~Selamat Hari GST~
Dah lepas jam 12, bermulalah hari GST yang majoriti rakyat Malaysia kecohkan. Kedai, supermarket, stesen minyak, penuh dengan manusia berpusu-pusu beli barang sementara harga belum naik sebelum GST sampai ada yang tak solat, bermaksiat setiap saat dengan memaki hamun pihak itu ini, menambah kepelbagaian saham dosa melalui pelbagai cara khasnya di page-page politik, mencarut, maki hamun, mengutuk, mengejek...
Macam-macam gelagat manusia....
Mereka terlampau takut untuk hidup....
Mereka takut dengan kemiskinan....
Mereka risau tentang perut mereka lebih daripada perut bumi (mati)....
Mereka fikir Allah itu miskin dan tak cukup Allah sebagai penjamin rezeki mereka....
Sayangnya, gejala itu berlaku kepada umat Islam yang diajar tauhid kepada Allah (walaupun ada yang membidaahkannya).
Saya sendiri bukan ahli ekonomi dan tak layak nak cakap pasal GST.
Maka aku pun bertanya kepada ramai orang tentang GST....
Bila ditanya pada orang kerajaan apa tu GST, rata-rata jawab mereka, ia sistem cukai baru yang dikenakan pada semua orang tak kira miskin kaya sehingga tiada siapa pun terlepas berbanding cukai sebelum ini hanya kepada golongan tertentu (kaya) dan kebanyakan mereka sering lari dari cukai, khasnya peniaga tamak. Tiada cukai pendapatan dari yang miskin kerana tak cukup syarat, cukai dari yang kaya pula dielak dengan pelbagai cara, akhirnya kutipan cukai jadi merosot dan merudumkan ekonomi negara. Pendek kata, perlaksanaan GST ni adalah untuk mengutip cukai daripada semua orang dan tiada siapa boleh lari daripadanya sepertimana sistem cukai sebelum ni. Jadi kononnya ia adil dan peniaga yang tamak dan suka lari dari cukai akan tetap terpaksa bayar cukai.
Oh... Kalau macam tu, baguslah... Biar padan muka kat ahli perniagaan yang tamak dan suka lari dari cukai tu....
Tapi...
Bila ditanya pula pada pembangkang, rata-rata mereka menyatakan GST ini dilaksanakan kerajaan kerana ekonomi negara telah tenat akibat pembaziran dan pengurusan kewangan yang tidak cekap oleh pihak pemerintah. Dah lah pengurusan tak cekap, yang kaya pula asyik lari dari cukai. Jadi negara terus miskin, nilai mata wang jatuh, harga barang naik. Jadi untuk terus "survive", mereka tukar sistem cukai baru iaitu GST bagi memastikan setiap orang dikenakan cukai dan hasilnya digunakan untuk selamatkan ekonomi Malaysia.
Oh... Macam tu pulak... Jadi ini satu penindasan kepada rakyat miskin....
Bila dengar penjelasan dari kerajaan, kita akan rasa ia langkah yang bagus untuk memulihkan semula kekuatan ekonomi negara dan memberi pengajaran kepada peniaga tamak.
Tapi...
Bila dengar penjelasan dari pembangkang pulak, kita akan rasa ia tetap langkah yang bagus. Cuma nasi tambahnya, kita akan jadi marah kerana rasa diri "dipergunakan" untuk menutup kesilapan dan kebocoran dan ketirisan serta ketidakcekapan pentadbiran pihak pemerintah. Pendek kata, pemerintah yang bocorkan bumbung, rakyat dijadikan penampal agar air tidak jatuh menitik ke atas lantai.
Saya tidaklah berminat pada kerajaan ataupun pembangkang. Bagi saya sama sahaja keduanya, sebab kalau pembangkang jadi kerajaan pun, mereka akan tetap laksanakan sistem ni lambat laun. Dengan masalah dalaman parti lagi, masing-masing sibuk nak jawatan, nak pertahan itu ini dan tiada kesatuan. Akhirnya semuanya sibuk berpolitik, yang mangsanya ialah rakyat yang tidak terurus. Jadi, pi mai pi mai, tang tu jugak.
Bab duit dan ekonomi ni, tak akan dapat diselesaikan oleh sesiapa pun samada kerajaan atau pembangkang. Sebab ekonomi Malaysia dan dunia ini dijana oleh sistem riba yang Allah telah isytihar perang dan Allah telah laknat dunia akhirat.
