Kisah Seram : Pelajar Universiti Tempatan Diganggu Jelmaan Wanita

Aerill Hassan
0
Assalamualaikum dan salam sejahtera


Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, kali ini kita bertemu lagi untuk rancangan "Kisah Seram Apa Minggu Ini?". Baiklah kisah kali ini merupakan sebuah nukilan Naziera Afandi, sebuah kisah seram ringkas tetapi cukup seram dan misteri. Nak tahu apa yang seram dan apa yang misteri? Jom sama-sama kita baca kisah seram ini.

KISAH SERAM : PELAJAR UNIVERSITI TEMPATAN DIGANGGU JELMAAN WANITA

Hari itu, tanggal 25 September 2005, bermulalah kehidupan aku sebagai seorang pelajar di sebuah universiti terkemuka di utara Malaysia. Baru masuk hari pertama aku di minggu orientasi. Aku berkenalan dengan ramai pelajar lain, ada juga yang merupakan teman sebilik aku. Aku ni peramah orangnya.

Bercerita tentag bilik, aku tiggal di dorm pelajar wanita yang menempatkan 8 orang pelajar di satu bilik. Fatihah, merupakan teman sekatilku. Dia tidur di katil bawah, manakala aku di katil atas. Bilik kami merupakan yang paling hujung dan paling jauh dari tandas.

Nak dijadikan cerita, semasa pagi hari ketiga orientasi, aku dan Fatihah ada terserempak dengan makcik cleaner bernama Makcik Yah semasa hendak turun ke dewan. Makcik Yah tugasnya membersihkan blok kami dan juga blok hadapan pada setiap hari. Makcik Yah memang baik, hari pertama kami disitu sudah  banyak dia berikan nasihat dan ada juga sekali sekala belikan kami makanan dari kafe.

"Asalamualaikum makcik, kami nak ke orientasi ni" sapa aku lembut.

"Baiklah. Elok-elok jalan ya" pesan Makcik Yah.

"Baik makcik!" kami kami serentak.

"Eh lupa makcik nak pesan. Kamu nanti kalau nak pergi tandas waktu malam, eloklah berteman ya. Pesan pada rakan-rakan bilik kamu sekali".

"Kenapa pula makcik?".

"Saja makcik pesan, sebab kamu tu orang puan, eloklah berteman".

"Saya kalau nak kemana-mana memang berteman makcik, saya ni penakut orangnya" balas Fatihah sambil tersengih-sengih.

"Eleh kau, aku tak payah berteman pun takpa. Rilek je sorang-sorang, nak takut apa" kata aku dengan riak.

Makcik Yah hanya tersenyum melihat gelagat kami kemudian berlalu pergi. Kami juga tergesa-gesa ke dewan sambil berlari anak menandakan kami sudah lewat.

Jam menunjukkan sudah jam 6 petang, orientasi sudah berakhir. Kami pulang ke bilik masing-masing untuk berehat sebelum ke masjid malam nanti  untuk solat isyak berjemaah. Sampai saja di bilik, Fatihah terus melabuhkan badannya ke katil.

"Ah letihnya, aku rasa mengantuk ni. Nanti dah dekat waktu maghrib kejut aku ya" pesan Fatihah kepada kami rakan sebiliknya.

Aku juga sempat berehat sebentar sebelum tiba-tiba perutku meragam. Salah makan mungkin. Aku bangun dan terus ke tandas. Hari sudah makin gelap dan hampir masuk waktu senja.



Dalam perjalanan ke tandas tu, aku terserempak dengan Makcik Yah sekali lagi.

"Makcik tak balik lagi ke?" soalku.

"Belum. Kejap lagi makcik balik. Tadi makcik ada nampak kawan kamu Fatihah ke tandas seorang diri, tadi pagi aktanya dia tak berani ke tandas sorang-sorang, itu makcik tegok elok je. Laju pulak tu perginya, tak sempat makcik tegur".

"Fatihah? Oh, dia kat biliklah makcik" kataku sambil tergesa-gesa kerana sudah tidak tahan hendak ke tandas.

"Okay makcik, saya pergi dulu".

Makcik Yah hanya memandangku pergi sambil tersenyum.

Di tandas, ada beberapa orang pelajar. Bahkan semua tandas penuh. Aku terpaksa ke tandas hujung. Sebaik sahaja selesai urusanku, aku terdengar azan Maghrib berkumandang.

'Fatihah tu entah dah bangun ke belum' detik hatiku.

Aku keluar dari tandas hujung tu, terus ternampak susuk Fatihah di sinki paling hampir dengan pintu utama keluar tandas. Hanya kami berdua ada disitu.

Aku langsung ke sinki berselang dua buah darinya untuk membasuh tangan.

"Ha, aku ingatkan kau tidur lagi. Boleh pulak perut aku memulas tadi, sakit betul".

"Taklah, bangun dah. Aku cari jugak kau tadi, aku nak kau hantar aku balik rumah" Fatihah membalas.

"Rumah apa pulak kau ni. Merepek je. Ni kau buat apa kat sini, mandi ke?"

"Aku gosok gigi".

"Gosok gigi?"

"Ya.. gosok.. gigi..." sambil perlahan-lahan  menoleh ke arah aku.

Aku terpaku dan menggigil seluruh badan. Mulut fatihah terbelah dari telinga kiri ke telinga kanan. Giginya berdarah-darah. Tangannya pucat. Matanya memandang tepat ke anak mataku seolah-olah tidak mahu melepaskan aku. Aku hampir jatuh namun sempat memaut di sinki. Aku ingin keluar tetapi pintu tandas telah pun dihalang oleh lembaga itu.

