Panduan Lengkap Solat Jenazah

Aerill Hassan
0
Assalamualaikum dan salam sejahtera

Panduan Lengkap Solat Jenazah

Kematian merupakan hakikat yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan manusia. Ia adalah satu peristiwa yang pasti akan menimpa setiap insan. Oleh itu, sebagai umat Islam, solat jenazah adalah satu ibadah yang penting untuk diberikan kepada saudara seagama yang telah meninggal dunia.

Solat jenazah bukan sekadar satu tanggungjawab, tetapi juga satu kewajipan keagamaan yang perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim. Ia bukan hanya suatu upacara yang dijalankan secara mekanikal, tetapi satu bentuk penghormatan kepada roh yang telah kembali kepada Penciptanya. Solat jenazah juga mengingatkan kita tentang kehancuran dunia ini dan keperluan untuk sentiasa bersedia menghadapi kematian.

{tocify} $title={ISI KANDUNGAN}

PANDUAN LENGKAP SOLAT JENAZAH


Ini adalah panduan lengkap mengenai cara mengerjakan sembahyang jenazah dalam Bahasa Melayu. Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.

Panduan ini juga dipermudahkan dengan transliterasi rumi untuk membantu anda yang sukar membaca tulisan arab.

APA ITU SOLAT JENAZAH?

Solat jenazah bermaksud solat yang dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada orang yang mati. Tujuan solat ini adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat Allah untuk si mati.

Jenazah berasal daripada perkataan dasar janaza ( جَنَزَ ) yang bermaksud menutupi, mengumpul atau meletakkan. Oleh itu, jenazah ( جنازة ) pula bermaksud orang yang telah mati yang diletakkan di dalam usungan, dan akan dibawa ke kubur untuk dikebumikan.

HUKUM SOLAT JENAZAH 

Menurut ijmak ulama, solat jenazah ke atas jenazah yang bukan mati syahid adalah fardu kifayah, iaitu bagi orang yang masih hidup di kawasan tersebut. Sekiranya ada pihak yang telah melakukannya, walaupun seorang, maka terlepaslah kewajipan ke atas orang lain. Ia sunat dilakukan secara berjemaah, namun sah apabila dibuat seorang diri.

Rasulullah SAW pernah mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk sembahyang jenazah apabila ada kematian. Berkata Salamah bin Al-Akwa’ RA:

Pada suatu ketika kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, lalu ketika itu dibawa jenazah. Baginda berkata: Solatlah sahabat kamu itu” — Riwayat Bukhari

Solat jenazah dilakukan oleh orang hidup ke atas orang yang meninggal dunia untuk meringankan bebanannya. Ini kerana dalam solat ini mengandungi banyak doa-doa yang ke semuanya kembali untuk kebaikan si mati.

Oleh sebab itu, seharusnya kepada mereka yang mendirikan solat sembahyang mayat ini dirikanlah dengan ikhlas, penuh khusyuk serta berharap pengampunan Allah SWT kepada si mati. 

RUKUN SOLAT JENAZAH 

Panduan Lengkap Solat Jenazah

Solat jenazah terdiri daripada 7 rukun yang mana jika salah satu daripada 7 rukun ini ditinggalkan – maka tidak sah sembahyang jenazah tersebut, bahkan tidak sempurna tuntutan fardu kifayah. Tujuh rukun solat jenazah tersebut adalah:

