Cerita Hari Raya Aidiladha 2023

Aerill Hassan
0
Assalamualaikum dan salam sejahtera


Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, salam aidiladha diucapkan buat semua rakan-rakan yang menyambutnya! Bagaimana dengan aidiladha anda? Pasti meriah bukan? Lagi seronok jika ada ahli keluarga yang mengerjakan haji. Alhamdulillah.

Baiklah, sebenarnya dah lama aku tak cerita hal-hal yang terjadi dalam hidup aku. Biasalah, terlampau sibuk mengejar duit dan wanita sampaikan hampir tiada kisah-kisah diri dalam blog aerill.com ini. Kali ini aku nak ceritakan tentang cuti aku pulang ke kampung dan berhari raya aidiladha bersama keluarga.

CERITA AIDILADHA 2023

Sekitar awal bulan Jun 2023 yang lalu, untuk mereka yang follow aku di instagram dan facebook mesti sedar bahawa aku melancong (kerja) ke Thailand buat beberapa hari. Dekat sahaja lokasinya dengan kampung aku di Kedah berbanding bandaraya Kuala Lumpur iaitu di Hatyai dan Songkhla. Alhamdulillah, aku ada kongsikan cerita sedikit dalam artikel Trip ke Hatyai 4 Hari 2 Malam.

Selesai sahaja trip tersebut, aku pulang ke Lembah Klang dan meneruskan beberapa kerja dan hari yang padat. Kemudiannya, beberapa hari sebelum pulang ke kampung, aku ikut pula trip 3 hari 2 malam di lokasi yang akan aku kongsikan dalam artikel akan datang. 

Memang banyak sebenarnya kerja-kerja yang perlu diselesaikan, yang mana nak tulis artikel di blog, kemudian post-post di social media, nak edit video lagi, memang banyak sebenarnya kerja yang perlu dilakukan. Alhamdulillah, untuk setakat artikel ini ditulis, semuanya masih dalam jadual.

Selesai sahaja kerja di Lembah Klang, aku pun pulang ke kampung halaman di Kulim bersama adik bongsu aku yang datang ke Lembah Klang untuk menjalani temuduga kemasukan ijazahnya di UiTM Puncak Alam.


25 JUN 2023: Hari pertama di rumah sememangnya sangat penat, tidur tak cukup memandangkan aku perlu memandu di waktu malam. (Ya, aku suka memandu pulang ketika waktu malam). Untuk hari tersebut, di rumah ibu bapa aku di Taman Desa Aman, Kulim barang-barang dirumah hampir 80 peratus sudah dipek dalam kotak.

Kenapa barang dalam kotak? Sebenarnya hampir 2 tahun yang lalu, mak dan ayah aku membina rumah yang lebih besar, lebih selesa di kampung, iaitu bersebelahan dengan rumah tok dan tokwan aku di Merbau Pulas, sebuah pekan kecil dan tenang. Hanya kira-kira 10 minit perjalanan dengan kereta dari rumah di Taman Desa Aman.

Alhamdulillah setelah hampir 2 tahun, rumah yang dibina ini siap untuk didiami. Walaupun masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat, tetapi semua kelengkapan asas untuk mendiami rumah baru itu telah lengkap. 


26 JUN 2023:  Hari berpindah! Semua barang-barang dirumah di Taman Desa Aman dibawa ke rumah baru. Perabot yang memang banyak dan besar dibawa ke kampung dengan berhati-hati. Barang-barang kecil sebenarnya sudahpun dibawa dengan menaiki kereta sahaja. Boleh dikatakan hampir 5 kali berulang dari Taman Desa Aman ke Merbau Pulas barulah selesai menghantar barang.

Untuk lori pula, dengan perabot yang banyak, perkakas yang besar, serta dua mesin jahit mak aku yang memang besar, 1 trip perjalanan sememangnya tidak cukup. Alhamdulillah, 2 trip lori berjaya membawa kesemua barangan ke rumah baru.


27 JUN 2023: Mengemas rumah! Kalau sebelum ini penat mengemas barangan dirumah lama, memasukkan ke dalam kotak dengan tersusun dan sebagainya, kali ini berbeza pula, membuka kotak dan menyusun barangan ke rumah baru. Memang mengambil masa yang lama!

Oh ya, malam itu juga, aku dan adik aku pulang ke rumah Taman Desa Aman untuk membersihkan rumah. Mungkin ada yang bertanya, rumah di Taman Desa Aman itu nanti apa nasibnya? Aku pun tak pasti sebenarnya. Mungkin rumah itu akan dijual, disewa dan sebagainya.


28 JUN 2023:  Masih mengemas & persiapan aidiladha. Alhamdulillah, 70% rumah dah siap dikemas. Rumah baru ini pun dah nampak selesa. Tak boleh berehat panjang, persiapan aidiladha pun dilakukan. Untuk keluarga aku, perayaan Aidilfitri dan Aidiladha disambut dengan meriah. Persiapan makanan juga adalah sama, menu yang wajib ada adalah ketupat daun palas, gulai daging dan juga rendang ayam.


Perancangannya untuk aidiladha aku nak buat beberapa jenis kuih, tetapi disebabkan penat mengemas rumah, memunggah perabot, jadi aku tak buat satu pun kuih untuk raya kali ini. Aku hanya membantu mak aku menyediakan juadah, dan disebelah malamnya aku ke bandar Kuala Ketil, mencari kuih raya.

Alhamdulillah, memang meriah Kuala Ketil dengan orang ramai. Aku dan adik aku sempat juga membeli 6 jenis kuih yang dijual pada harga RM20 sahaja. 


29 JUN 2023: Bangun pagi, solat sunat hari raya, dan kemudiannya berehat sahaja dirumah. Menanti orang datang ke rumah. Alhamdulilah, kami masing-masing berehat di rumah sambil makan juadah yang disediakan.

Masih berbaki 30% rumah yang belum sempat dikemas, in shaa Allah akan dikemaskan dalam hari-hari yang akan datang.


HABIS CERITA AIDILADHA 2023

Begitulah cerita raya Aidiladha 2023. Sebenarnya lebih kepada cerita pindah rumah, tetapi aku merancang untuk menulis dalam satu entri khas pindah rumah, cerita dari awal sehingga ke akhir. Memang banyak liku-liku yang berlaku dalam nak siapkan rumah. Alhamdulillah, rumah pun dah siap, selamat untuk didiami.

Untuk itu, aku ucapkan selamat hari raya aidiladha 2023!

SEKIAN


Tags

Post a Comment

0Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!