Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar kepada semua peminat kisah seram dan misteri? kembali lagi dalam rancangan 'Kisah Seram Apa Minggu Ini?'. Baiklah, kisah kali ini merupakan sebuah kisah yang cukup misteri dan seram, perkongsian oleh Ben Jamalley di facebook. Kisah ini aku rasa tahap misteri dan seramnya agak tinggi. Kalau tak berapa nak berani, bolehlah baca di waktu siang, tapi kalau rasa macam teringin nak seram-seram, bolehlah baca di waktu malam. Apa-apapun selamat membaca!
KISAH SERAM : MISTERI DUA JENIS HANTU DATANG MENGGANGGU
Kisah ini berlaku ketika aku sudah menghabiskan pengajian ijazahku. Sementara menunggu kerja melamarku, aku balik ke kampungku di pekan T, Pulau Pinang untuk menghabiskan cuti yang tidak pasti berapa panjangnya.
Di kampung kami masa itu ada dua orang budak yang sangat nakal. Seorang bernama Matt, seorang lagi bernama Ei. Kedua-dua mereka ketika itu masih di darjah enam sekolah rendah. Budak berdua yang berjiran ini suka merayau waktu malam. Ibu bapa selalu pening kepala kerana takut perkara buruk berlaku ke atas anak-anak mereka.
Aku pernah tanya kedua budak itu, tak takut ke selalu keluar malam? Mana tau terjumpa hantu jembalang ke, jin ke, cik ponti ke?
Mereka kata tak takut, kerana kata mereka hantu pun takut dengan mereka.
"Takut apa. Kalau jumpa hantu, kami buat ulam jaa," kata Ei sambil disahut oleh ketawa besar Matt.
Amboi... depa cakap besar nooo, kata aku dalam hati.
Kebetulan dekat rumah aku ada sebatang pokok durian yang buahnya selalu menjadi. Walaupun cuma sebatang pokok, tetapi setiap kali tiba musim durian jenuh juga kami makan durian. Bukan sahaja keluarga, malah kadang-kadang ayah aku sampai pernah buat kenduri pulut durian untuk semua jiran sekampung. Begitulah banyaknya buah durian yang dihasilkan pokok itu.
Satu malam Jumaat, Matt dan Ei keluar malam seperti biasa. Ketika aku sedang mengutip buah durian yang luruh lepas waktu Maghrib, mereka melintas di depan aku dengan basikal mountain bike mereka.
"Jaga-jaga keluaq malam, malam ni malam Jumaat!" aku cuba menakut-nakutkan mereka.
"Malam apa pun sama ja. Kalau jumpa hantu kami nak masuk depa dalam botoi, kami jual boleh jadi kaya!" sambut Matt sambil gelak besar.
Lepas mengutip beberapa biji durian yang luruh, aku masuk semula ke dalam rumah. Dalam hati aku masih teringat dua orang budak nakal itu. Betul ke depa tak takut hantu? Kalau malam ni hantu muncul amacam?
Kira-kira pukul 10.30 malam aku keluar rumah. "Nak suluh buah durian," aku beritahu adik perempuanku, Nor.
Kira-kira pukul 11.00 malam, ketika mak, ayah dan adik-adik aku bersiap-siap untuk tidur, mereka terkejut besar apabila mendengar suara budak-budak menjerit di luar rumah. Suara jeritan budak-budak itu sangat kuat. Mujur juga tinggal di rumah kampung yang jarak setiap rumah lebih dari 10 meter. Kalau tinggal di rumah teres mesti terkejut satu taman dengan suara jeritan sekuat itu.
"Hantu... hantu... tolonggggg... hantu!!!" terdengar jeritan diikuti bunyi ketukan kuat bertalu-talu di luar pintu rumah kami.
Ayah aku cepat-cepat membuka pintu. Kelihatan Matt dan Ei berada di depan pintu. Dengan terketar-ketar kedua-dua mereka melompat masuk ke dalam rumah kami dengan wajah pucat lesi.
Matt yang menggigil seluruh tubuh tiba-tiba jatuh atas lantai rumah. Pengsan!
Ei pula tidak mampu bercakap, hanya tubuhnya terketar-ketar menyebut, "hantu... hantu... hantu..." berulang kali. Peluh dingin membasahi wajah mereka berdua.
Dengan bantuan ayah, akhirnya Matt pulih daripada pengsan. Ei pula perlahan-lahan sudah boleh bercakap semula.
"Awat..apa yang jadi kat hangpa sampai jadi macam ni?" tanya ayah kepada Mat dan Ei selepas melihat semangat kedua-duanya telah beransur pulih.
"Ada hantu di perdu pokok durian tu..," terang Ei.
"Macam mana rupa hantu tu?" balas ayah.
"Hantu tu pakai telekung putih. Dia bongkok sikit, tangan pegang tongkat..," jawab Matt pula terketar-ketar.
"Bukan hantu kot," ayah aku cuba tenangkan mereka. "Kot ada pakaian orang tersangkut kat pokok tu."
"Hantu...yang pakai telekung tu memang hantu". Ei masih cuba meyakinkan ayah apa yang dilihatnya.
"Dia terlompat-lompat macam hantu cerita filem Cina, suara pula mengilai-ngilai."
"Hantu telekung tu tinggi orang biasa jaa. Tapi di belakang hantu telekung tu ada satu hantu lagi. Hantu kedua tu sangat tinggi, semua badan dia hitam legam," Matt menyampuk.
