Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar pembaca dan rakan-rakan sekalian? Alhamdulillah, kali ini aku nak berkongsi tentang satu lokasi yang aku kira ramai yang pernah dengar tentang terma Rundingan Baling. Sebuah galeri telah dibina menempatkan pelbagai perkara menarik tentang sejarah menuju ke arah kemerdekaan dan Rundingan Baling 1955 menjadi fokus utama galeri tersebut.
Oh ya, lupa nak beritahu bahawa baru-baru ini aku ada menyertai satu FAM TRIP ke daerah Baling, melihat tempat-tempat dan produk menarik yang ada di daerah ini. Untuk anda yang berminat nak baca artikel-artikel yang aku tulis berkenaan daerah Baling, boleh klik sini : AERILL X BALING
{tocify} $title={KANDUNGAN}
LAWATAN KE GALERI RUNDINGAN BALING, BALING, KEDAH
Galeri Rundingan Baling atau sebelum ini dikenali sebagai Galeri Putera terletak di Sekolah Kebangsaan Tunku Putera. Untuk maklumat, di sinilah terjadinya peristiwa Rundingan Baling 1955. Rundingan tersebut melibatkan pihak Kerajaan yang terdiri daripada Tunku Abdul rahman, Dato Sir Tan Cheng Lock, David Marshall dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.
PERISTIWA RUNDINGAN BALING 1955
Pada awal bulan Jun 1955, sepucuk surat telah diterima daripada wakil Ibu Pejabat Pemerintah Tertinggi Tentera Pembebasan Malaya yang menyatakan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) bersedia untuk mengadakan rundingan bagi menamatkan darurat dan memulihkan keamanan di Malaya.
Pada 18 September 1955 iaitu sejurus selepas Kerajaan Perikatan mendapat kuasa (hasil daripada pilihanraya pertama), tawaran pengampunan telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri. Syarat-syarat pengampunan (amnesty) telah dikeluarkan dan disebarkan secara meluas.
Dalam pada itu hubungan telah dibuat dengan wakil Chin Peng untuk mengadakan rundingan bagi membincangkan syarat-syarat tersebut. Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk mengadakan rundingan dengan Chin Peng, tetapi sebaliknya beliau mahu bersemuka dengan Chin Peng untuk menerangkan syarat-syarat pengampunan dan akan menimbangkan sebarang cadangan yang mungkin akan dikemukakan oleh pihak PKM.
SEJARAH PENUBUHAN GALERI RUNDINGAN BALING
Untuk maklumat, ruang asal Galeri Rundingan Baling merupakan tempat rehat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) semasa rundingan tersebut berlaku.
Pada tahun 2021, Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pembaikan bangunan dan siap pada penghujung tahun 2021. Pada tahun 2022, Kementerian Pelancongan telah meluluskan kerja-kerja menyiapkan galeri pameran tetap yang dilaksanakan oleh Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Pada tahun 2023, Mesyuarat Tindakan Pelancongan Daerah Baling bersama Jabatan Pelajaran Negeri Kedah bersetuju agar pihak Lembaga Muzium Negeri Kedah sebagai agensi yang bertanggungjawab menjalankan operasi harian Galeri Rundingan Baling memandangkan agensi ini mempunyai kepakaran berkaitan pameran dan pemuziuman.
APA YANG TERDAPAT DI GALERI RUNDINGAN BALING ?
Galeri Rundingan Baling ini mempamerkan peristiwa bersejarah berkaitan Baling yang berlaku sebelum kemerdekaan antaranya Darurat di Tanah Melayu, Sejarah Parti Komunis Malaya (PKM), Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Kezaliman Komunis, Pembenterasan Komunis di Tanah Melayu, Kesan Darurat, Kepimpinan Tempatan di Kedah, Home Guard dan Rundingan Baling.
Selain pameran, di sini juga terdapat ruangan utnuk para pengunjung melihat video dimana kisah Rundingan Baling 1955 diceritakan oleh salah seorang veteran yang berkhidmat pada ketika itu.
