Assalamualaikum dan salam sejahtera
Diumumkan seawal bulan Julai, persembahan khas Music Of The Soul: An Evening With Dato' Sri Siti Nurhaliza ini merupakan persembahan amal yang diadakan untuk mengumpul wang bagi Yayasan Nurjiwa yang merupakan organisasi bukan untung yang menjalankan aktiviti amal.
Diasaskan pada 21 Ogos 2006, Yayasan Nurjiwa merupakan yayasan yang diasaskan oleh Dato' Sri Khalid dan Dato' Sri Siti Nurhaliza dan telah menjalinkan beberapa inisiatif dan bekerjasama dengan Kita Fund untuk menubuhkan Tabung Bantuan Khas untuk Bencana Alam, Palestin dan Covid-19.
Untuk makluman, ini merupakan kali ketiga yayasan ini menganjurkan persembahan amal dengan kerjasama penganjur acara, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd (2022). Kali pertama adalah Konsert Satu Dato' Siti Nurhaliza (2009), Dato' Siti Nurhaliza Live In KLCC: Where The Heart Is (2014) dan terkini, Music Of The Soul: An Evening With Dato' Sri Siti Nurhaliza (2022).
MUSIC OF THE SOUL: AN EVENING WITH DATO' SRI SITI NURHALIZA
Alhamdulillah, baru-baru ini aku berkesempatan menonton persembahan khas Music Of The Soul: An Evening With Dato' Sri Siti Nurhaliza pada kedua-dua harinya. Bagaimana aku boleh menonton persemban tersebut bagi dua hari berturut-turut? Anda boleh baca dalam artikel sebelum ini : Teruja Dapat Bergambar Bersama Siti Nurhaliza
In shaa Allah dalam artikel kali ini aku akan memberikan pendapat dan pandangan aku terhadap persembahan ini.
SUSUN ATUR PERJALANAN PERSEMBAHAN
Sekitar jam 8.45 malam persembahan dimulakan dengan pembukaan oleh pengacara. Untuk hari pertama pengacaranya adalah Che Puan Sarimah Ibrahim manakala hari kedua pula diacarakan oleh Muaz Buletin FM. Seterusnya persembahan dimulakan dengan video grafik yang menarik seterusnya dimulakan dengan lagu pertama. Persembahan diteruskan dengan beberapa selingan video mengenai bantuan yang diberikan oleh Yayasan Nurjiwa. (Juga menjadi waktu untuk beliau menukar busana).
Satu bahagian yang menarik adalah dimana Dato' Sri Siti Nurhaliza turun ke tempat penonton dan berinteraksi dengan mereka. Banyak telatah lucu dan gelagat menghiburkan termasuklah cara beliau sendiri dalam memberikan hiburan yang cukup kelakar.
Sekitar jam 10.50 Dato' Awie mula memasuki panggung dan mempersembahkan nyanyiannya. Dato' Awie juga tidak kurang dengan cerita-cerita kelakarnya. Walaupun hanya mendendangkan dua buah lagu sahaja (hari kedua, lagu bonus Sejati) tetapi persembahan beliau tetap memberikan impaknya tersendiri.
Sekitar jam 11.30 malam, persembahan ini pun berakhir dengan segmen tradisional sebagai segmen terakhir. Perjalanan konsert bagi kedua-dua hari itu berjalan sangat lancar dan cukup menghiburkan kerana selain mendengar nyanyian, penonton turut dihiburkan dengan cerita-cerita dan telatah Dato' Sri Siti Nurhaliza yang kelakar dan bersahaja.
PEMILIHAN LAGU
Persembahan dimulakan dengan lagu berentak rancak iaitu "Warna Dunia & Siapa Tak Mahu". Kemudiannya, penonton dibawa ke zaman awal karier beliau dengan nyanyian lagu "Diari Hatimu". Lagu "Anta Permana" pula dinyanyikan seterusnya sebagai sebuah lagu 'comeback' beliau selepas melahirkan kelahiran sulung, Siti Aafiyah.
Medley seterusnya adalah lagu "Kuasa Cintamu & Bukan Cinta Biasa" yang diberikan nafas baru, berentak lebih laju. Seterusnya lagu "Lebih Indah" dinyanyikan dengan cukup bertenaga. Sebuah lagu yang dinanti-nantikan oleh peminat beliau untuk dinyanyikan iaitu lagu "Segala Perasaan" dinyanyika dengan cukup baik dan mendapat tepukan dan sorakan gemuruh seluruh dewan.