✅ PERTAMA : NIAT 

Wajib niat untuk melaksanakan Sembahyang Jenazah sebagaimana diwajibkan niat bagi setiap jenis solat. Niat solat jenazah merangkumi perkara-perkara berikut:
  • a) Niat solat hendaklah diqasadkan di dalam hati seiringan ketika mengangkat takbiratul ihram, yakni takbir yang pertama.
  • b) Disyaratkan agar menyebut “fardu” sahaja di dalam niat solat jenazah tanpa menyebut kifayah. Namun, terdapat juga sebahagian pendapat dalam mazhab al-Shafi’e mensyaratkan agar menyebut fardu kifayah di dalam niat sembahyang jenazah bagi membezakannya dengan fardu ain.
  • c) Tidak menjadi syarat untuk menyebut nama si mati di dalam niat sembahyang jenazah, seperti; 
“Sahaja aku solat ke atas jenazah si fulan bin fulan ini”
  • d) Jika jenazah tersebut ramai, maka memadai niat sembahyang jenazah ke atas mereka semua sekalipun tidak diketahui bilangannya, seperti niatnya; 
“Sahaja aku solat ke atas seluruh jenazah ini…”
  • Imam Khatib al-Syarbini berkata jika ditentukan niat untuk sembahyang jenazah ke atas sepuluh orang jenazah tetapi ternyata jenazahnya ada sebelas orang, maka tidak sah solat tersebut dan perlu diulangi semula kepada semua jenazah tersebut.
  • Sebaliknya jika ditentukan niat solat jenazah ke atas sebelas orang jenazah tetapi ternyata jenazahnya hanya ada sepuluh orang sahaja, maka sah sembahyang jenazah tersebut kerana sudah merangkumi semua.
  • e) Bagi sembahyang jenazah secara berjemaah, makmum wajib berniat untuk mengikuti imam meskipun niat imam dan makmum berbeza.
  • Misalnya, imam berniat dengan menyebut fardu kifayah sedangkan makmum hanya berniat fardu sahaja; atau makmum berniat seperti; “Sahaja aku solat mengikut apa yang diniatkan oleh imam…”, maka sah niat seperti ini.

✅ KEDUA : BERDIRI BAGI ORANG MAMPU

Berdiri bagi orang yang mampu merupakan salah satu daripada rukun solat jenazah sebagaimana berdiri juga menjadi rukun kepada solat fardu. Jika mengalami keuzuran dan tidak mampu berdiri, maka diberi kelonggoran untuk solat secara duduk sama ada di atas kerusi atau di lantai.

KETIGA : EMPAT KALI TAKBIR 

Solat jenazah adalah solat yang tidak mempunyai rukuk, sujud dan tasyahud. Maka, rukun utama sembahyang jenazah adalah empat takbir termasuk takbiratul ihram. Empat takbir boleh dianggap sebagai rakaat bagi sembahyang jenazah kerana setiap takbir memisahkan bacaan-bacaan yang tertentu.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa sebaik sahaja Nabi ﷺ mendengar kematian raja Najasyi, Baginda keluar ke perkuburan Baqi’ lalu mengangkat empat takbir.

Oleh kerana empat takbir ini menempati rakaat dalam solat jenazah, maka jika salah satu daripada empat takbir ini tertinggal, sembahyang jenazah tersebut wajib diganti atau diulang semula.

Disunatkan mengangkat kedua-dua tangan sejajar dengan kedua-dua bahunya pada setiap takbir. Lafaz takbir adalah Allahu Akbar.

KEEMPAT : MEMBACA SURAH AL-FATIHAH 

Bacaan surah al-Fatihah merupakan bacaan yang menjadi rukun dalam semua jenis solat sama ada fardu, sunat, qada, jenazah dan solat-solat yang lain. Kefarduan bacaan surah al-Fatihah sebagai rukun solat berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit RA:

Tidak ada solat (tidak sah) bagi orang yang tidak membaca surah al-Fatihah” – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ibn Abbas RA membaca surah al-Fatihah di dalam sembahyang jenazah dan beliau berkata; Agar kamu semua mengetahui semua bacaan itu adalah sunnah Nabi ﷺ

Bacaan surah al-Fatihah dalam solat jenazah dibaca perlahan dan tidak dibaca kuat. Tidak perlu membaca surah selepas surah al-Fatihah kerana hal itu tidak disunatkan. Selain itu, disunatkan agar dapat membaca ta’awudz sebelum memulakan surah al-Fatihah dan menyebut “amin” selepasnya.

KELIMA : MEMBACA SELAWAT KE ATAS NABI  ﷺ

Membaca selawat ke atas Nabi ﷺ merupakan rukun dalam solat jenazah dan tidak sah sembahyang jenazah tanpa membaca selawat.

