Assalamualaikum dan salam sejahtera
Kembali lagi dalam episod "Kisah Seram Apa Minggu ini?" Kali terakhir kisah seram dikongsikan adalah pada bulan November yang lalu! Hampir sebulan jugalah tiada sebarang kisah seram dikongsikan. Baiklah, kali ini adalah kisah seram yang terjadi di sebuah panggung wayang gambar atau dikenali sebagai pawagam. Selamat membaca!
KISAH SERAM : DIGANGGU KETIKA MENONTON WAYANG TENGAH MALAM
Ada tak di antara anda yang suka menonton wayang cerita seram di waktu lewat malam? Atau budak-budak sekarang gelar tayangan ‘midnight’?
Pernah tak berlaku pengalaman menyeramkan ketika sedang asyik menonton? Jika ada, mungkin kita senasib, tambahan pula kalau peristiwa tersebut meninggalkan kesan trauma yang cukup mendalam. Baiklah, dipendekkan cerita mesti pembaca semua nak tahu apa kisah yang terjadi kepada aku kan?
Begini ceritanya…
Aku ni memang kaki wayang, tambah pula kalau kisah misteri atau hantu. Boleh dikatakan kalau ada cerita begini memang aku tak pernah ketinggalan, lepas tu sengaja pula cari waktu tayangan tengah malam, kononnya baru lebih feel.
Hendak dijadikan cerita, pada satu malam tu aku dan rakan serumah, Aril pergilah menonton sebuah filem seram. Cerita ini memang popular, maklumlah filem Melayu, lepas itu pula banyak akhbar dan majalah yang ulas kononnya filem ini antara yang terbaik.
Campur tolak iklan, akhirnya cerita bermula jam 12 tengah malam. Aku jeling penonton dalam dewan itu, Memang tidak ramai, rasanya tidak sampai 10 orang. Mungkin disebabkan filem ini sudah dua minggu ditayangkan atau mungkin juga sebab tidak ramai yang mahu menonton pada lewat malam.
Aku dan Aril menonton dengan penuh khusyuk. Jalan ceritanya memang menarik, tambah pula banyak adegan-adegan suspens yang ditonjolkan. Sesekali kedengaran jerit pekik menonton yang terkejut dan ketakutan. Aku dan Aril hanya tertawa kerana lucu dengan gelagat mereka.
Sekali sekala ketika skrin beralih terang sempatlah juga aku toleh ke arah pengunjung lain yang berada di sitru. Nampak masing-masing cemas dan takut, sehinggakan ada yang masih menutup muka.Hampir setengah jam cerita ditayangkan tiba-tiba skrin di hadapan bertukar gelap seolah-olah terpadam. Suasana bertukar sunyi. Aku jeling Aril di sebelah. Dia memandangku dengan penuh tanda tanya. Mungkin dia juga berperasaan sama denganku ketika itu.
“Eh, kenapa pula tiba-tiba skrin gelap ni, filem rosak ke?” tanyanya kepadaku. Aku angkat bahu tiada jawapan.
“Mungkin masalah teknikal agaknya..” kataku perlahan.
Hampir satu minit berlalu tiba-tiba telingaku menangkap sesuatu. Bunyi seperti orang menangis. Walaupun perlahan, namun tetap jelas kedengaran. Bunyi tangisan tersebut cukup sayu sambil diselangi esak sendu sendan.
Aku cuba mendengar dengan teliti untuk mencari dari mana arah bunyi tersebut. Sedang mata liar melihat sekeliling tiba-tiba skrin di hadapan bertukar terang kembali.
Aku sambung menonton namun dalam hati masih timbul tanda tanya. Suara esak tangis masih lagi kedengaran walaupun ditenggelami bunyi audio filem di hadapan.
Sebaik skrin bertukar terang, aku menoleh ke belakang. Kosong! Ku palingkan muka ke sudut bucu di barisan paling belakang. Aku tersentak. Nampak jelas seorang wanita berambut panjang sedang tunduk bersandar.
Aku kaget. Dalam hati aku berfikir siapa pula wanita tersebut. Sudahlah seorang diri, kemudian duduk terpencil di sudut belakang pula.
“Kau ada dengar bunyi perempuan menangis tak?” tanyaku kepada Aril perlahan.
Aril mengangguk seraya memandangku.
“Aku rasa perempuan yang kat kerusi hujung di belakang tu..”
Aril serta mereta memalingkan mukanya. Aku juga turut sama menoleh sebelum kami saling berpandangan. Aku dapat lihat wajah Aril yang bertukar pucat. Aku juga tidak terkecuali. Jantungku serta merta berdegup kencang.
