Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, semoga semua dalam keadaan baik-baik sahaja. Kali ini aku nak kongsikan pengalaman aku makan steamboat buffet yang sedap, meriah dan begitu menyelerakan di negara jiran, Thailand.
Seperti mana yang anda tahu, pada bulan Jun yang lalu aku dan rakan-rakan blogger bersama-sama melancong ke Thailand dan perjalanan kami ke sana dibawa oleh Kopetro Travel. Untuk cerita penuh trip tersebut, boleh baca di ; https://www.aerill.com/2023/06/trip-ke-hatyai-4-hari-2-malam-bersama.html .
Kali ini aku nak ceritakan lebih detail pengalaman aku mencuba makanan di Khlong Hae Seafood Buffet Halal, makanan apa yang ada, suasananya bagaimana serta harga bagi setiap pengunjung yang ingin datang menikmati steamboat di sini. In shaa Allah aku akan kongsikan sehabis baik pengalaman aku, jadi jemput baca sehingga ke penghujung ya!
PENGALAMAN MAKAN DI KHLONG HAE SEAFOOD BUFFET HALAL
Baiklah, cerita dimulakan dengan hari tersebut merupakan hari pertama kami semua di Hatyai, Thailand. Setelah penat dengan lawatan di siang hari, dari pagi sehingga ke sebelah petang, kemudiannya baru check in ke hotel, dalam jam 4 petang macam tu kami ke Khlong Hae Seafood Buffet Halal ini.
Lokasinya berdekatan sahaja dengan satu lagi tempat popular di Hatyai iaitu Khlong Hae Floating Market, jadi sebelum kami ke pasar di atas air tu, kami makan dulu di sini. Dari luar terpampang besar signboardnya! Deretan kereta pun dah mula memenuhi kawasan parking sekitar Khlong Hae Seafood Buffet Halal ni.
Suasana dalamnya seperti yang anda boleh nampak dalam gambar diatas, memang meriah dengan pengunjung. Alhamdulillah, kami datang awal jadi orang agak ramai tetapi tidaklah seperti waktu dimana jumlah pengunjung adalah maksimum. Masih ada beberapa kawasan meja yang belum dipenuhi.
JOM LIHAT APA YANG ADA DI KHLONG HAE SEAFOOD BUFFET HALAL !
Sekarang tibalah masanya untuk aku ceritakan pula antara seafood dan makanan apa yang tersedia di sini. Memang banyak sebenarnya pilihan yang tersedia disini, untuk mereka yang menyukai seafood, aku pasti dan yakin sekiranya anda datang ke sini pasti akan tersenyum lebar dan tak pasti nak mulakan dengan juadah apa terlebih dahulu.
Baiklah, untuk bahagian pertama aku akan tunjukkan antara pilihan seafood dan makanan perap yang tersedia.
Seperti mana yang anda boleh nampak dalam gambar di atas, memang pilihannya sangat banyak dan yang paling penting segar. Jangan risau kalau macam dah nak habis, mereka akan tambah semula.
Ada pelbagai jenis daging dan ayam yang diperap, dan anda boleh pilih mengikut kesukaan anda. Macam aku, aku suka ayam diperap dengan blackpepper. Macam aku, untuk bakar kali pertama, aku akan ambil semua jenis dalam kuantiti sedikit, kemudian aku akan pilih yang mana tersedap, dan aku akan ambil jenis itu sahaja untuk pembakaran seterusnya.
Nah! Sesiapa peminat udang, inilah masanya untuk anda nikmatinya. Memang banyak udang dan memang besar saiznya.
Pelbagai jenis kerang, kepah semuanya ada disini, jadi aku rasa memang berbaloilah untuk anda yang datang ke sini, terutamanya mereka yang meminati seafood. Sekiranya anda alergik dengan seafood, mungkin kurang berbaloi tetapi anda boleh cuba juga menu tanpa seafood di sini.
Berikut pula adalah antara menu yang sudah siap dimasak, lauk-pauk, nasi, jeruk dan manisan.
Kalau malas nak masak udang, nah anda boleh sahaja amik menu udang yang sudah siap dimasak, hanya perlu dikopek sahaja kulitnya.
