Pemuda Kongsi Pengalaman Melihat Pontianak Depan Mata

Aerill Hassan
1
Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pemuda Kongsi Pengalaman Melihat Pontianak Depan Mata

Pernah tak anda bertemu dengan mana-mana jelmaan makhluk halus? Jika tidak, ada satu perkongsian menarik tentang pengalamannya bertemu dengan pontianak. Oh ya, kembali lagi dalam rancangan "Kisah Seram Apa Minggu Ini?". Sudah lama tidak bersiaran kan? Kali terakhir adalah pada bulan Jun yang lalu. 

Perkongsian ini diceritakan oleh seroang pemuda yang mempunyai kelebihan dalam dirinya kerana dapat melihat pelbagai jenis jin dan iblis dalam jelmaan makhluk halus. Selemat membaca.


KONGSI PENGALAMAN MELIHAT PONTIANAK DEPAN MATA

Sebelum aku memulakan cerita ini, aku nak jelaskan di sini bahawa aku dikurniakan dengan satu kelebihan iaitu dapat melihat ke alam ghaib dengan nyata. Pendek kata hijab aku terbuka sejak dari zaman sekolah menengah lagi. Sekarang usia aku dah genap 30 tahun (2017) dan dah banyak jenis jin dan iblis yang menyerupai Pontianak, Langsuir, Polong, Hantu Raya, Toyol, Penanggal, & macam-macam jenis lagi aku dah jumpa.

Yang jenis cun-melecun pun aku pernah terserempak dan lepak sekali. Yang jenis cun-melecun ni bunian. Kalau kawasan kampung yang ada banyak pokok sawit, getah, durian & hutan yang masih terpelihara lagi, maka yakinlah bahawa di situ memang terdapat penempatan besar geng-geng diorang. Dah terlanjur bab bunian pulak aku ni. Untuk sesi ini, aku tak nak bercerita lagi berkenaan dengan bunian, aku mulakan dengan lafaz Bismillahirahmanirahim dahulu.

Ok, untuk edisi pengenalan ini aku nak bercerita tentang perihal jin dan iblis yang menyerupai perempuan yang selalu dimomokkan sebagai Pontianak. Pontianak yang korang semua bayangkan itu agaknya macam si Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam kan? Tak pun macam si Suzana Sundel Bolong gitu? Hahaha. Daripada pengalaman aku, pontianak ni sebenarnya ada 3 jenis rupa. Yang pertama adalah jenis yang tak berwajah. Dia ni bersifat pasif dan sangat jarang mengacau orang. Paling teruk pun dia datang mengadap muka korang dengan aura seram dan bau jasad dia sahaja.

Dia takkan tunjuk rupa dia depan muka kau, dia takkan lepak depan kau, dan kebanyakannya dia tumpang lalu sahaja. Pakaiannya serba hitam dan gelap, muka blur (senang cerita macam tak ada muka langsung), selalu bertenggek dalam tong sampah, celah pokok tembakau, atas pokok getah, dalam parit, dalam longkang, dan di tempat yang kotor lagi busuk. Kalau korang tengah lepak dan tiba-tiba muncul bau seakan-akan bangkai @ sampah @ lori sampah maka berkemungkinan besar dia sedang melintasi kawasan tersebut. Jangan panik dan takut. Teruskan sahaja aktiviti yang korang lakukan sebelum itu. Dia takkan kacau korang melainkan korang bercakap besar dan berniat betul-betul untuk jumpa dia.

Pemuda Kongsi Pengalaman Melihat Pontianak Depan Mata

Pontianak jenis kedua adalah pontianak betina dan berwajah garang, mata bulat terjojol keluar dan warna merah saga, gigi menyeringai, muka penuh keladak j*****t batu, dan berambut panjang. Baju seragam rasmi adalah berjubah putih @ baju kelawar perempuan putih. Dia boleh terbang, melompat, dan berlari laju. Kadang-kadang dia pegang kayu reput dan dia bergerak ke hulu ke hilir dengan kayu tu. Dia jenis alert dengan percakapan dan perbuatan kita. Korang jangan sesekali memandai cakap besar sebab kelajuan dia sama dengan kelajuan bunyi. Jangan berniat untuk nak tengok rupa dia. Kalau dia betul-betul menjelma depan korang memang naya. Boleh demam dan trauma bai. Pontianak ni jenis cerdik, kalau korang dalam kumpulan yang ramai (lebih dari 2 orang), takde maknanya dia nak tunjuk rupa dia.