Disyaratkan membaca selawat ke atas Nabi ﷺ adalah selepas takbir yang kedua dan sebelum takbir yang ketiga. Justeru itu, tidak sah sembahyang jenazah jika selawat tidak dibaca selepas takbir yang kedua.

Bacaan selawat yang paling minimum:

اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَي مُحَمَّدٍ

Bacaan ke atas keluarga Nabi ﷺ tidak diwajibkan sebagaimana dalam solat-solat yang lain juga. Bacaan selawat yang sempurna adalah Selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang dibaca dalam tasyahud akhir.

KEENAM : MENDOAKAN KEAMPUNAN BUAT SI MATI 

Mendoakan keampunan yang khusus buat si mati adalah rukun solat jenazah. Inilah tujuan dan maksud utama pelaksanaan sembahyang jenazah iaitu mendoakan keampunan dan kebaikan buat jenazah tersebut agar dosa-dosanya diampuni Allah SWT dan diterima segala amalnya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila kamu bersolat ke atas jenazah, maka ikhlaskan berdoa untuk si mati” – Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah

Doa hendaklah khusus disebutkan untuk jenazah tersebut. Oleh itu, tidak memadai jika menyebut doa untuk kaum muslimin dan muslimat secara umum.

Bacaan doa khusus buat si mati:

a) Jenazah Lelaki

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاغْفُ عَنْهُ

b) Jenazah Perempuan

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاغْفُ عَنْهَا

Disyaratkan bacaan doa hendaklah dibaca selepas takbir yang ketiga dan tidak sah solat jenazah jika doa buat si mati dibaca pada takbir yang lain.

KETUJUH : MEMBERI SALAM

Memberi salam selepas empat takbir merupakan rukun sembahyang jenazah sebagaimana salam menjadi rukun dalam solat-solat yang lain. Ucapan salam dengan memalingkan muka ke arah kanan dan arah kiri.

Memberi salam adalah wajib sebagai tanda untuk keluar dari solat sebagaimana memasuki solat dengan takbiratul ihram. Sunat memberi salam dengan suara yang nyaring (kuat).

NIAT SOLAT JENAZAH 

Dalam mazhab Syafi’e, niat adalah merupakan rukun dalam solat, termasuklah dalam Solat Jenazah. Niat untuk Solat Jenazah harus dinyatakan di dalam hati semasa melakukan takbiratul ihram, iaitu takbir yang pertama dalam solat jenazah.

Berikut di bawah ini beberapa niat solat jenazah mengikut status mayat yang bakal disolatkan:

Niat Solat Jenazah Lelaki


  Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala  

Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

✅ Niat Solat Jenazah Perempuan


  Usolli ‘Ala Hazihil-Mayyitati Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

✅ Niat Solat Jenazah Kanak-Kanak Lelaki


Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti al-Tifli Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat kanak-kanak lelaki ini empat takbir fardu kifayah, sebagai makmum kerana Allah Taala

✅ Niat Solat Jenazah Kanak-Kanak Perempuan


Usolli ‘Ala Hazal-Mayyitati al-Tifli Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat kanak-kanak perempuan ini empat takbir fardu kifayah, sebagai makmum kerana Allah Taala

✅ Niat Solat Jenazah Yang Tidak Diketahui Statusnya


Contohnya jika kita melakukan Solat Jenazah di Masjidil Haram, Mekah, kita tidak tahu status mayatnya. Oleh itu, kita boleh berniat dengan niat seperti di bawah ini:


Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Man Solla ‘Alayhil Imamu Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat yang disolatkan oleh imam empat takbir fardu kifayah, makmum kerana Allah Taala

CARA MENGERJAKAN SOLAT JENAZAH

Cara mengerjakan Solat Jenazah adalah BERBEZA dari solat biasa. Perlu diketahui bahawa solat ini TIADA rukuk dan sujud. Ia dilakukan secara berdiri sahaja dari awal sehingga akhir.

