ABPBH 36 Dilancar Dengan Tema Teguh. Undian Bermula Sekarang!

Aerill Hassan
0
Assalamualaikum dan salam sejahtera

ABPBH 36 Dilancar Dengan Tema Teguh. Undian Bermula Sekarang!

Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, edisi ke-36 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 36) dilancarkan hari ini, mengangkat tema Teguh yang membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia. Tema Teguh ini melambangkan keampuhan acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia, selain mengajak peminat industri kreatif tempatan meraikan keunikan, kepelbagaian dan kehebatan bakat serta karya tempatan. 

Ini selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka yang melambangkan kesepaduan secara holistik negara yang maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya. Sesuai dengan semangat kemerdekaan, tema Teguh mahu merapatkan jurang perbezaan dan menumpukan usaha meningkatkan potensi diri semua insan, agar terus utuh dan mantap berdepan cabaran era globalisasi. 

ABPBH menjadi pengukur tahap populariti, impak dan mutu produk seni, serta paling utama, petunjuk kesetiaan dan sokongan peminat terhadap artis pujaan. Membawa pengertian sama dengan istilah kukuh, kuat dan padu, Teguh adalah manifestasi kecintaan dan kesungguhan karyawan mencabar keupayaan diri dalam mencipta kegemilangan baik di persada seni tempatan, mahupun antarabangsa. 

ABPBH 36 kali ini yang diinspirasikan CONBOO sebagai Penaja Utama, akan disiarkan secara langsung di TV3 dan strim melalui saluran Tonton. CONBOO hadir dengan visi melahirkan individu yang yakin dengan kecantikan diri, baik dari aspek dalaman dan luaran. CONBOO menghasilkan produk yang menggunakan bahan-bahan premium semula jadi merangkumi madu Manuka, ekstrak sarang burung, serbuk mutiara, vitamin C, glutathione, susu kambing, ekstrak biji anggur, ekstrak kurma, krimer dan stevia. Pengarang Berita Kanan Hiburan/Projek BH merangkap Pengarah ABPBH 36, Shamshul Azree Samshir, berkata ABPBH sentiasa berpegang kepada matlamat membawa mesej berguna dalam setiap tema yang diangkat.

“Sebagai penganjur acara ABPBH 36, kami di Berita Harian (BH) akan memastikan legasi acara anugerah ini terus dipelihara dan kekal relevan. Kami sentiasa berusaha melakukan penyesuaian dan penambahbaikan secara menyeluruh sebagai sokongan dalam memartabatkan industri seni tempatan,” 
katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Mempertandingkan 16 kategori utama, pemilihan artis dan selebriti kegemaran boleh dilakukan bermula hari ini sehingga 30 September 2024 menerusi laman web ABPBH 36 di www.abpbh.com.my. Manakala undian bagi kategori sampingan Ekstra! akan bermula pada 29 Ogos ini. 

ABPBH 36 Dilancar Dengan Tema Teguh. Undian Bermula Sekarang!

Sebagai penambahbaikan, ABPBH 36 memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Aktor Pembantu Filem Popular; Aktres Pembantu Filem Popular; Aktor Pembantu TV Popular dan Aktres Pembantu TV Popular. Inisiatif memperkenalkan empat kategori baharu ini membolehkan lebih ramai penggiat seni berpeluang bersaing di platform ABPBH, apatah lagi peranan pelakon pembantu dalam produk televisyen (TV) dan filem, tidak boleh dipandang enteng dalam menghasilkan karya bermutu serta memberi impak. 

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma atau melalui pakej langganan BH digital. Pengundi boleh mendapatkan mata undian sehingga 16,000 undian dengan melanggan akhbar digital Berita Harian. Setiap langganan terhad kepada satu (1) undian sahaja. Proses pengundian melibatkan calon Top 20 bagi setiap kategori dan mereka bakal bersaing sehingga nasib mereka ditentukan pada malam kemuncak ABPBH 36. Pemilihan pemenang bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus undian juri profesional. 

Shamshul Azree berkata, gelombang dicetuskan peminat pelakon senior, Bell Ngasri ketika tempoh pengundian sehingga beliau dinobatkan Bintang Paling Popular ABPBH 35, dilihat berjaya ‘merakyatkan’ acara anugerah berprestij ini hingga diperakui Google Trends sebagai Berita Carian Google Teratas di Malaysia sepanjang 2023. 

“Kita lihat seluruh rakyat Malaysia bersatu mengundi Bell pada penganjuran lalu. Jadi, besar harapan kita agar edisi ke-36 acara anugerah ini dapat mencetuskan gelombang sama, apatah lagi dengan kategori baharu yang membariskan ramai bintang senior yang layak diberi pengiktirafan,” 
katanya. 

Membariskan pencalonan artis dan selebriti lama dan baru, sebanyak 16 kategori utama yang dipertandingkan adalah Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular. Turut bersaing Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor Pembantu Filem Popular, Aktres Pembantu Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Aktor Pembantu TV Popular dan Aktres Pembantu TV Popular. Tidak ketinggalan Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Manakala lima (5) kategori Ekstra! yang turut dipertandingkan adalah Couple Drama Popular, Couple Filem Popular, Lagu Paling Boom Popular, Watak Antagonis Drama Popular dan Artis Sensasi Popular. Satu anugerah keseluruhan iaitu anugerah utama yang dinobatkan sebagai Anugerah Bintang Paling Popular BH Ke-36 akan diberikan kepada kepada artis yang mendapat undian dan markah juri profesional paling tinggi. 

Tidak ketinggalan, anugerah khas iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat akan kembali bagi edisi ini untuk menghargai jasa dan sumbangan tokoh seni dalam pembangunan industri seni tempatan. Sebarang pengumuman untuk acara ABPBH 36, termasuk promosi, tajaan dan malam kemuncak akan dikongsi dan diumumkan dari masa ke semasa.

SEKIAN

إرسال تعليق

0تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!