Assalamualaikum dan salam sejahtera
Berkhemah di Dayang Bunting Campsite | Berkhemah? Entah bila rasanya kali terakhir aku berkhemah. Mungkin kali terakhir adalah di Dusun Bonda tapi itu bukan bercamping tapi berglamping. Kalau sewaktu bersekolah dulu memang selalu juga berkhemah, ikut acara perkhemahan yang diaturkan pihak sekolah.
Kali ini, aku nak cerita salah satu aktiviti menarik yang aku lakukan di Langkawi. Ya, ramai yang datang ke Langkawi bercuti di hotel-hotel mewah dan sebagainya, tapi salah satu aktiviti yang aku dan rakan-rakan lakukan adalah berkhemah di Langkawi.
PENGALAMAN BERKHEMAH DI DAYANG BUNTING CAMPSITE
Dayang Bunting Campsite merupakan satu lokasi tapak perkhemahan yang baru sahaja dibuka. Sebelum ini lokasi ini merupakan tempat persinggahan bagi mereka yang menaiki cruise/ boat melihat perairan sekitar pulau Langkawi ini. Kami berkhemah di tapak perkhemahan ini hanya untuk satu malam sahaja.
Bertolak dari jeti Kuah untuk ke pulau Dayang Bunting, kami tiba di Dayang Bunting Campsite pada jam sekitar 5.20 petang. Kemudian ada sedikit briefing tentang tapak perkhemahan ini, apa yang boleh dilakukan, apa fasiliti yang tersedia dan sebagainya. Di sinilah diberitahu tentang info tentang tapak perkhemahan ini.
Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tugas masing-masing. Task yang perlu dilakukan adalah menaikkan khemah, menyiapkan bahan memasak barbeku malam nanti, mencari kayu api. Alhamdulillah, aku dimasukkan ke dalam kumpulan menaikkan khemah. Proses menaikkan khemah agak mudah kerana khemah yang disediakan jenis mudah pasang. Ada 5 khemah kesemuanya cukup untuk kami 10 orang.
Bila dah siap pasang khemah, aku pun bantu rakan-rakan lain menyiapkan bahan memasak, mencari kayu api, menghidupkan unggun api dan sebagainya. Untuk makan malamnya, ayam, daging dan ikan perlu diperap terlebih dahulu. Nasi juga perlu dimasak dan beberapa makanan lain.
PERKHEMAHAN YANG AGAK EKSTREM
Macam yang aku beritahu diatas, tapak perkhemahan ini masih baru dan sebelumnya fungsi tapak ini adalah sebagai persinggahan sahaja.
✖ TIADA ELEKTRIK
✖ TIADA BEKALAN AIR BERSIH*
Tiada elektrik. Itu tidaklah membuatkan aku risau sebab kami diberitahu untuk membawa lampu suluh dan sebagainya. Powerbank adalah sangat penting untuk mengecas peralatan elektronik. Nak memasak dan sebagainya perlu disuluh dengan lampu suluh kerana tiada elektrik untuk lampu.
Tiada bekalan air bersih. Air yang ada cumalah air hujan yang ditakung di dalam tangki dan beberapa tong biru. Air itulah digunakan untuk membasuh dan mencuci diri di tandas. Untuk minum jangan risau sebab kami ada bawa botol air mineral sendiri, sekali dengan bahan memasak dan perapan untuk barbekue semuanya sudah dibeli dan dibawa dari pulau.
Ekstrem kah? Bagi aku ya, agak ekstrem, tiada lampu dan tandas yang agak jauh. Nak buang air besar, mandi dan sebagainya perlu dibawa lampu suluh. Airnya pula perlu diambil dengan beberapa gayung. Usaha yang agak memenatkanlah jugak. Tapi kalau mandi tu, bagi lelaki mandi di luar sahaja, macam di asrama dulu kala.
Mungkin ada antara anda yang sering berkhemah menganggap pengalaman berkhemah aku ini biasa sahaja. Bagi aku, ini pengalaman baru aku, seorang budak yang diberi keselesaan dan jarang-jarang berkhemah. Mungkin tidak ekstrem bagi anda. ✌
Selesai berbarbeku dan makan, kami pun membersihkan diri dan menyiapkan barang di khemah. Sebab risau cuaca yang tidak menentu, kebanyakan barang diletak di kawasan berbumbung. Hanya barangan penting sahaja dibawa ke khemah. Tapi alhamdulillah, hujan tidak turun dan cuaca agak baik.
