Assalamualaikum dan salam sejahtera
Memiliki kediaman sendiri merupakan antara perkara yang menjadi idaman semua orang. Walaubagaimanapun harga yang terlampau tinggi menyebabkan menyewa adalah pilihan yang sesuai. Kebanyakan mereka yang mula memasuki alam pekerjaan juga antara mereka yang menjadikan sewa rumah adalah pilihan utama sebagai kediaman.
Terdapat banyak sebenarnya platform mencari rumah sewa di atas talian. Pelbagai jenis rumah tersedia mengikut kemudahan dan kelebihan yang tersendiri. Sebagai bakal penyewa rumah, ada beberapa perkara yang anda perlu ketahui sebelum menyewa sesebuah rumah. Anda perlulah menjadi penyewa yang bijak dan pastikan hak sebagai penyewa ditunaikan sepenuhnya.
16 PERKARA YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM MENYEWA RUMAH
#1 KETAHUI LOKASI RUMAH SEWA YANG SESUAI & BERPOTENSI
Periksa kawasan pilihan anda. Buat sedikit kajian dengan bertanya rakan dan kenalan. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah pengangkutan. Adakah mudah untuk mendapatkan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel dan bas? Adakah wujud kedai-kedai untuk membeli barangan dapur, mendobi baju dan sebagainya?
Perkara lain yang perlu ditimbangkan tentang lokasinya adalah jaraknya dari lebuhraya. Sekiranya anda lebih suka tinggal di kawasan yang sunyi-sepi, anda perlu pilih satu lokasi yang berjarak daripada lebuhraya dan jalan besar.
#2 KUNJUNGI RUMAH SEWA YANG DIPILIH
Selepas membuat keputusan tentang kawasan untuk didiami, pilih beberapa unit rumah untuk diperiksa. Kunjungi unit yang anda pilih sebelum membuat keputusan untuk menyewa.
•Jika anda tak tahan panas, pergi pada waktu petang dan lihat sama ada tingkap-tingkap unit tersebut menghadap matahari petang (kebanyakan telefon pintar mempunyai kompas yang boleh digunakan untuk mencari hala tingkap pada unit tersebut).
• Jika anda jenis yang mudah terjaga, kunjungi unit tersebut pada waktu malam dan lihat sama ada kejiranan, jiran sekeliling dan bakal rakan serumah anda bising.
• Jika ingin menyewa unit yang mempunyai kemudahan seperti gym, kolam renang dan pusat penjagaan kanak-kanak, ada baiknya anda periksa dahulu kemudahan ini sebelum menandatangani perjanjian sewa.
• Jika ingin menyewa unit yang mempunyai kemudahan seperti gym, kolam renang dan pusat penjagaan kanak-kanak, ada baiknya anda periksa dahulu kemudahan ini sebelum menandatangani perjanjian sewa.
• Jika anda ada kenderaan, periksa sama ada lot letak kereta disediakan dan percuma. Jika anda perlu membayar untuk meletak kereta, tanyakan tentang bayaran bulanannya.
Pertimbangkan juga aspek keselamatan; minta izin untuk memeriksa tempat letak kereta bagi memastikan ia selamat dan terang. Jika dibenarkan memilih, pilih lot yang terang dan berhampiran dengan lif atau tangga.
TIP: Jika tidak memandu ke tempat kerja atau tidak mempunyai kereta, pertimbangkan waktu anda berulang-alik dan tambang waktu puncak. Ramai profesional muda tidak memiliki kereta dan bergantung sepenuhnya pada Grab atau Mycar untuk ke tempat kerja. Isu tambang boleh menjadi sesuatu yang membuatkan anda tawar hati untuk menyewa di sesuatu kawasan.
#3 PERIKSA KAWASAN SEKITAR & JIRAN
Perhatikan sama ada kawasan pilihan anda itu selamat, umpamanya untuk berjalan sendirian pada waktu malam. Adakah laluan dan jalan rayanya diterangi lampu? Ini penting terutamanya untuk wanita yang menggunakan pengangkutan awam dan berjalan pulang seorang diri pada waktu malam.
Anda juga patut pertimbangkan perkara lain yang penting bagi anda. Jika gemar berlari, periksa sama ada terdapat taman rekreasi berhampiran rumah sewa terbabit. Kunjungi kemudahan berhampiran seperti kedai barangan runcit, kedai dobi, kafe, restoran dan pasaraya besar bagi mengalami sendiri bagaimana membeli-belah atau keluar makan di kejiranan tersebut pada hari-hari tertentu. Jangan nanti dikejutkan oleh kesesakan orang ramai dan lalu lintas yang tak dijangka pada hujung minggu.
