Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, masih diberi kesihatan yang baik untuk menulis dan berkongsi cerita kepada anda tentang apa yang berlaku sekitar kehidupan aku. Baru-baru ini aku berkesempatan untuk bercuti selama seminggu untuk pulang ke kampung di Kulim, Kedah untuk beberapa urusan dan merehatkan diri.
Setelah berapa lama aku tak tulis tentang hidup sendiri (banyak artikel review & advertorial), kali ini aku nak kongsikan kisah yang aku rasa mungkin boleh dikongsi untuk tatapan diri sendiri di masa hadapan.
BAB 1 | Balik Kampung & Rehat
Setelah beberapa bulan berada jauh dari keluarga, aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku pulang ke kampung sebentar untuk berehat dan bersama keluarga. Sudah lama tak bersua muka, bercerita dan sebagainya. Aku pun jarang sebenarnya nak bermesej bertanya khabar dan pelbagai lagi.
Waktu selepas perayaan Tahun Baru Cina aku rasakan paling sesuai untuk pulang. Setelah ramai-ramai kembali ke Lembah Klang, aku pula memandu bersendirian ke Kulim, Kedah.
Pemanduan yang bermula pada jam 8.00 malam akhirnya berakhir sekitar jam 2 pagi. Walaupun agak mengantuk kerana memandu seorang diri, tapi aku gagahkan juga. Beberapa kali juga aku berhenti di R&R untuk menyegarkan diri. Alhamdulillah, sampai dengan selamat.
BACA JUGA : Pengalaman Buat Sate Ayam Sendiri di Rumah
BAB 2 | Cucuk Booster
Okay, antara urusan yag menyebabkan aku balik adalah pengambilan Booster Vaksin Covid-19. Di awal bulan Februari, tiba-tiba aku menerima notifikasi dari aplikasi My Sejahtera memberitahu tentang temujanji Booster Vaksin.
Bertempat di Klinik Kesihatan Kulim (Hospital Kulim Lama) dan bertarikh 6hb Februari 2022. Walaupun sebenarnya aku tak kisah kalau dapat ambil booster dose ni dimana-mana pun, peluang dan aturan yang diberikan cukup tepat. Aku boleh jadikan urusan booster dose sebagai antara sebab untuk pulang ke kampung.
CUCUK BOOSTER
Di dalam aplikasi MySejahtera, tertera jam 12.00 tegah hari tetapi aku pergi seawal jam 10.00 pagi kerana risau orang ramai dan sebagainya. Ayah, ibu dan adik aku turut mengikut untuk menghantar aku ke Klinik Kesihatan Kulim tersebut. Alhamdulillah, sampai sahaja ke klinik tersebut aku terus ke kaunter pendaftaran.
Tak ramai orang pun sebenarnya. Di depan aku hanya ada seorang wanita yang mempunyai masalah berkaitan MySejahteranya. Kemudian, aku terus mendaftar dengan petugas dan diberi borang untuk diisi. Berikutnya aku disuruh untuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, tidak menunggu lama, aku terus disuruh ke bahagian bawah dan perlu memberitahu jururawat tentang jenis booster yang aku ambil.
Kemudian, masuk sahaja ke ruangan menunggu untuk cucuk booster vaksin, melagkah masuk sahaja, jururawat terus bertanya, aku ambil booster apa.
" Awak ambil booster apa?"
"AZ!" aku bersuara agak kuat kerana ruang yang agak besar dan agak ramai yang menunggu. Kemudian, jururawat terus memanggil aku masuk ke bilik dan terus cucuk Booster Dose. Selesai. Sudah boleh pulang.
Tempoh urusan semuanya tak sampai 10 minit, mungkin sebab hanya aku seorang yang mengambil Booster Dose AstraZeneca.
Makan nasi ayam berempah |
Urusan berikutnya adalah makan! Perut pun dah lapar, kami sekeluarga (kakak & adik bongsu tiada) terus ke Medan Selera Taman Tasik Kulim untuk makan tengahhari. Hanya satu gerai sahaja yag dibuka. Alhamdulillah, kenyang untuk makan tengah hari tersebut.
