Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, baru-baru ini aku berpeluang menginap dan bermalam di sebuah lokasi perkhemahan menarik, jauh daripada bandar dan terletak di negeri Pahang. Sebenarnya memang dah lama rancang untuk merehatkan diri dan menenangkan minda dengan bermalam di lokasi yang penuh dengan alam semulajadi dan akhirnya tercapai juga.
Aku bersama rakan-rakan KembaRojak iaitu Along Murni, Zayani Zulkifli dan suaminya Faeez Azmi serta beberapa lagi rakan-rakan blogger bersama-sama bermalam di Natura Campground, Bentong, Pahang.
MAKAN DI KEDAI MAKAN KAK SU, SIMPANG PELANGAI, BENTONG
Kami konvoi beramai-ramai bermula di Cyberjaya, Selangor dan kemudiannya, meneruskan perjalanan ke Natura Campground. Perjalanan bermula sekitar jam 11.30 pagi dan sampai di pekan Simpang Pelangai, Bentong untuk makan tengahhari.
Masakan menu kampung di Restoran Kak Su, Simpang Pelangai memang sedap dan sungguh menyelerakan. Lokasi Natura Campground dan Simpang Pelangai sebenarnya agak dekat, hanya mengambil masa beberapa minit sahaja lagi untuk tiba.
PENGALAMAN BERMALAM DI NATURA CAMPGROUND, BENTONG, PAHANG
Alhamdulillah, sekitar jam 3.30 petang kami pun tiba di Natura Campground. Perjalanan sekitar 2 kilometer daripada jalan besar menuju ke Natura Campground ini. Masuk sahaja ke kawasan campground ini memang tiada bunyi kenderaan lalu-lalang selain bunyi-bunyian haiwan dan hutan yang menyegarkan.
Sebelum bercerita lebih lanjut tentang pengalaman di Natura Campground, aku nak cerita serba sedikit tentang latar belakang Natura Campground. Natura Campground ini dimiliki oleh Dato’ Seri Hajah Siti Murni binti Dato’ Seri Sheikh Ahmad dan diuruskan oleh rakan kongsinya iaitu Encik Zaini Abu Bakar yang mesra dipanggil sebagai King. Terdapat beberapa jenis penginapan disini yang anda boleh cuba yang paling utama sudah tentunya menginap di dalam khemah dan juga di dalam chalet.
Untuk pengetahuan anda, pekerja di Natura Campground ini terdiri daripada mereka yang menyertai Program I-Kembali. Program I-Kembali yang juga dikelolakan oleh Dato’ Seri Hajah Siti Murni binti Dato’ Seri Sheikh Ahmad ini merupakan sebuah platform sebagai pemudahcara bagi menghubungkan para bekas banduan, orang diparol dan orang diselia dengan bakal-bakal majikan.
Dato' Seri Siti Murni mengambil mereka sebagai pekerja untuk memulakan kehidupan baru dan mengubah persepsi masyarakat bahawa mereka juga mahu berubah untuk kehidupan lebih baik. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang i-Kembali, anda boleh layari https://i-kembali.com.my/
Baiklah, di Natura Campground terdapat penginapan chalet dan juga tapak perkhemahan. Terdapat tiga jenis penginapan chalet iaitu ;
- Hobbit Chalet : 10 Unit
- Collina Chalet : 2 Unit
- Casa Albero Chalet : 1 Unit
Harga bagi penginapan chalet adalah RM 100 sehari bagi Hobbit Chalet, RM 200 sehari bagi Collina Chalet dan RM300 bagi Casa Albero Chalet.
Terdapat empat lokasi perkhemahan iaitu ;
- Campo Zone ( 20 Tapak )
- Alto Zone ( 8 Tapak )
- Pool Zone ( 5 Tapak )
- Lato Zone ( 8 Tapak )
Harga bagi setiap tapak perkhemahan adalah RM 70 untuk satu hari penginapan. Selain itu, sekiranya anda tidak mahu bermalam, anda mahu berkelah dan mandi-manda, kadar bayarannya adalah RM 10 untuk dewasa manakala RM 5 adalah untuk kanak-kanak.
MENGINAP DI HOBBIT CHALET
Penginapan aku untuk malam itu adalah di chalet Hobbit. Sebuah chalet comel berbentuk segitiga yang boleh memuatkan sehingga 2-3 orang.
Oh ya, waktu untuk check-in bagi penginapan chalet adalah pada jam 12 tengahari manakala check-outnya adalah pada jam 1 petang. Untuk anda yang memilih camping sebagai penginapan, check-in adalah sekitar jam 10 pagi manakala check-out pula adalah pada sekitar jam 3 petang
Chalet Hobbit ini memuatkan dua tempat tidur beserta bantal dan selimut. Selain itu, terdapat kipas dinding, lampu yang boleh dilaras cahayanya, satu plug dan satu lampu diluar.
Sewaktu kami sampai di Natura Campground, keadaan di dalam chalet Hobbit ini sangat panas. Ini adalah kerana cahaya terus daripada matahari serta haba yang terkumpul didalamnya tidak dapat keluar.
Sementara menunggu ruangan dalam chalet menjadi kurang panas, aku dan rakan-rakan berjalan-jalan sekitar Natura Campground, melihat fasiliti, kemudahan dan tarikan apa yang tersedia buat mereka yang datang ke sini.