MITOS RAJA BERSIONG
Bercakap mengenai mitos Raja Bersiong ini, sebenarnya aku sendiri begitu 'familiar' dengan kisah ini. Mak aku dibesarkan disebuah tempat yang dikenali sebagai Merbau Pulas, terletak di pinggir daerah Kulim berdekatan dengan pekan Kuala Ketil. Sewaktu aku kecil, aku selalu mendengar mitos ini yang diceritakan oleh kedua tok dan tokwan aku.
TABIAT buruk dan kekejaman Raja Bersiong bermula selepas memakan sayur bayam bercampur darah manusia, milik tukang masak istana yang tidak sengaja terhiris jarinya ketika sedang memasak. Apabila makanan itu dihidangkan dan disantap Raja Bersiong, berasa kelainan ketara.
Hal ini diajukan kepada tukang masak dengan bertanya resipi yang digunakan dan terpaksa tukang masak itu menceritakan hal sebenar yang berlaku. Sejak itulah baginda mengarahkan masakannya dicampur dengan darah manusia.
Pengawal istana diarah membunuh musuh baginda dipenjara dan dipancung untuk diambil darahnya. Apabila semua tawanan sudah habis, kanak-kanak pula menjadi mangsa. Rakyat ketakutan dan selepas sekian lama, mula timbul api pemberontakan menentang kezaliman raja.
Raja Bersiong yang semakin ghairah dengan darah mengalami masalah sakit gigi yang disebabkan siung mula timbul di mulutnya. Ketika ini pula gerakan memberontak bermula dan menyerang istana menyebabkan raja melarikan diri.
Ada yang mengatakan pemberontakan itu diketuai seorang menteri dan ada pula mendakwa ia dipimpin raja negeri Kampar yang berjiran dengannya.
Ketika dalam perjalanan di hutan, giginya semakin sakit dan selepas berhempas pulas mencabut siung, akhir berjaya dan mencampakkan taringnya jauh ke hutan sebagai tanda marah, lalu dinamakan Baling. Ada yang mengatakan baginda melarikan diri bersama sekumpulan pengikut dan berkubu di Kota Air, Gubir.
Daripada peristiwa Raja Bersiong itu, timbullah nama tempat seperti Merbau Pulas, Kuala Pegang dan Kuala Ketil dan Kota Aur.
JOM KE GALERI RUNDINGAN BALING
Alhamdulillah, datang sahaja ke Galeri Rundingan Baling ini membuatkan aku seperti kembali ke zaman sekolah. Subjek Sejarah merupakan salah satu matapelajran yang aku suka, jadi sudah tentu peristiwa Rundingan Baling merupakan peristiwa yang aku masih ingat.
Tahniah diucapkan kepada pihak Jabatan Warisan Negara kerana berjaya memperbaiki dan membaik pulih pameran-pameran di sini. Semoga selepas ini Galeri Rundingan Baling ini bakal menjadi sebuah lokasi pelancongan popular di Baling, terutamanya buat peminat sejarah.
GALERI RUNDINGAN BALING
LOKASI : Bersebelahan Sekolah Kebangsaan Tunku Putra,
Kampung Banggol Lada, 09100 Baling, Kedah
WAKTU OPERASI : Setiap Ahad : 10.00 pagi - 4.30 petang
LAMAN SESAWANG : https://www.muziumkedah.gov.my/
#JomMaiKedah #KembaRojak #KedahWhereItAllBegan #EscapeToBeautifulNature #QttGroupTravel #NatureBasedTravelers #KolaGlobalTravel
Untuk sebarang pakej Nature-Based Travelers, anda boleh hubungi melalui :-
📱+60174079734
📱+60193036008
📩 : qttgroup.management@gmail.com
Artikel ini dihasilkan dari program QTT X KembaRojak FAM TRIP BALING yang berlangsung dari 13 Januari 2024 - 17 Disember 2024 anjuran QTT Group PLT, Global Travel Sdn Bhd (KOLA) & KembaRojak.
Jutaan terima kasih diucapkan pada semua penaja, Majlis Daerah Baling, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Baling (APM Baling), Malim gunung dan kumpulan Gua Sireh.
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.