Tazkirah Jumaat #19 : Surah Yassin

Aerill Hassan
3



Kisah Menarik Dalam Surah Yasin


Surah Yasin merupakan surah yang popular di kalangan masyarakat melayu. Surah ini sering dibaca secara tetap pada setiap malam Jumaat. Surah ini juga dibaca setelah diadakan solat hajat bila musibah menimpa kaum muslimin. Bila ingin memasuki rumah baru pun dibaca surah Yasin. Bila tiba hari-hari kebesaran seperti sambutan tahun baru, sambutan kemerdekaan dan hari pahlawan surah inilah yang menjadi pilihan untuk ditadarus secara beramai-ramai.
Surah Yasin ini amat dekat di hati masyarakat kita berbanding 113 surah yang lain di dalam al-Quran al-Karim sehingga ayat demi ayat dapat diingati tanpa melihat kepada mushaf kerana kebiasaan membacanya. Namun demikian tidak ramai yang menghayati kisah yang terdapat dalam surah tersebut untuk dijadikan iktibar dan pegangan hidup. Penulisan ringkas ini akan mengupas kisah menarik yang terkandung dalam surah tersebut.
Di dalam surah Yasin, Allah merakamkan satu kisah yang menarik untuk dijadikan teladan dan pengajaran kepada pembacanya. 
Sepertimana maksud firman Allah SWT :
وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلاً أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَآءَهَا الْمُرْسَلُونَ {13} إِذْ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّآ إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ {14} قَالُوا مَآأَنتُمْ إِلاَّ بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَآأَنزَلَ الرَّحْمَنُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلاَّ تَكْذِبُونَ {15} قَالُوا رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّآ إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ {16} وَمَاعَلَيْنَآ إِلاَّ الْبَلاَغُ الْمُبِينُ {17} 
Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, yaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada mereka.(Yaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian kami kuatkan dengan (utusan) ketiga,maka ketiga utusan itu berkata:"Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu".Mereka menjawab:"Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta belaka."Mereka berkata:"Rabb kami lebih mengetahui bahwa sesungguhnya kami adalah orang yang diutus kepada kamu.Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas".
Sesungguhnya ahli sejarah dan ahli-ahli tasir berselisih pendapat tentang penduduk negeri yang mendustakan para rasul dalam surah Yasin ini. Antaranya berpendapat ia adalah penduduk Antakiyyah sebagaimana nukilan Ibn Ishaq daripada Ibn Abbas dan Ka’ab al-Ahbar.
Ahli Mufassirin juga berbeza pendapat tentang para utusan yang disebut. Ada yang berpendapat mereka adalah pembantu Nabi Isa as ( hawariyyun). Namun demikian Imam Ibn Kathir menolak kedua-dua pendapat ini.
Kita tidak perlu membuang masa menentukan negeri apa atau siapa utusan yang dihantar. Kerana sekiranya diketahui nama negeri tersebut berfaedah kepada kita nescaya Allah telah menyatakannya secara terang di dalam al-Quran. Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk difahami dan dihayati isi kandungan dan diambil pengajaran daripada kisah di dalamnya tanpa perlu ditekankan di mana dan siapa yang terlibat sebagaimana kaedah usul al-tafsir : Pengajaran di dalam al-Quran dengan lafaz umum bukan dikhususkan dengan sebab tertentu.
Pendustaan penduduk Mekah terhadap dakwah Rasulullah saw sama dengan pendustaan penduduk dalam surah ini terhadap dua orang rasul yang diutuskan. Maka Allah menguatkan dakwah mereka berdua dengan diutus seorang lagi rasul. Namun pendustaan penduduk semakin melampau dari semasa ke semasa. 
Allah berfirman :
قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ {18} قَالُوا طَآئِرُكُم مَّعَكُمْ أَئِن ذُكِّرْتُم بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ {19}
Mereka menjawab:"Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti (menyeru kami), niscaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan mendapatkan siksa yang pedih dari kami".Utusan-utasan itu berkata:"Kemalangan kamu itu adalah kerana kamu sendiri.Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)?.Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.
Mereka menuduh para rasul hanya membawa sial dan musibah kepada mereka. Sekiranya sesuatu keburukan menimpa mereka semuanya berpunca daripada para utusan tersebut. Padahal kesyirikan mereka yang membuat mereka berada dalam nasib malang dengan ditimpa kesusahan dan nikmat terhalang.
Penduduk ini juga mengugut akan membunuh mereka dengan direjam dengan batu dan akan mendapat seksaan yang pedih sekiranya mereka meneruskan dakwah tersebut. Dengan demikian dakwah para utusan ke arah mengesakan Allah dan beribadat hanya kepadaNya ditolak sama sekali. 
وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَاقَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ {20} اتَّبِعُوا مَن لاَّيَسْئَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ {21} وَمَالِيَ لآأَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ {22} ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ الرَّحْمَـنُ بِضُرٍّ لاَّتُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا وَلاَيُنقِذُونَ {23} إِنِّي إِذًا لَّفِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ {24} إِنِّي ءَامَنتُ بِرَبِّكُمْ فَاسْمَعُونِ {25} 
"Dan datanglah dari hujung kota seorang laki-laki (Habib An Najjar) dengan bergegas-gegas ia berkata:"Hai kaumku ikutilah utusan-utusan itu.Ikutilah orang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Ilah) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nya-lah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah ilah-ilah selain-Nya, jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudharatan terhadapku, niscaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikitpun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku?. Sesungguhnya aku kalau begitu pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Rabbmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan)ku. 
Bila penduduk tersebut merancang untuk membunuh para utusan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki daripada pinggir bandar memberi nasihat dengan penuh hikmah kepada penduduknya agar beriman dengan risalah yang dibawa oleh para rasul. Namun demikian penduduk tidak menerima nasihatnya malah lelaki tersebut dibunuh dengan kejam. Ibn Mas’ud berkata : lelaki itu dipijak-pijak hingga terkeluar usus daripada duburnya. Maka mati syahidlah lelaki tersebut. 
Siapakah lelaki tersebut? Kebanyakan ulama’ tafsir berpendapat lelaki tersebut ialah Habib al-Najjar sebagaimana pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan al-Sudiy sepertimana dinukilkan dalam tafsir Ibn Kathir. 
قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ يَالَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ {26} بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ {27} * وَمَآأَنزَلْنَا عَلَى قَوْمِهِ مِن بَعْدِهِ مِن جُندٍ مِّنَ السَّمَآءِ وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ {28} إِن كَانَتْ إِلاَّ صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ {29} 
Dikatakan (kepadanya:"Masuklah ke syurga".Ia berkata:"Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui, apa yang menyebabkan Rabbku memberikan ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan".Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal) suatu pasukanpun dari langit dan tidak layak Kami menurunkannya.Tidak ada siksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja; maka tiba-tiba mereka semuanya mati.
Antara keistimewaan kisah dalam al-Quran ialah bukan sahaja menceritakan kisah yang telah berlaku malah dirakam juga perkara ghaib yang mustahil diketahuinya melainkan dengan wahyu Allah SWT. Dalam kisah ini Allah memaklumkan bahawa lelaki yang dibunuh secara kejam hanya semata-mata kerana menyuruh kepada tauhid mendapat kemuliaan di sisi Tuhannya di atas keimanan dan keikhlasannya. 
Sebagai ganjarannya dia dimasukkan ke syurga. Apabila dia melihat kemuliaan, keampunan dan ganjaran di sisi Allah dia berangan-angan alangkah baiknya sekira kaumnya mengetahui apa yang dia perolehi pada waktu itu nescaya mereka tidak akan menolak risalah para utusan. 
Sebagai balasan terhadap pendustaan risalah para rasulNya dan kezaliman yang dilakukan terhadap walinya Allah membinasakan kaum tersebut dengan satu teriakan yang dahsyat menyebabkan mereka semua mati bergelimpangan. 
Kisah ini mengandungi banyak iktibar yang boleh dijadikan pedoman hidup kita, antaranya ialah ;
1. Dakwah menegakkan kebenaran perlu diteruskan walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai.  
2. Dakwah perlu dilaksanakan dengan hikmah dan dengan pengajaran yang baik. 
3. Kita hendaklah istiqamah dan berpegang teguh dengan tauhid dan mempertahankannya walaupun menghadapi kesulitan dan kesusahan. 
4. Individu dan tempat yang terdapat dalam kisah al-Quran bukan keutamaan untuk diketahui tetapi pengajaran dan iktibar yang perlu diambil perhatian untuk dijadikan pedoman hidup.  
5. Sesiapa sahaja yang melakukan pengorbanan untuk mempertahankan agama akan mendapat keampunan dan kemuliaan di sisi Allah SWT. 
6. Setiap penderhakaan terhadap Allah pasti akan mendapat balasan sama ada di dunia atau di akhirat. 
7. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Allah berkemampuan untuk menghancurkan kaum yang engkar dengan pelbagai cara. Antaranya dengan teriakan yang kuat.

RUJUKAN :
- Mukhtasar Ibn Kathir
- Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’diy
- Safwat al-Tafasir, Muhammad Aliy al-sabuniy
- Qasas al-Quran, Dr. Muhammad Bakr Ismail


إرسال تعليق

3تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!