KEMUDAHAN & FASILITI
Natura Campground menyediakan tandas dan bilik mandi buat mereka yang menginap di sini. Bagi mereka yang menginap di lokasi tapak khemah seperti Alto Zone, Lato Zone, dan Pool Zone, kedudukan tandasnya agak jauh. Sekiranya tengah malam mahu ke tandas (dan tak tahan😅) perlu berlari agak jauh.
Untuk mereka yang menginap di Collina Chalet dan Casa Albero Chalet anda tidak perlu runsing kerana di dalam chalet sudah terdapat tandas dan bilik air.
Kemudahan surau juga turut tersedia di sini dan mampu memuatkan lebih 40 orang jemaah pada satu-satu masa. Okay, sewaktu aku bermalam disini, ketika masuknya waktu solat, memang akan kedengaran azan daripada kampung terdekat.
KOLAM MANDI & AIR TERJUN
Baiklah, seterusnya adalah tentang kolam renang. Terdapat tiga tingkat kolam renang, pertamanya untuk kanak-kanak dan airnya memang sangat cetek. Kolam kedua juga untuk kanak-kanak dan paras airnya adalah sederhana, sesuai untuk kanak-kanak.
Kolam ketiga terletak paling atas dan merupakan kolam untuk dewasa. Air yang mengalir ke ketiga-tiga kolam ini adalah air bukit dan airnya sentiasa mengalir dan tiada klorin.
Tanpa membuang masa, kami teruslah bermandi-manda di dalam kolam dewasa. Airnya memang sangat sejuk dan sungguh menyegarkan. Aku sendiri memang rasa sangat-sangat segar dan pulih daripada keletihan perjalanan yang agak panjang dari Selangor.
Sesi bergambar sudah pastinya tidak akan dilepaskan. Sebenarnya waktu pun semakin hampir ke maghrib, jadi kami perlu mandi seawal yang mungkin dan juga sementara cahaya matahari masih ada.
Okay, antara yang menarik di Natura Campground adalah air terjun semulajadi yang terletak sekitar 500 meter sahaja. Laluan ke air terjun ini adalah melalui kawasan tapak perkhemahan Lato Zone. Air yang mengalir memang sungguh cantik dan kawasannya memang private.
SUASANA MALAM DI NATURA CAMPGROUND
Selesai sahaja mandi-manda, kami pun terus makan malam di Natura Open Hall dengan makanan yang telah disediakan. Memang sedap apabila dihidangkan makanan selepas mandi kolam yang airnya begitu sejuk.
Sebenarnya anda boleh juga berbarbeku di sini, dengan peralatan yang sudah disediakan ataupun menggunakan peralatan anda yang dibawa ke sini sendiri. Habis sahaja makan, masing-masing ke chalet, membersihkan diri di bilik air dan tandas, solat dan sebagainya.
Sekitar jam 9 malam, masing-masing berkumpul di Natura Open Hall untuk bersembang, makan-makan dan sebagainya. Seawal matahari terbenam, suasana semakin sejuk dan nyaman. Langit pula betul-betul cantik dihiasi bintang-bintang yang bergemerlapan.
Di sini anda tidak boleh berkaraoke dan membuat bising kerana terdapat pengunjung lain yang turut menginap di sini. Sekiranya anda booking keseluruhan Natura Campground ini barulah aktiviti sedemikian boleh dilakukan.
Pengalaman bermalam di chalet pula sangat tenang dan sejuk. Benar kata King, waktu malam di sini memang sangat sejuk dan tidak perlu buka kipas dinding, tetapi untuk aku, masih perlukan kipas dinding. Tidur pada malam tersebut memang sangat lena.
Aku rasa sekiranya tidur di dalam khemas pasti lebih menarik dan in shaa Allah sekiranya berpeluang datang ke Natura Campground sekali lagi, aku akan cuba menginap di dalam khemah pula.
Untuk pagi esoknya, tiada aktiviti yang berat-berat melainkan melihat pemandangan hutan dan mendengar bunyi-bunyi haiwan yang menenangkan. Ada antara mereka yang mandi di kolam, dan ada yang terus tidur menanti waktu untuk check-out.
Alhamdulillah, sekitar jam 11.30 pagi kami pun check-out untuk ke lokasi berikutnya yang in shaa Allah aku akan kongsikan dalam artikel berasingan.
KESELURUHANNYA
Baiklah, secara keseluruhannya, pengalaman bermalam di Natura Campground ini aku sememangnya cukup berpuas hati. Berada jauh daripada bandar dan mempunyai kolam dan air terjun menarik antara tarikan utamanya. Selain itu, talian telefon di sini juga agak bagus, tidak seperti beberapa lokasi perkhemahan lain.
Fasilitinya yang lengkap juga antara sebab untuk anda datang dan merasai pengalaman di sini. In shaa Allah sekiranya diberi peluang dan mempunyai rezeki, aku dan rakan-rakan pasti akan datang lagi ke sini dan mungkin melakukan aktivit-aktiviti lain seperti jungle trekking dan sebagainya.
NATURA CAMPGROUND
Lokasi : Lot PT666 Ulu Semie, Kg Shafie Manchis, Bentong, Malaysia
Untuk anda yang berminat untuk bermalam di Natura Campground, boleh hubungi mereka di :-
Email : naturacampground@gmail.com
WhatsApp : 016-449 4354
Facebook : https://www.facebook.com/profile.php?id=100090404944786
Instagram : https://www.instagram.com/natura_campground/
Tiktok : https://www.tiktok.com/@naturacampground
#NaturaCampground #Camping #CampingLife #Nature
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.