meriam dan bot marin PA4. Turut terdapat pameran kenderaan yang digunakan oleh tokoh-tokoh PDRM. Dataran perwira mempamerkan nama-nama anggota PDRM yang telah terkorban sewaktu menjalankan tugas.

Sebuah Muzium Muzium Polis DiRaja Malaysia yang baru telah dibina pada tahun 1983, diilhamkan oleh Tun Hanif Omar di Mes Pegawai Kanan PDRM di Jalan Venning. Muzium Polis DiRaja Malaysia itu siap dibina dan dibuka pada orang awam pada 2 Oktober 1998. Muzium Polis DiRaja Malaysia ini telah dirasmikan pada 24 Julai 1999 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Dato’ Seri Abdullah bin Hj Ahmad Badawi.

Lokasi : Jalan Perdana, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi : 10.00 Pagi - 6.00 Petang (Selasa-Sabtu)

#6 MUZIUM PADI, KEDAH


Muzium Padi Kedah Darul Aman terletak di Gunung Keriang, 8km dari Bandar Darul Alor Setar. Telah dibuka dengan rasminya oleh KDYMM Tunku Sultan Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah, pada 12 Oktober 2004, bersamaan 27 Syaaban 1435. Bangunan berbentuk Gemai Padi ini mempunyai sebuah bangunan induk dan enam buah bangunan sampingan di sekelilingnya. Muzium yang berlatarbelakangkan Gunung Keriang ini kelihatan seperti berada di tengah-tengah hamparan hijau, jika anda berkunjung pada musim menanam dan dalam hamparan keemasan pada musim padi masak. Tujuan utama muzium ini dibina ialah bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikaan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi. Keluasan keseluruahan Muzium Padi ini ialah 2,000 meter persegi dan mempunyai 3 aras.

Aras 1
Di aras ini pengunjung berpeluang mengetahui sejarah penanaman padi di Kedah, meninjau koleksi variati - variati padi dan melihat alatan-alatan pesawahan tradisional seperti anak, renggam, kapok, tenggiling dan lain-lain. Bagi yang ingin mencuba pengalaman baru, belehlah belajar memekul (membanting) padi adan menunmbuk padi di sini. Untuk penggemar ikan, boleh jugamelihat alat-alat menangkap ikan yang hampir pupus antaranya sepila, tuar, bubu, serta tankul disamping boleh mengenali ikan-ikan seperti sepat, puyu, haruan, keli dan bermacam-macam lagi.

Aras 2
Aras ini mengandungi enam galeri. Galeri-galeri ini memuatkan lukisan-lukisan yang menggambarkan aktiviti-aktiviti pertanian bermula dari zaman purba hingga ke zaman sekarang. Terdapat juga lukisan yang menggunakan teknik semburan batu kristal yang pasti mambuat anda terpesona. Pada mereka yang ingin menambah pengetahuan bolehlah menonton dokumentari mengenai kaedah penanaman padi yang ditayangkan setiap hari. Dari aras 2 ini juaga pengunjung boleh melihat aktiviti-aktiviti harian pesawah seperti mencabut semai, menyulam, membaja dan menuai.

Aras 3
Dengan menaiki 59 anak tangga, pengunjung boleh samapai ke puncak Gunung Keriang. Di sini, pengunjung boleh melihat panorama perkampungan tradisional dan sawah-sawah padi yang terbentang luas saujana mata memandang. Pengunjung pastinya akan terpegun melihat panorama tanaman pada satu musim dalam bentuk mural dan lanskap. Mural ini mempunyai ketinggian 8 meter serta 103 meter panjang dan merupakan salah satu mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia. Ruang pemerhatian diaras ini boleh memuatkan 40 orang pada satu-satu masa dan terletak diatas platform berputar.

Laman Sesawang : Muzium Padi
Lokasi : Muzium Padi, Lot 798 Jalan Gunung Keriang, Mukim Gunung Keriang,
06570 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 5.00 Petang (Selasa - Ahad)

#7 MUZIUM DIRAJA KUALA KANGSAR


Muzium DiRaja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah dan Istana Tepas) telah didirikan oleh tukang kayu Melayu yang bernama Haji Suffian dengan dibantu oleh dua orang anaknya, Zainal Abidin dan Ismail pada tahun 1926. Mereka ini berasal dari Seberang Prai.

Istana ini dibina atas titah Almarhum Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) iaitu Sultan Perak ke-30 sebagai tempat bersemayam sementara. Ini disebabkan ketika itu Istana Iskandariah masih lagi dalam pembinaan. Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga 1935. Setelah baginda berpindah ke Istana Iskandariah, ia dijadikan Istana Tetamu terutama pada hari-hari perayaan Diraja seperti Hari Keputeraan, pelantikan Orang-orang Besar Perak dan lain-lain istiadat Diraja Perak Darul Ridzuan.

Istana Kenangan melambangkan senibina Melayu tradisional yang mengkagumkan. Pembinaan Istana Kenangan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan (kayu belian) bercirikan perabung lima dan pisang sesikat. Paku-paku besi (paku logam) tidak digunakan dalam pembinaan Istana Kenangan ini. Istana ini dihiasi dengan ukiran-ukiran Melayu yang menarik dan menggunakan tepas yang dianyam dengan corak-corak anyaman Melayu tradisional.

Bangunan ini dibina di atas 60 batang tiang yang mana panjangnya lebih kurang 41 meter dan lebarnya 11 meter. Bentuk bangunan ini jika dipandang dari udara kelihatan seperti sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bahagian tengah di atas bangunan ini ditempatkan sebuah singgahsana dan di tingkat bawah pula dijadikan sebagai pejabat rasmi baginda. Ruangan di tingkat bawah ini berlantaikan simen dan bahagian sekelilingnya ditutup dengan bidai.