Aku berlari ke dalam bilik mandi dan menjerit sekuat-kuat hatiku. Selari dengan azan yang masih lagi berkumandang, makin kuat suara aku menjerit. Takut, nangis, pelbagai perasaan bercampur baur datang. Tidak pernah aku menjerit sekuat itu seumur hidupku. Sungguh aku sangat takut. Aku menangis semahunya!

Tiba-tiba pintu bilik mandi diketuk berkali-kali;

"Ziera, buka! Kami ni," suara Fatihah dan rakan-rakan yag lain kedengaran.

"TAK, kau hantu, pergi! Dasar syaitan!" aku cuba melawan suara tadi.

"Ni aku lah, bukak pintu. Ustazah Hafizah ada sekali ni" suara Fatihah seolah-olah sebak dan ingin menangis.

"Ya Ziera, saya ada disini. Buka pintu" jerit Ustazah Hafizah pula.

Masing-masing seolah-olah sangat risau akan aku. perlahan-lahan aku membuka pintu, mereka sudah berada di hadapan aku bersedia untuk membantu.

"Fatihah ni han han hantu ustazah, mulut dia ni terkoyak lusa tadi, darah, gosok gigi pastu tengok saya... pucat... saya takut" berterabur ayatku bila aku cuba menceritakan apa yang terjadi, sambil menangis.

Ustazah segera memelukku dan menyebut nama-nama Allah dengan perlahan. Aku dibawa keluar, sambil keluar, aku sempat memandang sinki tempat Fatihah gosok gigi tadi, aku ternampak berus giginya masih ada disitu. Sekali lagi aku menjerit dan langsung pengsan.

Tersedarnya aku, aku sudah berada di bilik dorm. Badanku masih menggigil. Sejuknya hanya Allah yang tahu. Aku segera bangun  untuk mencari Fatihah. Rupanya dia setia disisiku dari tadi.

"Kau buat apa kat tandas tadi, baik kau cakap betul-betul, aku tak suka kena main macam ni!," tegasku.

"Mana ada aku pergi tandas, tadi kan aku tidur. Bila dah nak masuk waktu maghrib baru Fiza kejut aku. Aku capai tuala nak bersiap-siap untuk mandi, masa tu lah kami semua dengar kau menjerit. Satu blok dengar kau jerit" jelas Fatihah.

"Aku... a..ku..aku takut" terketar-ketar suaraku menahan sebak dan perasaan takut. Airmata tidak henti-henti berjurai dipipi. Perasaan ini tidak mungkin dapat aku jelaskan kepada sesiapa, hanya yang mengalaminya saja faham.

Fatihah peluk aku dan minta aku beristghfar. Sesudah pelajar lain solat isyak, Ustaz Azman datang melawatku.

"Saya datang bukan nak tanya awak nampak apa, saya tahu apa yang awak nampak. Cuma saya nak tanya, awak ada berbual atau  janjikan apa-apa ke dengan dia?" ujar Ustaz dengan penuh lembut.

"Takda ustaz. Dia cuma ada cakap, dia nak saya hantar dia balik rumah, tapi saya tak faham maksudnya apa. Saya ingatkan Fatihah hanya bergurau."

"Baiklah saya faham. Soalan akhir saya, kamu ada terima atau ambil apa-apa barang yang bukan milik kamu semasa kamu sampai ke sini?"

"Takda ustaz" jawab aku lemah.

"Eh Ziera, aku teringat sesuatu. Kau ingat tak kau ada cakap yang gelang batu Makcik Yah cantik, lepas tu Makcik Yah terus buka dan sarungkan kat tangan kau?" Fatihah mencelah.

Sejujurnya aku masih belum berani hendak memandang wajah Fatihah, aku masih trauma.

"Ya, betul apa yang Fatihah cakap tu ustaz, ni gelangnya" sambil aku menghulur tangan aku.

"Allahuakbar, Makcik Yah mana pulak ni!" kata ustaz.

Ala Makcik Yah cleaner tu" jawabku.

"Lailahaillallah, Allah Maha Besar! Ziera, Fatihah, kamu dengar baik-baik ya, Makcik Yah yang kami sebutkan itu sudah meninggal dunia dua minggu sebelum kamu memulakan orientasi disini".

Sekali lagi, fikiran ku kosong. Aku termenung jauh seperti orang sudah hilang akal. Seperti sudah hilang kewarasan. Fatihah terduduk mendengarnya. Dia memandangku sambil bertanya-tanya, dengan siapa kita bual, apa benda dia bagi kita makan Ziera! Aku hanya berdiam. Sudah tidak ada perkataan mampu aku ucapkan. Aku lemah sangat. Aku hanya mahukan ibu bapa ku. Allahuakbar..

Ustaz segera mengambil gelang itu dan ingin memulangkan kepada keluarag arwah Makcik Yah.

Malam itu juga, keluarga aku dan Fatihah datang untuk mengambil kami. Mujur keluarga kami tinggal tidak jauh. Aku sudah tidak ada hati untuk belajar dan tinggal disana.  Terlalu berat apa yang aku alami.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku menerima sms dari Fatihah yang tertulis;

"Terima kasih Ziera sudah menghantar aku pulang," dengan ber emoji senyum


TAMAT

SUMBER : Naziera Afandi
Tags

إرسال تعليق

0تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!