#4 SEMAK & KAJI HARGA SEWAAN
Sebelum pergi melihat rumah sewa, kaji dahulu sewa bulanan yang munasabah dengan bertanya kenalan yang tinggal di kawasan terbabit. Ini akan memberi gambaran purata kadar sewaan di kawasan itu dan mengelakkan anda daripada membayar terlalu tinggi.
#5 SOAL TENTANG DUTI SETEM & YURAN TAMBAHAN
Tanya tentang semua bayaran yang perlu anda buat selain sewa bulanan. Adakah anda perlu membayar bil eletrik dan bil air berasingan? Jika anda ada kereta, adakah perlu membayar sewa bulanan untuk tempat letak kereta?
Selain itu, semasa menandatangani perjanjian, anda akan dikenakan duti setem. Pastikan anda bertanya tentang peratus bayarannya. Di Malaysia, duti setem untuk perjanjian sewa adalah seperti berikut:
Duti bagi setiap RM250 bagi sewa yang melebihi RM2,400 (tahunan):
- Kurang dari 1 tahun: RM1
- Antara 1-3 tahun: RM2
- Melebihi 3 tahun: RM3
Katakan anda menyewa satu unit dengan bayaran RM2,500 sebulan yang mana jumlah tahunannya adalah RM30,000, duti setem bagi tempoh sewaan satu tahun adalah:
(Yuran tahunan – RM2,400)/ 250 X RM1
= (RM30,000 – RM2,400) / RM250 X 1
= RM110.40
#6 KETAHUI JUGA TENTANG DEPOSIT JAMINAN
Sejumlah wang yang disimpan oleh tuan rumah sebagai perlindungan jika penyewa melanggar perjanjian sewa, contohnya dengan mengosongkan unit sewaan lebih awal daripada yang telah dipersetujui ataupun merosakkan hartanah sebelum berpindah keluar. Jika tidak ada sebarang insiden, deposit jaminan akan dipulangkan kepada penyewa selepas perjanjian tamat dan penyewa boleh berpindah keluar.
Ketahui jumlah yang perlu anda bayar sebagai deposit dan sediakan wang tersebut. Biasanya, 2.5 bulan daripada sewa bulanan anda merangkumi dua bulan sewa dan setengah bulan deposit utiliti.
TIP: Ingin mendapatkan kadar sewa lebih rendah? Cuba berunding untuk menyewa bilik atau unit untuk tempoh yang lebih panjang. Biasanya tuan rumah sanggup menyewakan dengan kadar lebih rendah jika anda bersetuju menyewa untuk tempoh minimum dua tahun.
Baca Juga : Panduan Lengkap Membeli Kediaman Pertama
#7 BUAT PEMERIKSAAN RUMAH SEWA DENGAN TELITI
Sebelum menandatangani perjanjian, periksa dengan teliti segala benda yang ada di dalam unit sewa. Periksa perabot untuk memastikan tidak ada yang rosak. Pastikan kipas, penyaman udara, pemanas air, dapur, peti sejuk, mesin basuh dan peralatan elektrik lain berfungsi dengan baik. Sebaik-baiknya lakukan pemeriksaan ini semasa tuan rumah ada bersama.
Jika ada yang rosak, minta tuan rumah membaikinya sebelum anda masuk. Jika anda berurusan dengan ejen hartanah, minta ejen menyampaikan permintaan anda kepada tuan rumah.
Jangan sesekali membuat keputusan untuk membaiki sendiri kerosakan yang ada tanpa memaklumkan kepada tuan rumah. Takut-takut nanti anda pula disalahkan sekiranya kerosakan menjadi lebih teruk.
Bagi memudahkan urusan tuan rumah membaiki kerosakan yang ada, catatkan segala kerosakan di sekeliling rumah. Anda juga boleh mengambil gambar sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada tuan rumah nanti.
Berikut merupakan beberapa perkara yang anda boleh diperiksa di rumah sewa anda:
a. Dinding
- Lihat kerosakan pada dinding bagi sebarang keretakan atau kebocoran
- Perhatikan sekiranya terdapat sebarang kesan kulat atau kulapuk
b. Pintu dan tingkap
- Tombol pintu dan tingkap berfungsi dengan baik atau tidak
- Kaca tingkap tidak pecah dan retak
c. Bilik air dan tandas
- Mozek dan singki tidak pecah dan retak kerana boleh menyebabkan kecederaan
- Tandas boleh diflush dan air tidak bertakung
- Paip tidak bocor dan berfungsi dengan baik
d. Lampu dan kipas
- Setiap ruang dan bilik mempunyai cahaya dan pengudaraan yang baik
- Berfungsi dengan baik
Selain itu, pastikan rumah sewa anda juga bebas daripada serangan serangga perosak. Tiada siapa yang mahu tidur dalam keadaan bilik di mana lipas atau tikus merangkak di atas muka.