Nama Istana Kenangan telah diberikan dalam tahun 1960-an setelah bangunan ini dibaiki atas daya usaha Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Kemudian Istana Kenangan diduduki oleh keluarga Diraja Perak sehingga tahun 1982. Almarhum Sultan Idris II telah berkenan menyerahkan Istana Kenangan untuk diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Pada tahun 1986, Istana Kenangan telah dijadikan Muzium DiRaja Kuala Kangsar di bawah pentadbiran kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan. Pada 16 November 1986, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah berkenan merasmikan Muzium DiRaja Kuala Kangsar dan pada 9 Mac 2009, ia telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

Lokasi : Bukit Chandan, 33000 Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan
Waktu Operasi : 10.00 Pagi - 4.00 Petang (Selasa-Ahad)

#8 MUZIUM NEGERI TERENGGANU


Ini adalah kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama selain mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional. Ia dibina dengan landskap taman yang indah, dan mengembalikan kegemilangan Terengganu yang kaya dengan sejarah budaya yang kekal sehingga ke hari ini.

Terletak di atas 27 hektar tanah di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini menyerlahkan senibina yang menarik mendapat inspirasi dari istana lama di Terengganu. Ia menempatkan sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, dan taman botani serta taman ulam.

Muzium utama mempunyai galeri yang mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.

Laman SesawangMuzium Negeri Terengganu
Lokasi : Kampung Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 5.00 petang (Sabtu - Khamis)

#9 MUZIUM KOTA TINGGI, JOHOR


Bangunan seluas 6,480 meter persegi ini mula dibina pada 14 April 1997 dan telah siap pada 11 Jun 1999. Mula dibuka kepada orang ramai pada 30 Ogos 2002 dan dirasmikan oleh D.Y.A.M. Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tunku Mahkota Johor (Sultan Johor pada masa ini) pada 29 Februari 2004 bersamaan 8 Muharam 1425 H bersempena Program Kembara Mahkota Johor. Setelah berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan penyebaran maklumat sejarah selama hampir 10 tahun, Muzium Kota Tinggi telah dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Muzium Kota Tinggi mempunyai signifikan yang amat ketara daripada segi sejarah dan tinggalan sejarah pemerintahan Kerajaan Johor Lama. Lembah Sungai Johor merupakan wadah kesinambungan Kesultanan Melayu setelah gugurnya Melaka pada tahun 1511. Dengan mengambil kira tahun 1529 bermulanya pusat Kerajaan Johor di Pekan Tua (Pasir Raja) dan diikuti oleh Johor Lama dalam tahun 1540 bererti tamadun Melayu telah bertapak di Kota Tinggi selama lebih 400 tahun. Di lembah Sungai Johor inilah lahirnya Tun Sri Lanang Pengarang Melayu tersohor dan terawal menghasilkan Sejarah Melayu, sebuah historiografi Melayu yang agung. Dilembah sungai ini juga dikatakan lahirnya Badang, manusia yang mempunyai kegagahan luar biasa.

Muzium Kota Tinggi (pada awalnya menggunakan nama Pusat Sejarah Kota Tinggi) mula dibina pada tahun 1997. Kerja-kerja binaan telah diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi. Pada 11 Jun 1999 bangunan ini telah sempurna disiapkan dan diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti. Pada 27 Februari 2001 pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti menyerahkan Muzium Kota Tinggi ini kepada Kerajaan Negeri Johor dan diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor.

Laman Sesawang : Muzium Kota Tinggi
Lokasi : Kampung Makam, 81900 Kota Tinggi, Johor
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 4.00 Petang (Setiap Hari)

#10 MUZIUM KESULTANAN MELAYU MELAKA


Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka dibina berdasarkan ‘Sejarah Melayu’ yang menggambarkan keunikan seni bina istana pada zaman Sultan Mansur Shah. Selain daripada reka bentuk bangunan, pelbagai ukiran dan susun aturnya, pelawat berpeluang menambah pengetahun berhubung institusi Kesultanan Melayu Melaka dan menerokai suasana dalaman sebuah istana melalui diorama Balairong Seni, delegasi pedagang-pedagang, diorama pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat serta bilik beradu Sultan. 

Pelbagai model istana Melayu turut dipersembahkan di samping peragaan koleksi pakaian tradisional, aksesori perhiasan, senjata dan peralatan tembikar. Sebuah replika Istana lama Kesultanan Melaka, muzium ini menggambarkan kisah menarik campuran unik pelbagai budaya di Melaka. Ia mempamerkan kebudayaan dan tamadun Melayu sejak abad ke-15. Terletak di kaki Bukit St. Paul, ia adalah satu-satunya Istana Melayu dari zaman kegemilangan Kesultanan Melaka yang dibina dengan ketelitian dan kehalusan yang sebegini.

Lokasi : Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka
Waktu Operasi : 9.00 Pagi - 5.30 Petang (Isnin-Ahad)


TAK SABAR NAK MELANCONG!

Walaupun sebenarnya masih ada puluhan muzium lagi di Malaysia, hanya 10 ini sahaja yang tersenarai untuk kali ini. Bagaimana? Ada tak antara muzium-muzium ini yang anda pernah lawati? Untuk aku sendiri, tak semua muzium aku pernah lawati. Ada beberapa muzium di dalam senarai ini yang aku belum pernah lawati. In shaa Allah, apabila sudah boleh merentas negeri dan keadaan pasca Covid yang semakin pulih, bolehlah aku lawati muzium-muzium ini. 

SEKIAN

Tags

Post a Comment

2Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. ammi duduk di KL..Muzium Negara pun tak pernah pergi. Dalam 10 ni yg pernah sampai cuma Muzium Kesultanan Melaka je.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!