Selain itu, ada lauk-pauk lain yang tersedia dan sekiranya anda suka makan di kedai Tomyam, lauk-pauknya tiada beza rasanya. Walaupun dalam gambar diatas ada beberapa lauk yang kelihatan hampir habis, jangan risau mereka di dapur sedang menyiapkan menu yang sama untuk menambahnya semula.
Banyakkan lauk-pauknya? Macam yang aku beritahu diatas tadi, sekiranya anda tak makan seafood, boleh sahaja makan makanan yang sudah siap dimasak. Untuk yang malas masak atau malas menunggu lama, bolehlah mengunyah makanan ringan terlebih dahulu.
Jeruk dan buah potong pun ada. Paling aku suka adalah buah mempelam yang agak muda. Memang aku ambil banyak dan hanya untuk dimakan sementara menunggu seafood siap dimasak.
MASA UNTUK MASAK & MAKAN
Selesai bercerita bab juadah yang ada di sini, tibalah masa untuk aku ceritakan tentang proses memasak dan makan pula. Untuk maklumat, ada dua jenis tempat memasak yang disediakan, satu seperti barbeku ni, dengan jaring dan satu lagi adalah jenis yang boleh diletakkan sup. Ada gambar di bawah, nanti anda fahamlah macam mana.
Pengalaman masak disini tidaklah seperti di steamboat mewah seperti Seoul Garden dan sebagainya sebab disini kehangatannya begitu dirasai. Kalau di steamboat lain mungkin menggunakan dapur gas dan sebagainya, disini mereka mengggunakan arang yang begitu panas membara.
Kalau anda bawa anak-anak perlulah berhati-hati ya. Orang dewasa juga kalau jenis yang tak reti duduk diam pasti akan terjadi kecelakaan juga.
Okay, kalau anda boleh lihat ada kepala ikan dan sebagainya dalam gambar diatas, mesti tertanya-tanya bagaimana nak masak kan? Jangan risau ada stesen khas untuk memasak ikan pilihan anda. Memang mudah sahaja, hanya perlu menunggu beberapa minit sahaja dan siap!
Masing-masing begitu gembira ya menikmati makanan yang disediakan disini. Agak lama juga kami menghabiskan masa disini, mungkin sekitar 2 hingga 3 jam jugalah.
Ya, gambar diatas ini adalah jenis yang anda boleh masak sup. Macam aku sendiri kurang sikir menggemari sup, untuk anda yang suka bolehlah pilih jenis ini.
Gambar di atas dan dibawah ini adalah antara pilihan yang diambil. Nampak cantik dan tersusun je kan? Mestilah untuk ambil gambar. Selepasnya anda boleh bayangkan, makanan sudah siap, kemudian ditambah juadah-juadah lain, memang penuh meja dengan pinggan sahaja. Haha
Kesimpulannya, aku rasa pengalaman makan di sini memang cukup berharga, pilihan makanan disini memang menjadi satu sebab utama untuk aku datang lagi ke sini sekiranya bercuti di Hatyai, Thailand. Rata-rata rakan-rakan blogger yang makan disini juga berpuas hati dengan semua makanan yang ada. Selain itu, aku juga pelik bagaimana arang tu boleh kekal tahan lama ya, memang berkali-kali juga bakar ayam dan udang, baranya masih membara. 🔥
HARGA KHLONG HAE SEAFOOD BUFFET
Oh ya, sebelum menamatkan artikel kali ini, harga bagi satu kepala di sini adalah 299 Baht iaitu mengikut pertukaran semasa artikel ini ditulis adalah sekitar RM39.80, dibundarkan menjadi RM40. Dengan harga sebegitu, aku rasa memang sangat berbaloi.
Jadi sekiranya anda tak tahu nak makan apa di Hatyai, apa kata datang dan cuba makan di Khlong Hae Seafood Buffet Halal ya!
KHLONG HAE SEAFOOD BUFFET HALAL
📍 85 11 Lopburi Ramesuan Rd, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand
📞 +66 98 473 0031
FACEBOOK : https://www.facebook.com/khlonghaeseafood
SEKIAN
Hatyai kan syurga makanan 😍 Thanks info ya! One day pergi sana nanti nak try lah..Hehehe...
ردحذف