Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Siapa sini suka sambal? Pastinya majoriti pembaca minat dan suka pada sambal. Berita baik untuk anda kerana satu festival sambal bakal diadakan dan pastinya anda dapat mencuba pelbagai jenis sambal di festival tersebut.
TASTE OF SAMBAL FIESTA, BAKAL PAMER LEBIH 100 JENIS SAMBAL
Pesta Citarasa Sambal atau Taste of Sambal Fiesta (TOSFE) bakal diadakan pada Mac ini bertempat di KL Gateway Mall, Bangsar South. Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) dengan kerjasama KL Gateway Mall selaku penganjur bersama akan mengadakan Pesta Citarasa Sambal (TOSFE) pada tanggal 10,11 dan 12 Mac ini.
TOSFE bakal menemui pecinta sambal dengan lebih 100 jenis sambal yang akan di pamerkan oleh usahawan sambal dan juga produk berasas serta berkaitan sambal. Selain sambal Malaysia sebagai pempamer utama, pecinta sambal juga berpeluang menikmati dan juga membeli sambal dari Pavilion Negara Asia seperti Indonesia, Korea, Vietnam, Pakistan dan juga Thailand.
Menurut pengerusi PSWAD, Azmi Jaffry,
"Malaysia sangat terkenal dan kaya dengan kepelbagaian makanan, antara yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia adalah 'Sambal'. Sambal belacan misalnya wajib menjadi 'hero menu' di setiap hidangan di rumah atau restoran di Malaysia. Tak boleh lari orang kata dari sambal ini kalau dah orang Malaysia, tidak kira sebagai sambal dalam masakan atau pencicah.'
Sehubungan itu, PSWAD bersama rakan-rakan strategik mengambil inisiatif untuk mengadakan fiesta atau Pesta Sambal yang dijenamakan sebagai TOSFE. Jika dilihat untuk sambal belacan sahaja mempunyai pelbagai jenis dan rasa antaranya Sambal Belacan Tempoyak, Sambal Belacan Kuinin, Sambal Cermai, Sambal Ikan Bilis Petai dan macam-macam lagi.
PLATFORM PROMOSI SAMBAL
TOSFE juga adalah salah satu platform mempromosikan sambal sebagai salah satu tarikan produk pelancongan makanan dan juga sebagai platform memperkenalkan sambal-sambal Malaysia (terutamanya sambal eksotik) yang jarang dijumpai kepada masyarakat terutamanya golongan muda supaya ia tidak ditelan zaman. Sambal Warisan yang diiktiraf sebagai Sambal Warisan oleh Jabatan Warisan Negara bakal menjadi teraju utama TOSFE. Sambal tersebut adalah Sambal Tumis, Sambal Tempoyak Daun Kayu, Sambal Rong, Sambal Biji Getah, Sambal Hitam Ikan Bilis dan juga Sambal Taun.
Encik Azmi turut bercerita antara tarikan utama aktiviti adalah demo masakan sambal warisan oleh chef selebriti, pertandingan makan sambal, pertandingan fesyen tradisional, cabutan bertuah, Award Menu Inovasi Sambal, pertandingan sambal TikTok, persembahan artis dan persembahan busking.
Selain aktiviti pameran serta jualan, TOSFE juga bakal mengadakan bengkel memperkasa usahawan sambal PKS seperti "seminar penjenamaan dan media, bengkel digital media, "sharing session bersama ikon sambal, peluang jaringan perniagaan di dalam dan luar negara serta lain-lain lagi.
RAKAN- RAKAN STRATEGIK
Rakan-rakan strategik yang bakal bersama-sama menjayakan TOSFE setakat ini adalah Sambal Mak Jenny, KL Gateway Mall, Produk Ayu Damit usahawan cili, Seniman, PGDM, Chicken Royale, My Pentas, Benang Emas Bridal House, Sambal Mak Esah- Sharifah Shahirah dan Wan Det sebagai penaja Streaming.
Pihak PSWAD turut mengalu-alukan lebih ramai pihak swasta dan agensi kerajaan untuk turut sama-sama menyertai TOSFE.
SEKIAN
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.