Masing-masing kembali ke khemah apabila sudah mengantuk. Oh ya, pantai di Dayang Bunting Campsite ini mengadap ke arah bandar Kuah, jadi nampaklah lampu-lampu yang cantik menghiasi salah satu bandar terbesar di Langkawi itu. Boleh nampak bangunan yang baru siap dibina iaitu menara Maha di bandar Kuah dihiasi lampu-lampu berwarna warni.
Jam 5 pagi, aku sakit perut dan aku menggagahkan diri untuk ke tandas dan mengambil air dari setiap gayung dan bawa ke dalam tandas. Fuhh, memang penat ya nak membuang air besar. 😅 Aku tengok rakan-rakan yang lain semuanya sedap tidur. Lepas selesai aktiviti di tandas, aku pun berehat di tepi pantai menunggu matahari terbit.
Esok paginya, jam 9 kami bergerak keluar dari tapak ini untuk ke lokasi aktiviti lain pula. Kami terus ke jeti di Kuah, bersarapan di sana dan meneruskan aktiviti berikutnya.
SEDIKIT GAMBAR KENANG-KENANGAN
Walaupun fasiliti disini biasa-biasa sahaja, yang memberikan nilai tambah adalah pemandangan yang indah. Ada pantai disini, laluan jeti masuk yang cantik. Kami tidak lepaskan peluang untuk bergambar di sini.
PENGALAMAN YANG MENARIK
Pengalaman berkhemah kali ini sangat menarik, agak ekstrem dan pengalaman yang aku tak akan lupakan. Bila selalu sangat tidur di hotel, tempat yang selesa, beginilah jadinya. Melihat ramai yang sukakan aktiviti berkhemah di Malaysia ini, buatkan aku terfikir mungkinkan ini bakal jadi hobi aku seterusnya? Mungkin.
Apa-apapun, berkhemah di Dayang Bunting Campsite ini memang menarik. Untuk mereka yang gemar berkhemah atau bercamping, bolehlah cuba berkhemah disini dan lakukan aktiviti menarik di sini. Cuma kalau nak bawa anak-anak kecil mungkin agak susah dengan keadaan yang agak ekstrem di sini. Tapi kalau anda okay, boleh sahaja bawa anak-anak anda.
DAYANG BUNTING CAMPSITE
Sekiranya anda berminat untuk berkhemah @ camping di sini, anda boleh hubungi :-
+60134323268 (PK)
+60182404505 (Adam Daniel)
Kredit Gambar : Eddy Rush , DboyStudio
#PregnantMaidenIsland #DayangBunting #PregnantMaidenLake #QTTxLangkawi #InterMediaProduction #QTTGroup #RouhiRetreats #GengBuddiesPiLangkawi #CutiCutiBuddies #BuddiesDiscovery #BuddiesTravelogue #LADALangkawi #Langkawi #NaturallyLangkawi #LangkawiSafePlaceToGo #FT0421
macam best jer. dah lama tak buat aktiviti gini
ReplyDeletememang best. pengalaman yg agak lama saya tak buat hehe :)
Deletebest sungguh nampaknya, insyaallah ada rezeki, anak2 dah besar nanti bolehlah try ke sini
ReplyDeletememang best, pengalaman berkhemah yg seronok :)
DeleteTak pernah lagi camping kalau ke Langkawi ni ha. Nampak best juga. Sedapnya berbarbeku gitu....
ReplyDeletekan.. selalu orang pergi langkawi jalan2 je.. ini bercamping pulak :)
DeleteTakde lampu ok lagi pada saya. Takde air, memang pedih gak la. Hehe. Almaklum anak kampung, saya takde la penakut sangat but perlu ada air.
ReplyDeletesaya kena ada dua2 haha.. air bersih paling penting. kalau bercamping lama tu, lagi banyaklah barang yg saya akan bawak :)
DeleteNasib satu malam jer kan kalau 3 hari mati kering rasa dengan tak ada air bersih hanya air hujan hehehe tapi tempat cantik waktu pagi dan petang layan matahari hehehe...
ReplyDeleteitulah.. kalau 3 hari kena bawak barang lagi banyak! kena prepare mental & fizikal :)
DeleteMemang laa, kalau nak berkhemah kena tahan mental, semua benda dah macam duduk hutan kan, tang air tak bersih tu kena fikir dua kali gak yaa, sebab nak minum semua adeiii
ReplyDeletebetul tu. kalau mental tak kuat 10 minit je dah nak balik haha :)
Deletewuiiii best ni.. teringin nak berkhemah.. bawa anak2 mmmg sangat seronok
ReplyDelete