Ringkasan Cara Melakukan Solat Jenazah:
  • Berniat: Berdiri tegak, berniat dalam hati serentak dengan takbiratul ihram. Boleh niat dalam Bahasa Melayu atau Arab.
  • Membaca Al-Fatihah: Letak tangan di atas perut, baca surah Al-Fatihah.
  • Takbir Kedua & Selawat: Angkat takbir kedua, letak tangan di atas perut, baca selawat ke atas Rasulullah SAW.
  • Takbir Ketiga & Doa untuk Jenazah: Angkat takbir ketiga, baca doa minta ampun untuk jenazah.
  • Takbir Keempat & Doa: Angkat takbir keempat, baca doa tambahan.
  • Memberi Salam: Akhiri dengan memberi salam ke kanan dan kiri.

DOA SELEPAS SOLAT JENAZAH 

Selepas selesai memberi salam, maka disunatkan membaca doa ini:

Bacaan dalam kurungan (……) dengan tanda ‘*‘ adalah untuk jenazah wanita


Bismillahi Rahmanirrahim

Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil ‘Anbiya’i Wal Mursalin Wa ‘Ala Alihi Wa Sohbihi Ajmain.

Allahumma Bihaqqi Muhammadin Wa Ali Muhammadin Ala Tuazziba Hazal Mayyiti *(Mayyitati).

Allahummaj-‘Al Qobrohu *(Qobraha) Raudhotan Min Riyadhil Jannati Walaa Taj’al Qobrohu *(Qobraha) Hufratan Min Hufarinniirani.

Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala  Alihi Wa Ashaabihi Ajmain Walhamdulillahi Robbil ‘Alamin.

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia rasul dan ke atas kaum keluarga serta para Sahabat sekalian. Ya Allah, dengan kemuliaan Nabi Muhammad dan ahli keluarganya, janganlah Engkau siksa jenazah ini. Ya Allah jadikan kuburnya sebagai taman daripada taman-taman syurga dan janganlah Engkau jadikan kuburnya sebagai lubang daripada lubang neraka. Selawat dan salam Allah ke atas Junjungan kami Muhammad, dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.

SOLAT JENAZAH GHAIB 

Solat Jenazah Ghaib ialah solat ke atas jenazah yang tidak ditemui atau jauh tempatnya serta sukar untuk pergi ke sana. Solat jenazah ghaib berserta doa merupakan penghormatan terakhir daripada waris dan kenalan yang tidak dapat menatap wajah individu berkenaan.

Menurut ulama mazhab asy-Syafi’e, jika mayat sudah dikebumikan dan seseorang itu masih belum melakukan solat jenazah ke atas mayat tersebut, maka sunat baginya melakukan solat ghaib untuk mayat tersebut.

PERKARA SUNAT DALAM SOLAT JENAZAH 

Ini adalah beberapa perkara sunat semasa melaksanakan sembahyang jenazah:
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika bertakbir
  • Disunatkan membaca ta’awwuz, tetapi tidak disunatkan membaca Doa Iftitah
  • Membaca semua bacaan dengan suara rendah
  • Mengucapkan “Amin” selepas membaca surah al-Fatihah
  • Berdiri dalam tiga saf atau lebih, sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW ketika menyembahyangkan raja al-Najasyi
  • Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi SAW
  • Doa ke atas muslimin dan muslimat selepas selawat ke atas Nabi
  • Sunat mendirikan sembahyang jenazah secara berjemaah, tetapi diharuskan melakukannya seorang diri.
Solat jenazah adalah satu ibadah yang penuh makna dan keberkatan. Ia mengingatkan kita tentang sementara waktu yang kita miliki di dunia ini dan keperluan untuk sentiasa bersedia menghadapi perpisahan ini. Melalui solat jenazah, kita dapat merenung dan merenungkan makna sebenar kehidupan, serta menilai amalan kita untuk menyongsangkan kehidupan abadi di akhirat.

Semoga dengan panduan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat.

SEKIAN

RUJUKAN :

إرسال تعليق

0تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!