Selfie bersama adik |
BAB 3 | Makan-makan
Antara perkara yang menyebabkan aku nak balik ke kampung selain keluarga adalah makanannya. Bagi aku di kampung lebih banyak makanan yang aku suka dan dengan harga yang sangat murah. Di KL, ya banyak juga yang sedap tapi harganya macam biasa, agak melampau untuk aku.
- WESTERN 142
Western 142 merupakan sebuah restoran baru yang terletak di Taman Desaku iaitu berhadapan dengan Taman Desa Aman dimana terletaknya rumah parent aku. Pemiliknya merupakan sahabat ayah aku dan alhamdulillah kali ini aku dapat mencubanya.
6 orang makan dengan menu sebegini dengan harga RM100 bagi aku sangat berpatutan. Saiz hidangan yang besar, memang puaslah makan. Okay, cerita lagi panjang lebar aku akan cerita dalam artikel review makan di restoran tersebut yang akan diterbitkan selepas artikel ini.
Satu lagi lokasi tempat makan yang aku suka adalah di Sate Semeling. Aku pernah menulis tentangnya beberapa bulan lalu dan seperti biasa aku akan datang ke sini bersama keluarga untuk menikmati sate ayam dan sate daging pada harga yang sangat murah.
Saiz satenya yang besar pada harga RM0.50 memang sangat berpatutan. Selain itu, aku juga turut mencuba Yong Tau Fu dengan kuantiti yang banyak. Memang banyak sehinggakan perlu dibungkus untuk dibawa pulang.
Sekali sekala pulang dan belanja keluarga makan merupakan antara perkara yang aku suka. Melihat masing-masing puas dan kekenyangan memang seronok. Bila bab belanja keluarga memag aku tak akan berkira.
BAB 4 | Hospital & Hangout dengan adik beradik
Di Hospital Kulim |
9hb September 2022 adik bongsu aku ada temujanji doktor pakar di Hospital Kulim. Seawal 7 pagi aku dan adik-adik aku gerak ke Hospital Kulim. Temujanjinya adalah pada jam 9 pagi tetapi kami gerak awal sebab tak nak bersesak dan risau tentang tempat meletak kereta.
Sekitar jam 11.30 pagi, semua urusan di hospital selesai dan kami terus ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk keluar hangout. Dah lama tak keluar sekali sebenarnya. Kalau kakak aku pada waktu sekarang tidak sarat mengandung (menanti hari untuk beranak) mesti aku dah bawa sekali untuk berjalan-jalan.
Di Bukit Mertajam kami ke CU Mart Convenience Store untuk makan tengah hari berkonsepkan makanan korea. Di KL sudah banyak kali aku makan di CU Mart dan alhamdulillah nasib baik ada cawangan CU Mart yang terdekat dengan rumah di kampung iaitu sekitar 1 jam perjalanan. Alang-alang dah ke Kulim, kami pun terus ke Bukit Mertajam.
BAB 5 | Kucing
Sebab lain untuk aku pulang adalah kerana kucing. Alhamdulillah sehingga artikel ini ditulis, di rumah ada sekitar 10 ekor kucing. 4 ahli baru sahaja diberanakkan pada 8hb Februari dan aku antara pasukan yang menyambut kelahiran mereka.
Nama kucing paling tua ke paling muda : Adik, Maryam, Bubu, Dik Teh, Princess, Amina, 4 bayi baru lahir. Fun fact, Bubu, Dik Teh dan Princess merupakan anak Maryam, which means mereka adalah adik beradik dengan 4 ekor bayi yang baru lahir. Amina pula kucing yang tersesat dan diambil menjadi anak angkat Adik.
Yang paling manja dengan aku adalah Princess. Bubu pula jenis takut dengan orang tapi dia paling kuat makan. Bila ada kucing ni memang meriah rumah dengan kehadiran mereka. Contoh macam aku buat kerja sampai tengah malam diorang lah yang meneman.
BAB 6 | Daniel & Kolam
Daniel yang semakin membesar pun antara yang aku nak jumpa sangat. Ya lah, takut nanti dia lupa pulak dengan pak ngah dia. Nasib baik mak dia iaitu kakak aku sendiri dah mula tinggal di rumah mak ayah aku di Taman Desa Aman untuk berpantang selepas melahirkan anak kedua. (Sehingga kini masih belum beranak)
Kalau bawa Daniel ke mana-mana pasaraya pasti dia akan ambil mainan dan akan melekat dengan mainan itu. Sempatlah aku membeli dua mainan untuk dia sewaktu bercuti di kampung ini.