#8 BEKALAN ELEKTRIK & AIR
Seterusnya, pastikan rumah yang disewa mempunyai bekalan elektrik dan air yang berfungsi dengan baik. Ia merupakan keperluan asas yang wajib ditunaikan oleh setiap pemilik rumah.
Buka semua suis lampu dan kipas di semua ruang bagi memastikan semua unit berfungsi dengan baik. Selain itu, buka semua paip yang ada di sekeliling rumah bagi memastikan air mengalir dengan baik dan tiada sebarang masalah paip tersumbat atau bocor.
Bukan itu sahaja, periksa sekiranya terdapat soket yang tidak berfungsi atau terbakar. Jangan sesekali membahayakan diri sendiri menggunakan soket yang bermasalah. Tidak pasal-pasal anda boleh merosakkan sistem wiring satu rumah pula.
Baca Juga : Cara Daftar Maybank2U dan Online Banking
#9 SOAL TENTANG MEMBAIKI RUMAH SEWA
Tanya tuan rumah, jika barang-barang seperti peralatan elektrik dan paip air tidak berfungsi, adakah tuan rumah akan membaikinya? Bolehkah tuan rumah menyenaraikan pembaikan yang akan ditanggung olehnya?
Hal ini penting terutama sekali jika bangunan sudah lama kerana pembaikan paip-paip, lekapan dan peralatan lama menelan belanja yang tinggi. Kalau boleh, senaraikan dengan jelas kewajipan tuan rumah dalam perjanjian sewa.
#10 BINCANG TERLEBIH DAHULU SEBELUM SETUJU
Jangan eksited
Jangan kelabu mata
Sabar dan tenangkan jiwa dahulu
Ini pesanan khususnya bagi pelajar atau sewa berkumpulan. Seeloknya semasa melihat rumah, semua perlu hadir untuk tengok keadaan rumah. Elakkan daripada menghantar wakil. Ada beberapa kes pertelingkahan berlaku disebabkan setuju sebelum bincang.
Jika tidak dapat juga hadir, wakil yang datang untuk melihat rumah sewa mesti dapatkan maklumat secukupnya dan ambil gambar untuk dibawa berbincang dengan rakan-rakan lain. Maklumat yang perlu;
- Kadar sewaan & deposit (security & utility)
- Tarikh bermula sewaan
- Perabot atau peralatan yang disediakan oleh owner
- Kerosakan sedia ada
- Bayaran-bayaran lain di bawah tanggungjawab siapa (security, maintenance, indah water dsb)
#11 TANDATANGAN PERJANJIAN SEWA
Baca perjanjian sewa dengan teliti sebelum menandatanganinya. Jika ada tambahan-tambahan kepada perjanjian (apa yang dipanggil fine print yang biasa ada jika perjanjian disediakan oleh peguam), minta lebih masa untuk anda membacanya atau dapatkan nasihat peguam anda sendiri. Jika ada apa-apa yang tidak jelas, minta penjelasan.
Dengan adanya perjanjian sewa yang sah, ia boleh membantu anda untuk menyemak dan memudahkan proses pemeriksaan rumah sewa ini nanti. Bukan itu sahaja, perjanjian sewa akan membantu anda memastikan hak anda sebagai penyewa terbela sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini di masa akan datang. Ia boleh digunakan sebagai bukti yang sah bagi tindakan daripada sudut undang-undang.
#12 PERIKSA KEMUDAHAN YANG DIJANJIKAN DALAM PERJANJIAN SEWA
Bagi menarik perhatian anda sebagai pihak penyewa, ada tuan rumah yang akan menawarkan kemudahan lain seperti WIFI, penapis air dan sebagainya. Seperti yang telah dijanjikan, pastikan kemudahan ini telah disediakan dan berfungsi dengan baik.
Jangan lupa untuk berbincang dengan tuan rumah anda tentang bayaran yang perlu dilakukan bagi kemudahan ini. Sama ada kemudahan ini perlu dibayar berasingan atau dibayar bersama sewa, pastikan setiap maklumat ini dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian sewa.
