Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Semoga semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Baiklah, kali ini aku nak kongsikan sebuah tempat percutian yang sangat menarik terletak di Pulau Pinang. Sekiranya anda teringin bercuti di Pulau Pinang, anda bolehlah jadikan lokasi percutian ini sebagai tempat penginapan anda.
In shaa Allah dalam artikel kali ini aku akan kongsikan secara jelas dan lengkap, pengalaman aku menginap di sini bersama keluarga. Sekiranya terdapat apa-apa soalan anda boleh ajukan di ruangan komen ya.
{tocify} $title={KANDUNGAN}
PENGALAMAN MENGINAP DI LOST PARADISE RESORT, PULAU PINANG
Baiklah, aku rasa pasti anda sudah tahu nama lokasi penginapan kali ini iaitu di Lost Paradise Resort, Penang. Percutian kali ini adalah untuk aku membawa mak dan ayah aku berehat sambil menikmati keindahan negeri Pulau Pinang. Walaupun rumah terletak lebih kurang sejam lebih sahaja, tetapi ada bezanya percutian dan juga menginap di rumah sendiri.
Untuk percutian kali ini tidak semua ahli keluarga aku sertai. Hanya kedua ibubapa aku, diri aku sendiri dan adik bongsu aku sahaja. Untuk pengetahuan anda semua, adik bongsu aku sekarang ini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia, Gelugor, Pulau Pinang. Jadi hanya kami berempat sahaja yang bercuti dan dapat menginap di Lost Paradise Resort, Pulau Pinang.
🌴 LOST PARADISE RESORT | PERCUTIAN ALA BALI 🌴
Lost Paradise Resort merupakan sebuah penginapan menarik terletak di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Diinspirasikan dengan tema gaya Bali, resort ini mula beroperasi pada tahun 2013. Pemilik resort ini iaitu Dr Chew Yu Gee dan Puan Melody Chew turut menguruskan sebuah sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas di tengah-tengah kawasan resort ini.
🔑CHECK - IN: Perjalanan dari Kulim ke Lost Paradise Resort mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit (tanpa sebarang kesesakan). Tiba sahaja di kawasan resort, aku dan keluarga terus ke kawasan Reception untuk menguruskan hal-hal berkenaan penginapan.
Oh ya, waktu untuk check-in adalah pada jam 3.00 petang, deposit RM100 juga diperlukan (jangan risau wang deposit akan dikembalikan). Sewaktu di Reception ini juga kita akan diberitahu peraturan-peraturan mengenai penginapan disini. Selesai sahaja Check-In, kami sekeluarga terus ke bilik penginapan dan berehat.
Baca Juga : Review Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur
🌴PENGINAPAN DI GRAND FAMILY SUITE 🌴
Untuk percutian kali ini, aku dan keluarga memilih untuk menginap di Grand Family Suite. Sebenarnya terdapat empat buah Grand Family Suite disini iaitu Ombak, Subuh, Senja dan Sejarah. Nama-nama bagi setiap bilik suite ini dipilih untuk mencerminkan unsur alam semula jadi.
Selain Grand Suite Family, anda boleh memilih untuk penginapan lain seperti :-
- Standard Room (2 Pax)
- Superior Room (3 Pax)
- Deluxe Room (4 Pax)
- Premier Room (2+1 Pax)
- Family Suite (9 Pax)
- Family Villa (9 Pax)
- Royal Family Suite (5 Pax)
Kami sekeluarga menginap di Grand Family Suite Sejarah. Ia menghadap ke arah kolam Bali yang dipenuhi dengan bunga teratai. Suite ini terletak berdekatan sahaja dengan kawasan Reception.
Sejarah merupakan sebuah suite yang indah, dengan warna-warna cantik yang berbeza. Jubin lantai indah kuno dikekalkan daripada struktur sebelumnya, menjadilkan suite ini lebih menarik untuk didiami walaupun hanya untuk satu malam.
Untuk keluarga aku, katil king itu sudah semestinya untuk ibubapa aku manakala, katil single itu untuk aku dan adik bongsu aku. Antara kemudahan lain di dalam suite termasuklah peralatan mandian, TV, kemudahan WiFi, penyaman udara kawalan individu dan air mineral botol percuma.
Selain itu, turut disediakan adalah seterika dan papannya, pengering rambut serta sebuah peti ais bersaiz besar. Sememangnya sebuah suite yang betul-betul selesa.
🌴FASILITI DI LOST PARADISE RESORT 🌴
Aku yakin dan pasti ramai juga yang nak tahu tentang fasiliti lain yang tersedia di resort ini. Baiklah, kali ini aku akan senaraikan beberapa fasiliti yang tersedia di Lost Paradise Resort.
🎎 RECEPTION 🎎
Lokasi pertama yang anda perlu kunjungi terutamanya sewaktu check-in & check-out. Menariknya, ada pelbagai jenis pokok bunga yang berwarna-warni sepanjang laluan masuk. Memang cantik.
🏊 KOLAM INFINITY 🏊
Lost Paradise Resort mempunyai dua kolam infiniti yang mana kedua-duanya unik dengan cara tersendiri dan menghadap ke arah Laut Andaman. Selain kolam infiniti, di sini turut terdapat dua buah kolam kanak-kanak yang direka dengan indah membolehkan semua peringkat umur merasai pengalaman berenang di syurga Bali ini. Pengunjung boleh bermandi manda di kolam yang tersedia ini bermula daripada jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.