Sebenarnya aku dah merancang nak beli satu kolam besar untuk mandi dengan Daniel tapi kakak aku dah beli sendiri. Kolam yang dibelinya memang besar, nak isi pun mengambil masa yang lama. Aku dan daniel pun sempatlah mandi bersama dalam kolam ini. Lepas ini aku nak beli itik mainan pula. Kakak aku pun ada beli satu lagi kolam bersaiz kecil yang muat untuk Daniel seorang.
Of course Daniel paling excited. Aku pun excited juga sebab dapat main air puas-puas tanpa ada orang judge haha.
BAB 7 | Sawah & Kebun
Aku rasa aku masih belum bercerita tentang kebun dan perancangan membina rumah baru. Baiklah, keluarga aku sebenarnya nak membina sebuah rumah baru yang lebih selesa dan luas untuk ahli keluarga yag semakin bertambah di sebuah tanah di kampung.
Di Taman Desa Aman merupakan rumah keluarga aku iaitu seramai 5 orang (kakak dan keluar ke rumah mertua) dengan hanya tiga bilik dan dua bilik air. Memang agak crowded bila semua ahli keluarga ada di rumah. Sewaktu aku balik bercuti seminggu ni pun aku tidur di ruang tamu.
Di kampung aku dimana mak aku membesar iaitu di Merbau Pulas (hanya 10 minit dari Taman Desa Aman) terdapat tanah yang besar dan luas di sebelah rumah arwah tok dan tokwan. Rumah tok dan tokwan aku kini dihuni oleh makcik aku. Jadi bila mak dan ayah aku merancang nak bina rumah di situ memang makcik aku sangat teruja.
In shaa Allah rumah akan dibina dan siap pada tahun ini lengkap dengan 4 bilik dan tandas yang besar dan selesa.
Selain itu, ada ruangan tanah yang luas di bahagian belakang dan ayah dan mak aku mengerjakan tanah tersebut dengan menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan tempatan. Jadi bila dah siap rumah nanti, pokok-pokok tersebut akan membesar dan berbuah, in shaa Allah.
Di bahagian belakang lagi terdapat sawah padi. Memang sewaktu kecil-kecil dulu disinilah aku dan kakak aku akan datang melihat sawah padi. Sempat bergambar dan berphotoshoot untuk beberapa produk review di situ.
BAB 8 | PULANG KE KL
Seperti biasa, bila hampir waktu untuk kembali ke Lembah Klang, pasti rasa berat nak balik. Nak packing semula pakaian dan barangan memang sangat malas. Sebelum balik, sempat aku siapkan tiga balang Biskut Coklat Cip ala Famous Amous yang memang aku dah banyak kali buat. Dua balang nak dibawa pulang manakala satu lagi tinggal untuk santapan keluarga.
Siap sahaja balang-balang tersebut. Aku mula mengemas pakaian dan barangan. Aku bertolak pulang seawal 8 pagi dari Kulim ke Seri Kembangan. Pada mulanya aku bercadang nak tambah satu lagi hari tapi disebabkan ada event yang perlu disertai dan sudah dijemput lebih awal jadi aku terpaksa pulang lebih awal.
Bertolak jam 8 pagi, sampai di Seri Kembangan sekitar jam 12.30 tengah hari. 4 jam perjalanan dengan satu sahaja perhentian untuk makan sarapan pagi. Alhamdulillah sampai dengan selamat. Berakhir sudah percutian di kampung selama seminggu. Syukur kerana aku merasakan selama seminggu itu aku isi dengan aktiviti-aktiviti yang menggembirakan aku dan keluarga.
ALHAMDULILLAH
Begitulah kisah seminggu aku balik kampung. Alhamdulillah. In shaa Allah mungkin hari raya nanti pula aku pulang. Untuk masa sekarang aku sedang sibuk mencari duit & menguruskan diri. Sekian sahaja untuk artikel yang agak peribadi, tentang kehidupan aku. In shaa Allah jumpa lagi dalam artikel berikutnya.
SEKIAN
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.