#13 PERIKSA JUGA SISTEM KESELAMATAN RUMAH SEWA
Bagi memastikan anda berasa selamat sebagai penyewa, tanya terlebih dahulu tentang sistem keselamatan yang disediakan. Walaupun sistem keselamatan ini bergantung kepada persetujuan pihak tuan rumah dan penyewa, namun anda boleh berunding secara baik bersama tuan rumah.
Sekurang-kurangnya aspek keselamatan yang perlu ada ialah pintu dan pagar rumah perlu berfungsi dengan baik. Selain itu, tingkap dan pintu yang mempunyai gril besi juga akan menjadikan rumah itu lebih selamat. Walaupun malang tidak berbau, sekurang-kurangnya perkara asas bagi aspek keselamatan telah lengkap di rumah sewa ini.
Jika anda bernasib baik, tuan rumah anda juga mungkin akan mempunyai sistem keselamatan yang lebih ketat seperti CCTV di luar rumah.
#14 KETAHUI PERKARA YANG PATUT & TIDAK PATUT DILAKUKAN PENYEWA
Tanya apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan di unit sewa. Bolehkah anda memasak? Jika menyewa bilik, tanya sama ada anda boleh meletakkan barang-barang peribadi di ruang tamu, dapur, peti sejuk atau halaman rumah. Bolehkah anda memelihara haiwan kesayangan? Tanya tentang house rules. Biasanya kediaman bertingkat tinggi seperti kediaman servis mempunyai peraturan khusus untuk penghuninya.
Berikut adalah beberapa perkara umum yang perlu dipatuhi:
Sila
- Jaga kebersihan dan kekemasan unit. Jika anda menyewa bilik, pastikan bilik anda bersih dan kemas.
- Hormati privasi rakan serumah dan jiran tetangga. Pastikan bunyi TV, permainan komputer, muzik dan lain-lain pada had yang boleh diterima.
- Jaga barang-barang. Jika sesuatu benda rosak akibat perbuatan anda, baiki atau gantikannya. Jika benda tersebut sesuatu yang di bawah tanggungan tuan rumah, hubungi tuan rumah untuk menguruskannya secepat mungkin.
Jangan:
- Ambil/guna/makan/minum apa yang bukan milik anda.
- Berparti dan membuat bising hingga ke dinihari.
- Melengahkan bayaran sewa bulanan dan bayaran-bayaran lain.
#15 BAYARAN SEWA MELALUI BANK DAN BUKAN TUNAI (CASH)
Seeloknya bayaran sewaan rumah dibayar melalui bank iaitu sama ada online banking atau melalui mesin atm. Kenapa?
Untuk mengelakkan terlupa, tersilap catat bayaran. Sekiranya melalui bank, rekod dah tersedia ada. Tak perlu bimbang berkenaan resit pembayaran.
#16 PANDAI AMBIL HATI TUAN RUMAH, TETAPI TIDAK MELEBIH-LEBIH
Pandai ambil hati tuan rumah tak bermaksud pandai menggoda atau berayat manis dengan tuan rumah. Yang penting adab dan etika.
Yang paling power, pandai jaga rumah tuan rumah. Kebersihan dan infrastruktur rumah. Contohnya, apabila tombol atau lampu rosak, penyewa tanggung bayar. Elakkan minta tuan rumah ganti. Ini DILARANG KERAS terutama bagi kes rumah kadar sewa di bawah market. Jangan banyak komplain. tuan rumah dah bagi murah dah patut bersyukur.
Paling cantik, jika kita nak cat rumah. Mesej tuan rumah.
“Tuan, saya nak cat rumah ini, biar nampak cantik skit. Kos semua saya tanggung. Saya nak minta izin ye”
Kalau macam ni, tuan rumah pun sayang dan mungkin tak naikkan kadar sewa.
Tapi kalau tuan rumah dah janji dia akan repair segala kerosakan rumah, ditambah pula kadar sewa pun lebih dari market. Bagitau sahaja tuan rumah tentang kerosakan.
Sekian sahaja senarai 16 perkara yang anda perlu tahu sebelum menyewa rumah. Sebagai penyewa yang bijak, perkara yang tersenarai diatas merupakan antara perkara yang penting dan perlu diketahui supaya ketika anda menyewa kelak tiada masalah yang berlaku.
Apabila sudah menyewa pula, pastikan anda tidaklah melakukan apa-apa masalah yang memudaratkan kepada rumah yang disewa. Jadilah penyewa yang baik. Sekian.
RUJUKAN :
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.