"Tinggi mana hantu tu Matt?" tanya ayah lagi.
"Tinggi 10 kaki kot!".
Tinggi 10 kaki...tingginya hantu tu. Kalau 10 kaki, maknanya 3 meter lebih? Mana ada manusia di planet bumi tingginya 3 meter lebih?
Sebenarnya semua dialog antara Matt dan Ei dengan ayah aku itu diceritakan balik kepadaku oleh adik perempuan aku, Nor. Ketika kejadian Matt dan Ei menyerbu rumah kami, aku berada di luar rumah kerana baru selesai membuat suatu “operasi khas”.
Malam itu ayah aku terpaksa menghantar dua budak itu balik ke rumah ibu bapa mereka, sebab mereka sendiri tidak berani balik bersendirian ke rumah kerana takut disergah hantu telekung dan hantu tinggi itu sekali lagi.
Ketika ayah sudah keluar rumah menghantar dua orang budak itu, aku masuk ke dalam rumah.
Tiba-tiba adikku Nor terperasan sesuatu yang aku pegang.
"Apa dalam plastik tu, Abang Caq?"
"Buah durian," jawab aku cepat-cepat ke dapur.
Nor mengekori aku dan tiba-tiba dia merampas beg plastik tersebut.
"Patutlah tadi orang cari kain telekung nak solat tak jumpa, rupa-rupanya Abang Caq yang ambik ya? Abang Caq la rupanya yang jadi hantu telekung usik Matt dan Ei? Kesian kat depa, sampai ada yang pengsan!" kata Nor sambil ketawa kuat.
"Jangan bagitau ayah nooo... nanti Abang Caq kena bedal!" pesan aku kepada Nor.
"Tapi Abang Caq dok usik budak berdua tu dengan sapa? Sapa kawan Abang Caq yang kat belakang Abang Caq tu?"
"Kawan? Kawan mana pulak? Tak dak kawan aihhh..Abang Caq sorang-sorang jaa yang pi usik depa."
"Haa..Mat dan Eii kata ada hantu panjang di belakang Abang Caq. Depa kata hantu tu berbulu tebai, hitam. Hantu di belakang tu sangat tinggi."
"Hantu panjang di belakang Abang Caq? Mana ada? Tinggi mana hantu panjang yang depa nampak tu?"
"Depa kata tingginya 10 kaki. Sapa kawan Abang Caq yang tinggi 10 kaki yang dok di belakang Abang Caq tu?"
"Mana ada kawan Abang Caq tinggi 10 kaki?". Tiba-tiba bulu tengkukku rasa meremang. Entah-entah...
Aku pernah dengar daripada orang tua-tua kampung kami tentang cerita hantu panjang yang digelar sebagai 'hantu galah'. Kononnya hantu galah ini hitam berbulu tebal dan sangat tinggi, setinggi galah yang kait pokok kelapa tu. Biasanya hantu galah ini ditemui berdekatan dengan kawasan hutan belukar.
Tak kan hantu galah tu tersesat dari hutan dan masuk ke kampung kami untuk membantu aku mengenakan budak berdua tu pula?
Patutlah masa aku sedang menahan ketawa melihat dua orang budak itu terjerit-jerit di depan tangga rumahku, ketika itu seperti ada suara orang batuk-batuk di belakang, rupanya memang ada sesuatu dibelakangku! Aku pula ketika itu tidak terfikir untuk melihat milik siapa suara yang terbatuk di belakangku kerana fokusku lebih terarah hendak melihat gelagat budak berdua yang sedang aku kenakan itu.
Esoknya pecah cerita satu kampung di bawah pokok durian dekat rumah aku ada hantu. Hantu pertama memakai telekung putih sambil terlompat-lompat. Hantu kedua pula tinggi dan hitam berbulu.
Akibat terkejut 'hantu pokok durian' itu Matt demam selama seminggu, manakala Ei seperti lemah semangat dan tidak berani keluar malam lagi.
Apa pun, peristiwa itu membawa kesan baik kepada Matt dan Ei kerana lepas itu mereka berdua tidak berani keluar malam lagi. Ia sangat menggembirakan kedua ibu bapa mereka. Tentu kedua ibu bapa Matt dan Ei berterima kasih kepada kedua-dua hantu itu yang telah berjaya memulihkan perangai negatif anak-anak mereka.
Cuma aku sahaja yang masih tertanya-tanya hingga kini siapa gerangan lembaga hitam tinggi di belakang aku itu? Benarkah dia hantu galah?
Apa pun aku bersyukur aku tidak menerima gangguan daripada hantu galah itu. Mungkin kerana dia ingat kami satu geng kot? Kalau aku dirasuknya pecahlah tembelangku yang nak mengenakan dua orang budak nakal tu.
SEKIAN
Rujukan : Kelab Cerita Hantu Malaysia [Ben Jamalley (Jeff Hamz)]
Salam perkenalan, nama blogger baru dan nama saya Hanif
ReplyDeleteSaya ingin bertukar link dengan rakan-rakan blogger semua
Sertai segmen saya "Jom Tukar Bloglist"
https://shopppermaniac.blogspot.com/2021/10/jom-tukar-bloglist-shoppermaniac.html
JOM TUKAR BLOGLIST
Blog saya ialah berkisar tips memasukkan bisnis online dan link kedai Shopee ke website