Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar pembaca dan rakan-rakan sekalian? Alhamdulillah, semoga semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja. Untuk aku sendiri alhamdulilah, masih diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk mencari rezeki.
Baiklah, kali ini aku nak kongsikan dengan anda tentang sebuah lokasi tempat makan menarik yang sebenarnya aku dan keluarga baru sahaja ketahui keberadaan dan kewujudannya. Lebih menarik, menu yang disediakan sedap-sedap belaka pada harga yang cukup berpatutan.
MAKAN DI MEE UDANG BONGSU, KUALA BAKONG, KEDAH
Mee Udang Bongsu terletak di Kuala Bakong, berdekatan dengan pekan Merbau Pulas dan bandar Kuala Ketil. Seperti yang aku cerita dalam artikel-artikel sebelum ini, aku dan keluarga sebelum ini menetap di Taman Desa Aman, manakala kampung sebelah mak aku adalah di Merbau Pulas.
Alhamdulillah, sebelum raya aidiladha tahun ini, aku dan keluarga berpindah di rumah baru yang terletak di Merbau Pulas. Disebabkan menetap di sini, maka kami mencarilah lokasi-lokasi warung yang menyediakan makanan menarik, dan alhamdulillah, terjumpalah Mee Udang Bongsu ini.
Lokasi kedai atau warung ni sebenarnya bagi aku lokasi yang menenangkan, maksudnya, tiada sebarang gerai lain disekitarnya melainkan ladang kelapa sawit dan juga beberapa rumah orang di Kampung Kuala Bakong.
Saiz gerainya juga tidaklah besar mana, sesuai untuk mereka yang nak rasa suasana kampung yang tenang dan sebagainya.
Alhamdulillah, aku dan keluarga aku datang pada waktu dan cuaca yang memang terbaik. Sekitar jam 3 petang kebiasaannya agak panas, tetapi pada hari tersebut, cuaca berangin dan anginnya memang sejuk.
Kekurangan di sini cumalah harus berhati-hati ketika melintas jalan kerana kereta yang lalu pemanduannya agak laju. Mungkin kerana jalan ini kurang digunakan dan agak lurus.
MENU YANG DI CUBA
MEE UDANG : RM 7
Menu utama disini sudah tentunya mee udang. Dengan harga RM7, bagi aku hidangan ini sangat sedap. Saiz hidangannya pun agak besar, ditambah dengan udang yang menjadi tarikan disusun diatas mee.
Untuk menu mee udang, bagi aku yang paling penting adalah kuahnya. Kuah bagi mee udang ini memang sedap, penuh dengan perisa dan tidak cair. Boleh dikatakan sesedap rasa.
Antara menu lain yang ada disini adalah nasi ayam. Harganya cuma RM6 sahaja, dan hidangannya nampak cukup menyelerakan. Untuk ayam dan nasinya rasanya mungkin sama sahaja dengan nasi ayam lain diluar, tetapi yang menjadi tarikannya adalah kicap dan sos yang disediakan bersama.
LAKSA : RM 5
Menu laksa juga tersedia di sini. Harganya cuma RM5 sahaja, saiz hidangan yang besar. Selain itu, kuahnya cukup pekat, manakala ramuan-ramuan yang wajib ada pada laksa memang tersedia, jadi memang berbaloi makan laksa di sini.
Oh ya, ada satu lagi menu di sini yang aku belum sempat cuba iaitu bihun sup yang juga berharga RM5, mungkin lepas ni aku boleh cuba pulak.
JOM KE MEE UDANG BONGSU, KUALA BAKONG, KEDAH
Secara keseluruhannya, untuk sebuah kedai/gerai atau warung di kawasan kampung yang mempunyai menu sebegini pastinya menjadi tarikan bagi mereka yang mencari lokasi tempat makan menarik. In shaa Allah selepas ini aku dan keluarga dah ada lokasi baru yang boleh dimasukkan ke dalam senarai sebagai tempat makan pilihan.
Oh ya, kepada anda yang mungkin teringin atau tiba-tiba berada di kawasan sekitar Kuala Ketil, Merbau Pulas dan sebagainya, bolehlah singgah terlebih dahulu ke Mee Udang Bongsu, Kuala Bakong, Kedah.
MEE UDANG BONGSU, KUALA BAKONG, KEDAH
Lokasi : Mee Udang Bongsu, Kuala Bakong, 09100, Kuala Ketil, Kedah
Waktu Operasi : 12.30 Tengahhari - 7.30 Petang
Hubungi : 013 4310345
SEKIAN
Alhamdulillah
ردحذفNampak sedap