Tapi ingat, dia akan pilih dan ikut salah sorang dari mangsanya di situ. Selagi dia tak usik selagi tu dia akan ikut orang tu sampai ke dalam bilik tidur. Dia sangat aktif dan suka menjelmakan diri terutamanya selepas Maghrib. Apabila bilal mengalunkan azan, dia akan memekikkan suaranya dalam frekuensi yang sangat halus dan tajam. Aku pernah nampak pontianak jenis ni berlari masuk ke dalam rumah aku masa azan Isyak. Dia berlari dan terus meluru ke dalam tandas dan berconggok betul-betul di tepi mangkuk tandas sambil memekik dengan suara yang kuat. Kalau korang rasa tandas tu tiba-tiba suam bermakna dia ada di situ. Aku kalau tengok rupa dia memang nampak macam bodoh yang amat dan rupa macam geng-geng Black Metal yang bercorpse paint.

Dia suka terbang dan lepak di tempat-tempat gelap dan sunyi. Kadang-kadang dia suka bertenggek atas pokok mangga dan rambutan. Bau jasad dia seakan-akan bunga kemboja. Andaikata korang tercium bau bunga kemboja bila malam hari, korang buat selamba je dan zikir Allah Hu dalam hati, walaupun korang dah takut tahap nak pengsan tapi cuba bertenang. Dia ni jenis ikut sebelah kita dan suka tenung muka kita. Kalaulah korang dapat nampak macam yang aku nampak, nescaya korang akan trauma dan pengsan. Untuk kes yang lebih berat, kalau dia menjelma betul-betul depan muka, maka jeritlah kalimah Allahuakbar dengan sekuat hati berulang-ulang kali sampai dia hilang. Kalau kau mampu baca Ayat Qursi, 3 Qul, atau 1,000 Dinar sila baca dengan tertib dan dalam emosi yang bertenang sampai dia hilang dari radar mata. Kalau tak mampu sila jerit kalimah Allahuakbar dengan kuat & berulang kali.

Untuk pontianak yang ketiga pulak, aku panggil dia pontianak melayu sebab dia memang berwajah dan berpakaian ala-ala melayu lama. Dia pun betina jugak, muka macam orang-orang lama, mata bulat jenis terjojol keluar, kulit sawo matang, rambut kembang, badan macam Rozita Che Wan, berbaju kebaya kadang-kadang baju kurung dan dia menggenggam batu panjang di tangan kiri dia. Aktif di malam hari. Lokasi tempat tinggal di celah-celah pokok pisang, kadang-kadang bertenggek atas pokok ara, mangga, mempelam, & rambutan, suka lepak dalam semak, di tempat gelap, luar rumah, dan di kawasan yang ada orang bela anjing. Kalau tengah-tengah malam korang dengar anjing menyalak panjang maka benarlah dia berada di situ dan cuba untuk masuk ke dalam rumah yang berdekatan kawasan tersebut.

Pemuda Kongsi Pengalaman Melihat Pontianak Depan Mata

Sekiranya korang ada membela kucing dan tiba-tiba kucing tersebut pandang lama ke satu sudut rumah @ bilik, maka benarlah bahawa dia berada bersetentang dengan kucing tersebut. Kalau ekor kucing tersebut kembang itu bermakna ada lebih dari seekor pontianak di depan kucing tu. Kalau pontianak jenis ni masuk ke dalam rumah, besar kemungkinan ada benda yang akan hilang ataupun rosak dan salah seorang dari penghuni dalam rumah itu akan demam ataupun berlaku kemalangan kecil. Itu daripada pengalaman aku sendiri.

Kalau korang dalam situasi di mana dia dah menunjukkan jasad dan wajah dia, sila baca kalimah Laillahaila Anta Subhanaka Inni Kuntu Minnal Dzalimin dengan nada agresif dan kuat sehingga dia lari. Kalau tak mampu jeritlah dengan kalimah Allahuakbar banyak kali. Pontianak jenis ni hatinya kering dan kebal. Korang kena tenung mata dia masa lontar kalimah-kalimah tersebut. Ada kawan aku yang jenis hati kental pernah maki hamun dan angkat jari tengah depan pontianak ni, berdesup hilang. Moralnya apabila kita berani, pontianak waima segala makhluk halus akan takut berkali ganda pada kita.

Korang nak tahu tak apa benda kesukaan pontianak ni? Diorang suka bau yang wangi dan tajam macam perfume, bau longkang, perempuan yang uzur, sampah sarap, tulang-tulang, & d***h dari luka. Diorang jilat d***h tu tapi korang takkan rasa dan perasan. Kalau boleh elakkan dari bercakap besar dan membayangkan benda-benda seram sebelum korang tidur sebab diorang melilau di sekeliling tempat kita tidur waktu tu. Masa aku tulis cerita ni, ada benda yang duduk kat sebelah aku, korang tahu apa dia? Kucing akulah. Hehe. Nantikan edisi lain pada waktu dan hari yang berlainan. 

SEKIAN

Kredit Kisah Seram : Pontianak | facebook.com/carlitorocker | Google Image
Tags

إرسال تعليق

1تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!