Kisah Seram Penunggu Asrama di UPSI

Aerill Hassan
0


Assalamualaikum dan salam sejahtera


Pertama sekali, perkenalkan diri saya Fiza. Saya baru sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah pusat pengajian tinggi awam yang terletak di Tanjung Malim, Perak. Di sini, saya ingin menceritakan pengalaman seram yang saya alami sepanjang saya belajar di situ. Semasa berada dalam semester 1 pada tahun 2012, saya mendapat penginapan rumah asrama di blok yang paling hujung di dalam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 


Rumah saya berada di tingkat paling atas iaitu tingkat 4 dan rumah itu ada 3 bilik, setiap bilik dikongsi dua orang jadi ada 6 orang semuanya. Pada masa itu, saya rasa semuanya baik-baik saja dan tidak ada apa-apa perkara pelik yang berlaku. Namun apabila tiba waktu senja dan malam, perasaan seram tiba-tiba muncul lebih-lebih lagi apabila berada di dalam bilik mandi. Walaupun begitu, penghuni rumah kami masing-masing buat tidak tahu dan kalau boleh tidak mahu ambil tahu langsung. Kami hanya buat hal sendiri di dalam bilik masing-masing. 


Dipendekkan cerita, ketika itu kami semua sangat sibuk dengan tugasan masing-masing. Kebetulan seorang daripada rakan saya yang duduk di depan bilik saya terlalu beremosi oleh kerana dia tidak mampu untuk meneruskan pembelajaran kerana sangat sukar baginya untuk memahami ilmu pengajian kami di kampus. Puas saya pujuk agar tenang dan tabah. Rupa-rupanya emosinya terbawa-bawa sehingga dia patah semangat dan jadi lemah-selemahnya. 

Tengah malam itu, ketika saya sedang nyenyak tidur, lebih kurang dalam pukul 3 pagi tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada rakan saya yang lemah itu tadi, namanya Ros. Saya berasa pelik dan terus jadi seram dan saya biarkan sahaja telefon itu terus berdering tanpa menjawabnya. Bertubi-tubi Ros telefon saya, semakin lama semakin saya menjadi seram. Dalam fikiran saya hanya berfikir, adakah Ros yang membuat panggilan itu? 

Saya abaikan. Akibat tidak dapat menghubungi saya, Ros kemudiannya menelefon pula rakan sebilik saya. Rakan sebilik saya terus jawab panggilan dan bertanyakan kenapa. Saya yang berpura-pura mamai turut bertanya rakan sebilik saya. Maklumlah pagi-pagi buta macam ini kan waktu orang tengah lena tidur. Kemudian, saya dan rakan sebilik yang saya panggil Jiba, bergegas membuka pintu bilik Ros. Kami yang berada dalam keadaan mamai, buka sahaja pintu bilik Ros dah terasa seram, dicampur pula dengan bunyi orang mengaji yang dipasang oleh Ros melalui telefon pintarnya. Kami terus nyalakan lampu bilik. 

Kelihatan Ros sedang teresak-esak menangis di atas katilnya dan rakan sebiliknya masih tidak sedarkan diri, tidur mati. Kami bertanyakan Ros kenapa, kemudian rakan sebilik Ros tiba-tiba tersedar dari tidurnya dan berasa hairan melihat kami. Ros memberitahu kami bahawa ada ‘benda’ putih duduk di tepi katil dia dan nak tarik dia. Apalagi, meremang bulu roma kami mendengarnya. Lama juga kami cuba tenangkan Ros sampailah Ros tertidur semula. 


Kalau ada apa-apa hal, rakan-rakan akan cari saya dulu. Saya pun tidak tahu kenapa mereka ini mencari saya untuk membantu mereka. Padahal saya sendiri pun bukanlah kuat orangnya. Cuma saya paksakan diri untuk jadi berani, walaupun hakikatnya kecut perut jugak. Mahu tidak mahu, dengan berbekalkan ilmu yang saya tahu, saya ‘memagar’ rumah kami. Alhamdulillah, selepas itu gangguan sudah tiada. Keadaan rumah kami kembali tenang untuk seketika. 


Tetapi apabila tibanya waktu kemuncak tugasan berlambak-lambak, rakan sebilik saya pula yang diganggu. Sebenarnya mereka langsung tak nak menceritakan apa-apa kepada saya. Pada satu malam tu, Jiba tidur lewat kerana terpaksa menyiapkan tugasan yang bertimbun-timbun. Saya tidur dahulu dengan lampu bilik yang terpasang. Ketika tersedar dari tidur, saya tengok Jiba tidak ada di dalam bilik. Dalam fikiran saya, mungkin Jiba buat tugasan dekat ruang tamu. Saya pun bangun dan pergi jenguk kat luar bilik, semua lampu rumah terpasang. 


Saya fikir mungkin Jiba ada kat luar ni, sebab masa itu saya masih mamai dan malas nak fikir panjang. Kemudian saya kembali sambung tidur semula. Keesokan harinya, saya berasa pelik sebab Jiba senyap saja. Saya bertanyakan tentang Jiba pada rakan yang lain. Rupa-rupanya semasa Jiba sudah terlelap di atas katil, Jiba ditarik oleh ‘benda’ yang sama yang pernah dilihat oleh Ros di hujung katilnya. Puas Jiba meronta-ronta dan menjerit memanggil saya untuk meminta tolong tetapi sampai ke sudah saya tidak sedar-sedar jugak. 


Kemudian Jiba cuba baca ayat-ayat Al-Quran dan akhirnya terlepas dari ‘benda’ tu. Kemudian Jiba terus berlari ke bilik sebelah, rupa-rupanya Jiba tidur di bilik sebelah tinggalkan saya sorang-sorang dalam bilik. Jiba ingat dia dah selamat tetapi rupa-rupanya ‘benda’ itu masih ada lagi mengganggu dia. Saya yang hanya mendengar cerita tiba-tiba berasa seram dan berimaginasi katil Jiba yang berada di depan mata saya. Saya hanya mampu berdoa dan baca ayat-ayat Al-Quran yang saya tahu semasa saya cuba bantu rakan-rakan saya yang terkena gangguan itu. 


Tidak lama kemudian saya pula yang diganggu. ‘Benda’ itu tidak mengganggu saya seperti rakan-rakan lain tapi ‘benda’ itu hanya menggangu saya ketika saya berada di dalam bilik air. Saya ini jenis suka bangun awal pagi dalam pukul 5 macam tu dengan tujuan untuk membasuh baju. Terdapat satu cermin besar dalam bilik air, 2 bilik mandi dan 1 tandas. Ketika saya sedang membasuh muka dan menggosok gigi depan cermin, saya berasa seram sangat sehingga saya langsung tidak berani memandang cermin untuk melihat diri saya. 

Pada ketika itu saya merasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan saya. Disebabkan saya buat tidak endah sahaja, badan saya tiba-tiba terasa seperti dicucuk-cucuk, digeletek di bahagian pinggang, tangan dan bahu. Nak tak nak, dalam bilik air yang saya hanya keseorangan tu, saya terpaksa kuatkan diri dan berdoa banyak-banyak. Saya cuba untuk tidak menghiraukan gangguan demi gangguan yang dilakukan ke atas saya. Saya terus masuk ke bilik air dan mandi secepat mungkin. Lepas sahaja saya berwuduk untuk solat subuh, akhirnya tiada lagi gangguan yang dapat saya rasakan. Mujurlah saya dilindungi Allah.


Tags

إرسال تعليق

0تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!