Assalamualaikum dan salam sejahtera
Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan) | Sekarang ramai yang mempunyai perniagaan sendiri, sama ada perniagaan online mahupun perniagaan offline. Malah, sekiranya anda ingin berniaga di Lazada pun anda perlu berdaftar dengan SSM. Ada mereka yang belum pernah daftar perniagaan mereka di SSM lagi kerana tidak tahu bagaimana caranya.
Sebenarnya mudah sahaja sekarang ini, kita boleh mendaftar perniagaan SSM secara online sahaja. Sebelum kita lihat cara daftar perniagaan di SSM, mari kita lihat sedikit sebanyak kelebihan apabila perniagaan kita berdaftar dengan SSM.
KELEBIHAN DAFTAR SSM (SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA)
a) PERNIAGAAN LEBIH DIYAKINI & DIPERCAYAI
Sekiranya perniagaan kita sudah berdaftar dan mempunyai nombor SSM, pasti orang ramai akan lebih yakin untuk berurus niaga dengan kita kerana kita telah berdaftar.
Tambahan pula sekarang ni banyak kes ditipu peniaga dan sebagainya, jadi bila dah berdaftar ni, lagi senang untuk pembeli percaya dengan kita.
b) PERNIAGAAN YANG SAH
Tahukah anda Akta pendaftaran Perniagaan 1956 menyatakan sebarang perniagaan yang memberikan keuntungan mesti berdaftar dengan Suruhanjaya?
Ya! Jadi, bila kita dah mendaftar, senanglah bila ada masalah ketika urusan perniagaan atau sebagainya kerana kita mempunyai dokumen yang sah.
c) MURAH & SENANG
Sebenarnya sangat mudah untuk mendaftar SSM. Buat online pun dah boleh sekarang ni. Selain itu, harga nak mendaftar pun murah sangat. Apalah sangat nak dibandingkann dengan keuntungan perniagaan anda tu kan? Hehe.
CARA MEMBUAT PENDAFTARAN PERNIAGAAN BARU
Perniagaan meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan,
pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi
maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa
jawatan atau penggajian atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa
kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta
Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956). Perniagaan yang boleh
didaftarkan di bawah APP 1956 hanya perniagaan beroperasi di Malaysia
Barat iaitu meliputi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan dan
bentuk perniagaan adalah seperti berikut:
1. Perniagaan Milik Tunggal - perniagaan dimiliki sepenuhnya oleh
seorang pemilik.
2. Perniagaan Perkongsian - perniagaan dimiliki oleh sekurang- kurangnya dua (2) orang dan tidak melebihi daripada dua puluh (20)
rakan kongsi.
Bagaimana cara daftar SSM secara online?
Berikut diberikan panduan yang ringkas dan mudah untuk anda mendaftarkan perniagaan anda di SSM secara online.
CARA MENDAFTAR PERNIAGAAN SSM SECARA ONLINE
Terdapat dua cara untuk membuat permohonan perdaftaran perniagaan dan juga pembaharuan perniagaan syarikat anda. pertama adalah melalui kaunter di mana-mana cawangan pejabat SSM seluruh Malaysia. Kedua pula adalah melalui aplikasi dalam talian di laman SSM iaitu ezbiz online.
KLIK SINI 👉 LAMAN EZBIZ SSM
1) Pertama, pemohon perlu tekan tab 'Sign Up' untuk mereka yang mendaftar bagi kali pertama. Isi ruangan yang perlu diisi dengan betul ( No Kad Pengenalan dan Nama Penuh )
2) Kemudian, anda perlu create ID dan Kata Laluan. Bagi pemohon yang telah mempunyai akaun, anda boleh masukkan username dan Kata laluan yang telah anda buat sebelum ini.
3) Seterusnya, pemohon perlu ke kaunter SSM yang berdekatan untuk pengesahan MyKad dan aktifkan ID anda.
4) Di kaunter SSM, pemohon akan melalui proses Pengaktifan ID dengan mengesahkan cap jari anda untuk tujuan keselamatan maklumat. Proses ini adalah penting untuk memastikan pemohon adalah pemilik sebenar perniagaan tersebut dan dapat mengelakkan sebarang penipuan dalam perdaftaran pemilik perniagaan.
5) Setelah selesai, pemohon boleh menggunakan akaun di ezbiz ssm untuk perdaftaran perniagan anda di laman web ezbiz.
SERVIS DI EZBIZ SSM
Sebenarnya dengan adanya akaun di Ezbiz ni, kita bukan sahaja boleh mendaftar perniagaan, tetapi juga ada beberapa lagi perkhidmatan yang disediakan untuk membantu kita dalam urusan SSM.
a) Pendaftaran Perniagaan Baru
b) Perubahan Butiran Perniagaan
c) Pembaharuan perniagaan
d) Penamatan perniagaan
e) Perkhidmatan Kompaun
MAKLUMAT LANJUT PENDAFTARAN PERNIAGAAN SSM
Okay, bahagian seterusnya adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu sebelum mendaftar perniagaan di SSM, termasuklah dari segi nama perniagaan, syarat-syarat untuk mendaftar, bayaran yang dikenakan, serta panduan am berkaitan pendaftaran perniagaan.
PROSEDUR PENDAFTARAN PERNIAGAAN (SSM)
1. Pendaftaran boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama
‘Tred’.
- Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contoh: Ruslan bin Mohamed, Siow Ah Thai, Ramasamy a/l Mutusamy.
- Nama Tred ialah nama perniagaan yang dicadangkan dan perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu. Contoh: Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering, ABS Unggul Enterprise.
2. Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan
mengisi maklumat seperti berikut:
- Nama perniagaan
- Tarikh permulaan perniagaan
- Alamat utama perniagaan
- Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
- Maklumat pemilik dan rakan kongsi
- Jenis perniagaan yang akan dijalankan
- Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada)
3. Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani di ruangan
maklumat pemilik dan di ruangan pengesahan oleh pemilik
tunggal/rakan kongsi.
4. Pemilik / semua rakan kongsi perlu hadir untuk urusan pendaftaran.
5. Dokumen yang perlu dilampirkan:
- Surat Kebenaran atau Surat Sokongan bagi jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/Kolej Pendidikan (Kementerian/Jabatan Pendidikan)
- Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan
SYARAT MENDAFTAR PERNIAGAAN
1. Pemilik mestilah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap
2. Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas
3. Pemilik/rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan.
FI PENDAFTARAN PERNIAGAAN
1. Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di
kad pengenalan – RM30.00.
2. Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian
menggunakan nama tred - RM60.00.
3. Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan.
4. Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.60 (Termasuk GST).
PANDUAN AM PENDAFTARAN PERNIAGAAN
1. Perniagaan telah dijalankan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari
dari tarikh permulaan perniagaan.
2. Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1)
tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.
3. Jenis perniagaan yang didaftarkan tidak menyalahi undang-undang,
tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman
awam atau prinsip moral.
4. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu
(1) jam dari waktu pembayaran dibuat.
5. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan
perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta
Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan
denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak
melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.
6. Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit
atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang
berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun
pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.
KLIK SINI 👉 PDF PROSEDUR LENGKAP DAFTAR SSM disediakan oleh pihak SSM
Sekian sahaja untuk perkongsian kali ini. Diharap perkongsian kali ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan anda dalam mendaftar perniagaan anda di SSM secara online.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, mahu mendapatkan info terkini dan sebagainya, anda boleh ke :-
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Laman Sesawang : Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Facebook : Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Email : enquiry@ssm.com.my
Telefon : 03-7721 400
SEKIAN
tq untuk info ni
ردحذفgood sharing :)
ردحذف