“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” tanya Aril perlahan.
Aku mengangguk tanpa kata.
“Aku rasa macam ada yang tak kena ni. Sumpah beb. Aku seram gila ni..” katanya perlahan.
Aku diam tanpa jawapan. Memang kata-katanya ada kebenaran sebaik kami melihat wanita tersebut. Wajahnya cukup menyeramkan. Mukanya putih melepak dan bola matanya bulat tersembul seakan mahu terkeluar.
Aku berdoa dalam hati agar filem yang ku tonton ketika itu tamat secepat mungkin. Tidak sanggup lagi aku duduk lama di situ kerana fikiranku sudah mula melayang jauh. Tumpuanku ketika itu bukan lagi ke arah skrin di hadapan tetapi sebaliknya wanita misteri di belakangku.
Apa yang ada dalam fikiranku ketika itu adakah persoalan yang sukar dijawab. Wanita tersebut manusia ataupun sebaliknya.
“Aku rasa macam tak sedap hatilah. Jom kita balik nak?” kata Aril perlahan.
Ketika bercadang untuk melangkah keluar dari tempat duduk, tiba-tiba adegan seram terpapar di skrin hadapan. Bunyi hilaian melalui audio di hall tersebut membuatkan kami terkejut. Tetapi aku dapat rasakan ada sesuatu yang berbeza, yang mendatangkan persoalan.
Bunyi hilaian di audio sudah berhenti namun seakan ada ‘sambungannya’ dari arah belakang. Aku perasan. Telingaku dapat menangkap dengan jelas. Memang bunyi tersebut datangnya dari arah tempat duduk wanita tersebut.
Aku jeling ke arahnya. Jelas kelihatan dia sedang ketawa mengekek sehingga kepalanya terhinggut-hinggut ke atas ke bawah. Pelik benar gayanya, kenapa pula aksinya begitu sedangkan cerita yang ditayangkan bukanlah cerita komedi.
Aril memandangku dengan perasaan cuak. Kami serentak menoleh ke arahnya. Namun lain pula jadinya apabila wanita tersebut turut berpaling membalas pandangan kami. Serta merta dia berhenti mengilai. Matanya terjegil memandang ke arah kami.
Rasa nak luluh jantung kami dibuatnya. Peluh mula membasahi tubuh walaupun suasana di pawagam cukup sejuk.
Aku tidak tahu adakah pengunjung lain perasan atau tidak dengan kewujudan wanita di kerusi belakang tersebut, atau adakah hanya aku dengan Aril sahaja yang menyedarinya.
“Jom kita blah beb. Aku dah tak boleh fokus ni. Aku rasa pompuan tu bukan manusia beb. Kau percayalah cakap aku ni.” kata Aril perlahan.
Aku mengangguk sambil mencapai beg galas yang ku letakkan berhampiran kakiku. Ketika aku dan Aril melangkah keluar dari kerusi, sekali lagi kami lemparkan pandangan ke arah tempat duduk wanita tersebut. Namun alangkah terkejutnya kami kerana kerusi tersebut kosong tanpa penghuni. Aku pandang sekeliling. Sah! Tiada sesiapa di situ.
Adan Aril bergegas keluar. Kami berlari-lari anak menuju ke arah lif untuk turun ke tempat parkir kereta. Dalam hati kami berdoa agar tiada apa-apa berlaku ketika itu.
Selesai membayar duit parkir di mesin automatik yang ada di situ kami bergegas ke kereta. Sepanjang perjalanan kami tidak berbual kerana fikiran masih melayang jauh memikirkan kejadian sebentar tadi.
Kami akhirnya selamat sampai ke rumah. Malam itu aku dan Aril tidur di ruang tamu kerana takut bermalam di bilik masing-masing. Sejak kejadian tersebut aku tidak pernah jejakkan kaki lagi ke pawagam tersebut. Itu adalah kali terakhir aku menonton tayangan ‘midnight’. Sehingga hari ini aku masih berasa trauma jika menonton cerita seram. Pasti mataku akan liar ke arah deretan kerusi-kerusi yang berada di situ.
Panggung wayang di mana yang aku maksudkan? Biarlah ia menjadi rahsia. Cuma pesanku berhati-hatilah jika ingin menonton pada lewat malam.
SEKIAN
alaaaaa.....seram plak...baru cadang nak tgok midnight nanti...akak dah la penakut...hehehe
ReplyDelete