Medley berikutnya adalah "Cinta Tak Berganti & Beradu di Khayalan". Segmen berikutnya beliau turun mendekati peminat dan kemudiannya menyanyikan lagu "Aku Bidadari Syurgamu". Segmen berikutnya adalah Medley lagu "Kau Kekasihku & Bila Harus Memilih" .
Seterusnya beliau menyanyikan lagu "Nian di Hati", antara lagu paling mencabar dengan memerlukan nada tinggi, kemudiannya lagu "Melawan Kesepian" sebagai sebuah lagu khas bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang.
Di segmen berikutnya, sebelum Dato' Awie membuat persembahan, Dato' Sri Siti Nurhaliza mempersembahkan nyanyian lagu "Ratuku" yang dipopularkan oleh Dato' Awie. Seterusnya, Dato' Awie menyanyikan lagu "Di Penjara Janji" dengan cukup bertenaga, dan kemudiannya sebagai peralihan kepada segmen tradisional, Dato' Awie dan Dato' Sri Siti Nurhaliza berduet menyanyikan lagu "Pantun Budi".
Segmen tradisional diteruskan dengan dua buah lagu yang tidak pernah lagi dinyanyikan secara langsung iaitu lagu "Seloka Budi & Senyum Minang Manis". Persembahan pada malam itu ditutup dengan lagu "Ya Maulai".
Berikut adalah pembahagian lagu mengikut album :-
- Adiwarna (1998): Diari Hatimu
- Pancawarna (1999) : Kau Kekasihku, Nian Di Hati
- Sahmura (2000) : Ya Maulai
- Safa (2001) : Beradu Di Khayalan
- E.M.A.S (2003) : Bukan Cinta Biasa
- Prasasti Seni (2004) : Cinta Tak Berganti
- Transkripsi (2006) : Bila Harus Memilih
- Hadiah Daripada Hati (2007) : Melawan Kesepian
- Lentera Timur (2008) : Seloka Budi, Senyum Minang Manis
- Fragmen (2014) : Warna Dunia, Lebih Indah
- SimetriSiti (2017) : Segala Perasaan
- ManifestaSITI2020: Siapa Tak Mahu, Kuasa Cintamu, Anta Permana, Aku Bidadari Syurgamu
BUSANA DALAM PERSEMBAHAN
Untuk persembahan khas Music Of The Soul: An Evening With Dato' Sri Siti Nurhaliza ini beliau menggayakan busana daripada dua orang pereka fesyen tempatan yang terkenal iaitu Ashraff Zainal & Samm Republic.
Busana beliau sepanjang persembahan bagi dua hari ini sememangnya dilihat begitu kemas terutamanya pada tudungnya dinama beliau hanya menggayakan tudung bawal yang merupakan pilihan utama peminatnya termasuklah aku sendiri.
Jika diminta untuk memilih pakaian terbaik, mungkin busana tradisional pada hari pertama ataupun busana serba putih pada hari kedua. Kedua-duanya kelihatan sangat cantik dan indah dilihat dari segala sudut dalam dewan.
KESIMPULAN ;
Persembahan Music Of The Soul: An Evening With Dato' Sri Siti Nurhaliza bagi aku sendiri adalah persembahan yang berjaya. Berjaya dari segi kutipan tiket yang sangat memberangsangkan, berjaya dari segi pemilihan lagu dan juga kualiti vokal beliau yang sememangnya berada pada tahap yang tinggi, berjaya dari segi dua jam yang cukup menghiburkan dan sebagainya.
Tidak puas merupakan perasaan yang kebiasaannya terjadi tiap kali konsert mahupun persembahan beliau dimana-mana pentas. Peminat dan penggemar pastinya mahukan lagi nyanyian beliau, tapi apakan daya persembahan sudah mempunyai durasinya tersendiri.
Tahniah diucapkan buat Yayasan Nurjiwa & Siti Nurhaliza Productions atas persembahan khas yang bertaraf konsert ini. Terima kasih kerana menghiburkan semua penonton yang hadir. Tidak dilupakan juga kepada artis jemputan, Dato' Awie dan juga pemuzik yang menambah lagi kemeriahan dalam persembahan ini.
Rujukan;
Instagram Siti Nurhaliza
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.