Jadi buatlah apa cara sekalipun, ekonomi berasaskan riba tidak mungkin akan bertahan walaupun bertukar kerajaan seratus kali kerana ianya sistem yang terlaknat/ cursed system.
Bagi saya, kalau tak sokong pun, GST tetap akan berlaku. Kita bukan pm, bukan tpm, bukan menteri kabinet atau menteri almari atau menteri katil, bahkan bodyguard menteri pun bukan.
Jadi melolong memekik meroyan di laman sosial tidak akan mengubah apa-apa melainkan hanya menambah dosa sendiri.
Ramai yang berfikir "tak mengapa" jika melakukan kezaliman kepada penzalim. Padahal setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas kezaliman masing-masing. Penzalim akan ditanya Allah tentang kezalimannya, manakala kita pula akan ditanya Allah tentang kezaliman kita ke atas penzalim tersebut.
Jangan jadi celaka dengan merasa selamat dari azab Allah.
Bagi saya, GST ini adalah ujian keimanan buat kita semua. Kerajaan tu hanya "asbab" untuk Allah berikan ujian. Jangan kita terlampau melampau dalam mempersoalkan hal rezeki seolah-olah kita menyatakan Allah itu miskin dan tidak mampu rezekikan kita seperti biasa selepas perlaksanaan GST.
Iman kena jaga betul-betul. Jika perlu kita kritik, kritiklah dengan ilmiah untuk penambahbaikan kepada semua. Jangan dikaitkan soal rezeki, kemiskinan, kekayaan sebab semua itu dalam jagaan Allah. Jangan kita jadi manusia yang tidak bersyukur hanya kerana kebencian kita terhadap golongan tertentu.
Kata seorang Imam, sekiranya langit dan bumi bertukar menjadi besi, lalu terdetik dalam hatiku "mana nak dapat rezeki kalau macam ni?" maka sesungguhnya daku telah melakukan syirik yang sangat besar (kerana mempertikaikan Allah sebagai "Ar-Razzaq"-pemberi rezeki).
Ramai yang mengeluh tentang harga barang dan lain-lain sampai ucapan mereka boleh merosakkan akidah. Sedangkan esok lusa kita akan mati. Jadi bayar cukai, bayar barang mahal ni tak lama. Sampai kita mati je. So, kalau kita mati esok, ya sampai esok jelah kita bayar GST.
Tapi dosa yang bertimbun, siapa nak tolong taubatkan?
Naik turun harga barang tidaklah mengurangkan rezeki yang Allah tetapkan pada kita. Kalau naik harga sejuta kali ganda, dan Allah tetapkan rezeki kita sebanyak amaun X, maka sebanyak amaun X sahajalah kita dapat makan dan pakai.
Nyawa kita tak akan habis selagi ada rezeki yang ditetapkan untuk kita yang belum kita makan.
Jadi kalau orang tanya apa pendapat saya tentang GST, saya akan jawab:
"Aku merasa tenang dengan apa jua keputusan Allah terhadap bumi ini kerana aku tahu, tiada siapa pun mampu mengambil rezeki yang ditetapkan Allah kepadaku walaupun seluruh dunia berkumpul tenaga untuk merampasnya. Dan aku juga tahu, aku tidak akan mampu mengambil rezeki yang ditetapkan Allah untuk orang lain walaupun daku punyai seluruh kekuatan dunia untuk merampasnya. GST ke, harga naik sejuta kali ganda ke, minyak kering ke, aku tetap akan makan, minum, pakai apa yang telah ditetapkan rezeki padaku yang mana ia ditetapkan pada saat aku masih dalam perut ibuku. Apa yang kalian ambil dariku (cukai dan lain-lain) maka itu bermakna ia bukanlah rezeki aku. Mungkin saja didalamnya terdapat keharaman yang tidak disucikan lalu Allah jauhkan ia dariku dengan rahmat dan kasih sayang dariNya agar aku selamat dari yang haram serta dekat pada yang halal. Jangan sesekali fikir Allah akan jadi miskin atau kedekut selepas terlaksananya GST atau berlakunya naik harga barang. ALLAH yang samalah beri makan pada aku sebelum GST, dan ALLAH yang sama juga akan beri aku makan dengan kenyang dan aman selepas GST."