- 🏊VOLCANIC ROCK POOL🏊
Volcanic Rock Pool merupakan sebuah kolam infiniti yang diperbuat daripada batu gunung berapi yang diimport dari Bali. Ciri-ciri menarik mengenai batuan gunung berapi adalah ia akan berwarna kelabu abu apabila kering, manakala menjadi hitam apabila ketika terkena air.
Selain itu, kolam ini turut dikelilingi oleh pokok kelapa dan kurma, pokok pisang, bunga kemboja, menjadikan suasana sekitar kolam ini sangat menenangkan.
- 🏊MORROCAN POOL🏊
Morrocan Pool merupakan sebuah kolam infiniti yang direka bentuk unik ini terdiri daripada jubin yang dibawa dari Maghribi. Dikelilingi oleh pelbagai tumbuhan dan bunga tropika yang subur, pengunjung pastinya tidak sabar untuk berendam dan berenang di kolam ini.
Kolam ini terletak berdekatan dengan sebuah restoran yang turut berada di dalam resort ini iaitu Restoran Biru-Biru.
🏊 KOLAM KANAK-KANAK 🏊
Seperti yang diberitahu, terdapat dua buah kolam untuk kanak-kanak yang mana masing-masingnya terletak berdekatan dengan kolam infiniti. Dengan adanya kolam ini, dapatlah juga kanak-kanak bermandi manda dengan penuh riang.
🌸 FLOATING GARDEN 🌸
Di kawasan ini turut terdapat tempat berehat, kawasan permainan kanak-kanak serta buaian untuk pengunjung berehat dan bersiar-siar.
🦦 OTTER ROMP 🦦
Di sebelah tepi Floating Garden, berhadapan dengan laut adalah sebuah lokasi yang menarik dipanggil Otter Romp. Disini merupakan lokasi paling sesuai untuk anda berehat menikmati pemandangan laut yang sangat cantik.
Berada di kawasan ini pada waktu malam pula memang sangat seronok kerana angin laut yang begitu mengasyikkan dan pemandangan malam yang menarik.
KEMUDAHAN LAIN
Antara kemudahan lain di Lost Paradise Resort termasuklah Wifi percuma yang disediakan di seluruh resort dan di dalam bilik dan tempat letak kenderaan percuma untuk semua tetamu. Jangan risau tentang tempat meletak kenderaan kerana ia memang sudah dikhaskan untuk penginapan anda.
🌊PENANG WATERSPORTS CENTRE 🌊
Untuk anda yang ingin melakukan aktiviti air, Penang Watersports Centre terletak bersebelahan dengan resort ini sahaja, menawarkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk berkayak dan perahu naga.
🎓LIGHTHOUSE ACADEMY 🎓
Pemilik resort ini, Puan Melody sentiasa bersemangat tentang pendidikan berkeperluan khas, dan selepas membeli sebidang tanah ini, mereka memulakan Lighthouse Academy, sebuah sekolah yang memenuhi keperluan kanak-kanak khas.
Baca Juga : Review Aseania Beach Resort, Mersing, Johor
👪 PENGALAMAN KESELURUHAN DI LOST PARADISE RESORT 👪
Secara keseluruhannya, percutian di Lost Paradise Resort ini merupakan sebuah percutian yang sangat menarik, menenangkan serta selesa. Dengan lokasinya yang sememangnya jauh daripada kesibukan kota, memang sesuai untuk pengunjung datang dan berehat bersama yang tersayang.
Terletak berdekatan dengan Masjid Terapung Tanjung Bungah, penginapan di Lost Paradise ini memang cukup selesa. Melihat daripada gambar ruangan bilik, anda dapt bayangkan suasana suitenya yang luas serta kemudahan yang serba lengkap.
Menariknya lagi di dalam satu resort ini terdapat kawasan yang luas untuk berehat, menikmati pemandangan serta menenangkan diri daripada hal-hal keduniaan seperti hal kerja dan sebagainya. Angin laut sepoi-sepoi bahasa sememangnya sungguh menenangkan.
Untuk membeli makanan atau mencari tempat makan, jangan risau kerana Pulau Pinang merupakan syurga makanan. Pelbagai menu tempatan menarik anda boleh jumpa di beberapa kawasan terdekat seperti Batu Feringghi dan sebagainya.
Aktiviti seperti berenang dan berendam dalam kolam infinitinya pula memang sungguh menyeronokkan. Ketika aku datang bersama keluarga, tidak ramai pengunjung yang turun ke kolam infiniti, jadi keseluruhan kolam ini aku yang punya. Hahaha.
🔑CHECK - OUT: Waktu untuk check-out adalah pada jam 12.00 tengahhari. Untuk aku dan keluarga, sebagaimana kita datang dan masuk ke bilik, begitu jugalah kita tinggalkan. Sewaktu ini jugalah wang deposit anda akan dikembalikan, jadi jangan lupa ya.
In shaa Allah sekiranya mempunyai peluang dan ruang dimasa akan datang, aku akan datang lagi ke sini bersama keluarga aku yang lainnya, mungkin akan menginap di bilik yang lebih luas yang dapat memuatkan 9 orang ahli keluarga.
Untuk itu, aku sarankan untuk anda datang dan menginap di sini iaitu Lost Paradise Resort, Pulau Pinang. Sebuah penginapan menarik bertemakan ala Bali.
🌴 LOST PARADISE RESORT, PENANG 🌴
📌Lokasi : 260 Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Penang, Malaysia
🕸Laman Sesawang : https://www.lostparadiseresort.net/
📧E-mail : lostparadiseresort@gmail.com
🖁Hubungi : +6048904800, +6042955809
Facebook : https://www.facebook.com/lostparadiseresort/
Instagram : https://www.instagram.com/thelostparadiseresort/
SEKIAN
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.