Assalamualaikum dan salam sejahtera
SIAPA IMAM AL- GHAZALI ?- Nama sebenar Imam Al-Ghazali ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali Al-tusi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Al-Ghazali iaitu nisbah kepada kampung tempat kelahirannya iaitu ghazalah yg terletak dipinggir bandar Tusi di dalam wilayah Khurasan, Parsi, (Iran). Panggilan tersebut dinisbahkan kepada bapanya seorang tukang tenun kain bulu yang dalam bahasa Arabnya dikatakan al-Ghazzal.
Imam Al-Ghazali juga digelar Abu Hamid, yang bererti bapa kepada Hamid iaitu dinisbahkan kepada anaknya. Beliau juga digelar Hujjatul Islam iaitu suatu gelaran penghormatan yang diberikan kepadanya kerana kejituan dan kekuatan hujjahnya di dalam membela agama Islam.
6 PESANAN IMAM AL-GHAZALI
Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya.
(1) “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Al Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”. Kerana mati itu janji Allah SWT. Janji Allah Ta’ala bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(Surah Ali Imran: 185)
(2) “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Al Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Islam
(3) “Apa yang paling besar di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Al Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “nafsu”.
Nafsu yang menguasai diri menyebabkan manusia gagal menggunakan akal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala untuk hidup berlandaskan kebenaran.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah Al-A’araaf: 179)
(4) “Apa yang paling berat di dunia ini?”
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling berat adalah “memegang amanah.”
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
( Surah Al-Ahzaab: 72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup terima permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak mampu memegang amanahnya.
(5) “Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Al Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Ramai dalam kalangan kita, kerana kerja, kerana urusan dunia, kerana hiburan, kita tinggalkan solat. Sedangkan tuntutan solat itu yang lebih utama.
(6) “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Al Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “lidah manusia”. Kerana, dengan lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
Kredit : Ustaz Mohamad Sallehudin bin Md Derus
BACA JUGA : 9 Fadhilat Surah Al-Ikhlas dan 10 Khasiatnya
Semoga Bermanfaat.
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.