Sekiranya status ini dianggap pro kerajaan, maka otak anda sangat lemah dan tidak layaklah anda membaca status ini kerana ia hanya akan menambahkan kemudaratan buat diri anda. Kerana saya menulis status ini atas dasar pro saya kepada tauhid dan tasawwuf bukan bermakna saya redha kepada kezaliman daripada mana-mana pihak samada kerajaan atau pembangkang.
Jadi bagi yang memandang status ini dengan tenang, dengan akal yang sihat, tanpa pro kepada mana-mana pihak khususnya parti politik, mudah-mudahan ia menjadi pencetus fikir untuk kita sama-sama menjadi hamba Allah yang lebih bertauhid dan lebih suci hati kita daripada kebusukan.
Note: Orang yang kaya itu bukanlah orang yang banyak hartanya, tapi orang yang kaya itu ialah orang yang merasa cukup dengan apa yang Allah tetapkan untuknya.
Orang yang sudah kaya tetapi terus mahu tambah kekayaan, hakikatnya orang itulah yang miskin. Kerana dia sentiasa merasa tidak tenang dengan apa yang ada dan ingin terus tambah, itulah tanda kemiskinan. Manakala jika seseorang itu tak punya apa-apa, dan hatinya tidak mahu lagi apa- apa, itulah hakikat orang kaya yang sebenar. Kerana dia merasa tenang dengan hidupnya sebagai orang yang cukup (kaya).
Jadi, kita merasa kasihan kepada pengejar dunia yang mengejar ia siang dan malam dengan penat tanpa mempedulikan akhirat. Sedangkan pengakhiran mereka tetap di dalam lubang kubur dan apa yang dikumpulkan hanyalah sia-sia. Seperti permainan "Saidina", habis semua tanah dibeli, habis semua duit dimiliki, habis semua pemain lain jatuh bankrup, akhirnya tutup permainan dan tak ada satu nilai pun semua itu pada kita (worthless). Dan celaka pula di akhirat kerana tiada satu nilai akhirat pun ada pada mereka kerana siang malam hanya sibuk mengejar dunia dan pertikaikan Allah sebagai pemberi rezeki.
Daku cemburu pula kepada pemburu akhirat, siang malam disibukkan Allah dengan kerja-kerja agama. Kerja dunia mereka pula diberkati, usahanya sedikit tetapi hasilnya melimpah ruah kekayaan Allah beri. Dan untungnya, semuanya digunakan untuk agama dan keredhaan Allah dan Rasul. Akhirnya mereka mati dalam keadaan tersenyum. Kerana penat lelah mereka berbaloi. Mereka bukan pengejar dunia, tetapi dunialah yang mengejar mereka dan mereka campakkan kekayaan dunia itu ke saham akhirat. Maka berbahagialah golongan ini di dunia mereka tenang gembira, di akhirat mereka berjaya.
* Dan ulasan saya bukanlah untuk menyokong atau mempertikaikan sistem GST sebab saya sendiri tak tau benda apa GST ni secara menyeluruh kerana saya bukan pakar ekonomi. Jadi saya sentuh bab tauhid je lah, sebab itu sahaja ilmu yang saya ada dan saya lihat ia beri efek buruk pada masyarakat jika tidak diperingatkan.
** Jangan tanya saya lagi kenapa saya tak pernah sentuh/ ulas pasal GST. Saya tunggu ianya dilaksanakan dulu, baru saya ulas sekali dan terakhir kali insyaAllah
*** Ye lah, takut-takut kerajaan buat April Fool ke....
**** Buat malu je meroyan awal- awal....
Sumber : IBNU BATOOTA OWSOME
terima kasih kerana saling memperingati,, mudah mudahan kita sama2 diberkati insha Allah,,
ردحذفpada pendapat sy pula..samada wujud GST atau tidak semuanya sama saja.harga barang n perkhidmatan tetap akan naik setiap masa@waktu@tahun...cuma barangkali bilamana ada gst ini wujud pula pihak yg suka mengambil kesempatan dengan mmbuat berbagai2 fitnah terhadap pihak lain (atau kerajaan) dan sebagainya...hurmmm
ردحذفAkhir zaman...
terima kasih di atas peringatan ini...
ردحذفBetul tu... Kmblikn smula kita kpd Allah...
ردحذفstuju...pandangan yg sama...bagus pointnya. smoga yg fanatik dlm bantahan, sedar ttg prkara ni.
ردحذف