Assalamualaikum dan salam sejahtera
Artikel kali ini adalah mengenai panduan cara mandi wajib. Kepada anda yang masih ragu-ragu tentang cara yang betul untuk melakukan mandi wajib, anda boleh baca artikel ini. Selain itu, hukum mandi wajib juga akan diterangkan dengan jelas. Sebab-sebab perlunya mandi wajib juga ada di dalam artikel ini. Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda.
CARA MANDI WAJIB YANG BETUL BAGI LELAKI DAN PEREMPUAN
MANDI WAJIB
Mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air kepada seluruh badan.
Menurut syarak pula ialah mengalirkan air ke seluruh tubuh dengan niat tertentu.
Mandi wajib bermaksud mengangkat (menghilangkan) hadas besar, seperti mandi junub, mandi kerana selesai haid atau nifas dan sebaliknya.
Mandi wajib, dikenali sebagai mandi junub dan disebut juga sebagai mandi hadas besar.
HUKUM MANDI WAJIB
Hukum mandi wajib atau mandi hadas besar ini ialah WAJIB
Jika sebab-sebab mewajibkan mandi itu berlaku ke atas diri seseorang, maka wajiblah dia mandi.
Seandainya seseorang itu belum mandi wajib atau mandi junub, maka haramlah dia mengerjakan solat, haram menyentuh dan membawa al-Quran, membacanya, haram mengerjakan tawaf dan lain-lain yang diharamkan ketika dalam keadaan berhadas besar.
Suruhan atau perintah mandi wajib ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah, maksudnya:
Dan jika kamu sedang junub, maka bersuci (mandilah) kamu
(al-Maidah 5: 6)
Ini bererti jika seseorang itu dalam keadaan berhadas besar atau junub, maka wajiblah dia mandi agar dia suci daripada hadas dan kemudian boleh mengerjakan pelbagai macam ibadat.
BERKAITAN : Syarat untuk Taubat Nasuha
.
SEBAB PERLU MANDI WAJIB
1. Jimak
Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj. Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..).
Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.
2. Keluar mani
Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam keadaan memancut.
Kalau seseorang itu bermimpi (bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini, wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.
3. Haid dan nifas
Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)
Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).
Ayat dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid. Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.
4. Wiladah
Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.
Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.
5. Mati
Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.
6. Orang kafir yang masuk Islam
Menurut mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam al-Bukhari).
Namun menurut jumhur ulamak termasuk mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.
Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)
7. Orang yang memandikan jenazah
Segolongan ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab, Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan).
Namun menurut pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan, an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya; tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan bapanya (Abu Thalib).
CARA MANDI WAJIB LELAKI & WANITA
1. Niat ketika air sampai ke tubuh.
2. Membaca "Bismillah".
3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali.
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
5. Membersihkan (menyucikan) tangan kiri dengan sabun.
6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa (untuk solat) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi).
7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air.
Ini berdasarkan hadith dari Aisyah di dalam Sahih al-Bukhari, maksudnya: "Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya."
Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith 'Aisyah (R.A) maksudnya: "Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian di bahagian kiri".
Bagi wanita yang mandi untuk haid/junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut. Ini berdasarkan hadith Aisyah (R.A) di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda SAW berkata sedemikan : "Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu".
8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Dari Aisyah (R.A): "Sesungguhnya Rasullullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ektika bersuci". (Sahih Muslim)
9. Meratakan air ke seluruh tubuh.
10. Berwudhu' jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan di antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara dan kaedah mandi adalah sama.
SEMOGA BERMANFAAT
Penting ni utk pastikan ibadah2 lain diterima...Terima kasih perkongsian..
ردحذف