Penampilan Chong Wei bantu tewaskan Korea Selatan

Aerill Hassan
3


Assalamualaikum dan salam sejahtera 



MALAYSIA mengejutkan juara tiga kali Korea Selatan 3-2 pada perlawanan pembukaan kumpulan 1D kejohanan Piala Sudirman 2015 di Dongguan, China malam tadi.

Mata pertama negara diperoleh menerusi pasangan beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang mengejutkan beregu nombor satu dunia Lee Yong Dae/Yoo Yeon Seong.

V Shem/Wee Kiong yang tewas set pertama 20-22 bangkit mempamerkan corak permainan luar biasa dan lebih agresif untuk menang set kedua 21-14.

Pada set penentuan, pasangan negara yang ketinggalan 17-19, mengejar lawan dan menyamakan kedudukan 20-20 sebelum kembali ketinggalan 24-25.

Namun kesilapan kecil yang dilakukan pasangan Korea Selatan memberi kemenangan dramatik kepada pasangan negara untuk menamatkan perlawanan 27-25.

Namun perjuangan skuad negara terbantut seketika apabila pemain perseorangan wanita Lim Yin Fun gagal menyekat kehebatan pemain Korea Selatan, Sung Ji Hyun pada perlawanan kedua.

Yin Fun yang berada di ranking ke-111 dunia terpaksa tunduk kepada pemain di ranking kelapan dengan 9-21 dan 7-21, sekali gus membolehkan Korea Selatan menyamakan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun penampilan sulung bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei selepas penggantungannya, ternyata tidak mengecewakan apabila beliau menyumbang mata kedua buat negara.

Chong Wei yang mendapat sorakan gamat daripada para penyokong ketika tampil di gelanggang mempamerkan corak permainan bertenaga dan membuktikan bahawa beliau masih berbisa dan bertenaga pada usia 33 tahun serta digantung lapan bulan.

Kemunculan yang dinanti-nanti ramai ternyata tidak menghampakan apabila Chong Wei yang kini di ranking ke-46 menundukkan Lee Dong Keun 21-12 dan 21-10.

Pasangan beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei yang turun pada perlawanan keempat gagal menambah mata negara selepas tunduk kepada pasangan Chang Ye Na/Jung Kyung Eun.

Vivian/Khe Wei yang hampir menguasai set pertama bagaimanapun terpaksa akur dengan ketangkasan pasangan ke-12 dunia itu, satu ranking di bawah pasangan negara dengan 20-22 dan 9-21.

Namun beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying melengkapkan kemenangan Malaysia selepas menewaskan Kim Ha Na/Kong Sung Hyun 23-21 dan 21-13.

Skuad badminton negara akan berdepan India esok untuk  membuka peluang ke suku akhir.

Sementara itu Chong Wei berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasinya dan gembira dengan semangat yang ditunjukkan skuad negara.

"Saya puas hati dengan prestasi saya walaupun tidak turun gelanggang sudah tujuh bulan, tapi masih dapat merasai suasana kejohanan. Ini permainan pertama, saya harap boleh main lebih bagus lagi.

"Beregu kita main bagus, dan mata pertama mereka jadikan saya lebih semangat," katanya menerusi rakaman temubual Astro Arena di Dongguan.

Dalam persaingan Kumpulan 1C pula, Denmark mencipta kemenangan pertama mereka selepas menundukkan pasukan England 4-1. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

إرسال تعليق

3تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!